Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7

 

 

Bahagian A:

Keutamaan Para Sahabat Secara Umum

 

1    Definisi Sahabat

                                                

             Para ulama’ Islam dari kalangan para ahli hadis, usul dan selain mereka berselisih pendapat tentang takrif atau definisi “sahabat”.[1] Ahmad bin Hanbal rahimahullah (241H) berkata:[2]

كل من صحبه سنة أو شهرا أو يوما أو ساعة أو رآه فهو من اصحابه.

Setiap yang menyertai (Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) sama ada selama setahun atau sebulan atau sehari atau sesaat ataupun melihat baginda maka dia termasuk ke dalam golongan sahabat.

al-Bukhari rahimahullah (256H) mendefinisikan maksud sahabat di dalam kitab Shahihnya dengan berkata:[3]

من صحب النبي صلى الله عليه وسلم أو رآه من المسلمين فهو من أصحابه.

Sesiapa yang menyertai Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam atau melihat baginda di kalangan kaum Muslimin maka dia adalah sahabat baginda.

Pendapat ini adalah pendapat gurunya Ali bin al-Madani rahimahullah (234H) dan ini adalah pandangan majoriti ahli hadis.[4] Ibn Hazm rahimahullah (456H) di dalam kitabnya al-Ahkam berkata:[5]

كل من جالس النبي صلى الله عليه وسلم ولو ساعة وسمع منه ولو كلمة فما فوقها أو شاهد منه عليه السلام أمرا يعيه ولم يكن من المنافقين الذين اتصل نفاقهم واشتهر حتى ماتوا على ذلك ولا مثل من نفاه عليه السلام باستخفافه كهيت المخنث ومن جرى مجراه.

Setiap orang yang duduk dengan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam walaupun sesaat serta mendengar sabda baginda walaupun satu kalimah atau lebih atau menyaksikan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam secara langsung. Maka tidak termasuk di dalam pengertian ini golongan munafik yang dikenali kemunafikan mereka serta mati di dalam keadaan munafik serta orang-orang yang diusir oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam kerana memang patut diusir. Maka sesiapa yang memenuhi kriteria tersebut maka dia termasuk ke dalam golongan sahabat.

 

 

 >> 2. Keadilan Para Sahabat

 


[1]               Catitan penyunting:

Perselisihan ini bukanlah sesuatu yang saling bertentangan tetapi sekadar penggunaan penjelasan yang berbeza dalam memberi satu definisi yang sama. Justeru jika diperhatikan semua pendapat yang dinukil oleh pengarang berikut ini, akan didapati ianya saling melengkap di antara satu sama lain. Malah ia boleh disimpulkan sebagai berikut: “Para sahabat adalah orang-orang yang hadir bersama Nabi, sama ada melalui penglihatan, pendengaran atau suasana dan mereka berada dalam keadaan iman sehinggalah ke saat meninggal dunia.”

[2]               Diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi rahimahullah (463H) di dalam al-Kifayah fi ‘Ilm al-Riwayah (diteliti oleh Abu ‘Abd Allah al-Suraqi & Ibrahim Hamidi al-Madani; Maktabah al-‘Alamiyah, Madinah), ms. 51 (Bab Pendapat berkenaan makna sahabat). 

[3]               Shahih al-Bukhari (Dar al-Fikr, Beirut 1993), jld. 7, ms. 4, (Kitab al-Manaqib, Bab keutamaan para sahabat……)

[4]               Sebagaimana disebut oleh  Ibn Hajar al-Asqalani rahimahullah (852H) di dalam Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (diteliti oleh Fu‘ad ‘Abd al-Baqi & Muhib al-Din al-Khatib; Dar al-Ma’rifah, Beirut), jld 7, ms. 5 (Syarah kepada Kitab al-Manaqib, Bab Keutamaan para sahabat……). 

[5]               al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam (diteliti oleh Ahmad Syakir; Dar al-Hadis, Kaherah 1404H), jld. 5, ms. 85 (Bab ke 28 berkenaan definisi sahabat).  


 



Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7