Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: Sesungguhnya ia (jin) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. [al-A’raaf 7:27] Dalam ayat di atas Allah menerangkan satu hakikat penting iaitu manusia tidak boleh melihat jin dalam keadaannya yang asal. Manusia hanya dapat melihat jin apabila ia menjelma menjadi manusia, ular, anjing atau apa-apa haiwan lain. Apabila ada orang yang mendakwa dia dapat melihat jin dalam keadaannya yang asal, maka dia berdusta berdasarkan kesaksian ayat 27 surah al-A’raaf ini.

Pengecualian diberikan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kerana antara tugas baginda ialah berdakwah kepada jin. Maka antara mukjizat yang Allah berikan kepadanya ialah dapat melihat jin dalam bentuknya yang asal. Dalilnya ialah hadis berikut daripada Abdullah ibn Mas’ud:

…kami pernah bersama Rasulullah pada suatu malam, lalu kami kehilangan baginda sehingga kami mencarinya di lembah-lembah dan lereng-lereng pergunungan. Maka kami berkata: “(Mungkin) jin membawanya pergi atau membunuhnya secara sembunyi-sembunyi.” Maka kami bermalam dengan malam yang terasa amat buruk yang pernah dirasai oleh sesiapa (disebabkan kehilangan Rasulullah).

Tatkala waktu pagi, tiba-tiba baginda datang dari arah Hira'. Kami berkata: “Wahai Rasulullah, kami telah kehilanganmu lalu mencarimu, kami tidak menemuimu sehingga kami bermalam dengan malam yang terasa amat buruk yang pernah dirasai oleh sesiapa.”

Rasulullah menjawab: “Seorang dai dari kalangan jin mendatangiku, maka aku pergi bersamanya. Aku membacakan al-Qur'an kepada mereka.” Lalu beliau bangun pergi bersama kami untuk menunjukkan jejak-jejak mereka dan bekas unggun api (camp fire) mereka. [Sebahagian hadis daripada Shahih Muslim, no: 682/450]

 

Dalam hadis di atas, Rasulullah dapat melihat jin yang datang kepadanya dan juga kumpulan jin yang baginda bacakan al-Qur’an kepada mereka. Walau bagaimanapun para sahabat baginda tidak dapat melihat jin-jin tersebut sehingga tidak sedar apabila Rasulullah hilang pergi berdakwah kepada mereka.

Beberapa Ciri Fizikal Jin

Disebabkan kita tidak dapat melihat jin, kita tidak tahu bagaimanakah ciri-ciri fizikal jin. Jika dikaji ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih, akan ditemui beberapa gambaran ringkas tentang ciri-ciri fizikal jin. Di antara, jin memiliki hati, mata dan telinga berdasarkan ayat berikut:

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). [al-A’raaf 7:179]

Jin juga memiliki suara. Allah pernah berfirman kepada Iblis yang berasal dari kalangan jin: Dan hasutlah sesiapa yang kamu sanggupi di antara mereka dengan suaramu… [al-Isra’ 17:64] Apabila jin tanah bergerak, ia meninggalkan kesan sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis di atas: Lalu beliau bangun pergi bersama kami untuk menunjukkan jejak-jejak mereka… [Shahih Muslim, no: 682/450]

Makanan Jin

Apabila pergi berdakwah kepada golongan jin dan membacakan ayat-ayat al-Qur’an kepada mereka, jin-jin itu bertanya tentang jenis makanan untuk mereka. Maka baginda menjawab: Bagi kalian, daging ialah setiap tulang yang diperolehi oleh tangan kalian, yang telah disebut nama Allah ke atasnya sementara setiap najis haiwan menjadi makanan untuk haiwan tunggangan kalian. [Sebahagian hadis daripada Shahih Muslim, no: 682/450]

Berdasarkan hadis ini, dapat kita fahami bahawa jin juga makan. Hanya kita tidak tahu bagaimana secara terperinci mereka memakan tulang tersebut. Berdasarkan hadis ini juga kita dapat mengetahui bahawa jin juga memiliki haiwan tungganggan tersendiri yang tidak kita lihat dengan mata kasar. Memandangkan tulang dan najis haiwan ialah bahan makanan mereka, Rasulullah melarang kita membersihkan diri (istijmar) dengan menggunakannya. [Rujuk Dara.com edisi Dis 2013 tentang Istijmar]

Tiga Jenis Jin

Secara umumnya wujud tiga jenis jin sebagaimana jelas Rasulullah: Ada tiga jenis jin, (pertama) jenis bersayap yang terbang di udara, (kedua) jenis yang wujud sebagai ular dan anjing dan (ketiga) jenis yang duduk setempat (di tanah) dan bergerak. [Riwayat al-Hakim dalam Mustadrak, no: 3661; dinilai sahih oleh al-Albani dalam Misykat al-Mashabih, no: 4148]

Tentang jin yang mampu terbang ini, Allah pernah mengkhabarkan perihal mereka yang suka mencuri perbicaraan malaikat di langit terbawah: Dan sesungguhnya kami (golongan jin) dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit untuk mendengar-dengar (berita-beritanya). Akan tetapi sekarang sesiapa yang (mencuba) mendengar-dengar (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk memanahnya). [al-Jin 72:9]

Dalam ayat yang lain: Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan bintang-bintang (di langit) dan Kami telah menghiasi langit itu bagi orang-orang yang memandang(nya), dan Kami menjaganya dari tiap-tiap syaitan yang terkutuk kecuali syaitan yang mencuri-curi (berita) yang dapat didengar (daripada malaikat), maka lalu ia dikejar oleh semburan api yang terang. [al-Hijr 15:16-18]

Oleh itu apa yang kadangkala kelihatan sebagai “tahi bintang” di langit, maka itu sebenarnya adalah rejaman api kepada jin yang cuba mencuri dengar perbicaraan malaikat di langit terbawah. Justeru jika masyarakat Barat berkata “Make a wish” apabila terlihat tahi bintang, maka kita pula akan segera ingat kepada kekuasaan Allah dan ayat-ayat al-Qur’an di atas apabila terlihat tahi bintang.

Dara.com (Ogos 2015)