1 haribulan Januari ini masuk tahun baru 2008 manakala 10 haribulan Januari, bersamaan dengan 1 Muharram, masuk tahun baru Islam 1429H. Lazimnya apabila memasuki tahun baru, umat Islam terbahagi kepada dua kumpulan.

          Kumpulan pertama adalah mereka yang memandangnya sebagai peluang untuk berpesta, melancarkan mercun, beriktikaf di hadapan jam menunggu detik 12 tengah malam dan bersorak gembira bersama rakan-rakan.

          Kumpulan kedua adalah mereka yang memandangnya sebagai satu suasana untuk merenung kembali tahun yang berlalu dan merancang tahun yang akan datang. Jika ada sesuatu kejayaan yang dicapai, mereka bersyukur kepada Allah sambil berfikir bagaimana untuk memperbaiki dan mengembangkannya lagi. Jika ada sesuatu kegagalan yang berlaku, mereka bersabar sambil berfikir bagaimana untuk memperbetulkannya agar tidak berulang pada tahun seterusnya. Saya yakin para pembaca Dara.com terdiri dari kumpulan kedua. Alhamdulillah.

          Menjadi satu ciri tetap orang-orang yang berjaya untuk melakukan renungan (bukan termenung) dan perancangan dalam hidupnya. Apa yang baik diperbaiki, apa yang kurang diperbetulkan. Apa yang sudah ada dikembangkan, apa yang belum ada dimiliki. Antara perkara yang patut direnung dan dirancang ialah kedudukan Islam masing-masing.

          Sepanjang tahun 2007, apakah ilmu agama kita semakin bertambah, kefahaman agama kita semakin mendalam, iman dan taqwa kita semakin teguh, amalan agama kita semakin berdisiplin dan kerja sukarelawan kita semakin bermakna? Seterusnya, apa rancangan yang telah digariskan agar persoalan-persoalan di atas semakin baik bagi tahun 2008? Jangan terperanjat jika saya mengatakan kita perlu melakukan perancangan agama. Ini bukan sesuatu yang baru.

          Jika dikaji sejarah Rasulullah s.a.w., akan ditemui bahawa baginda melaksanakannya dengan perancangan yang amat teliti sehingga memperoleh kejayaan yang besar sehingga ke hari ini. Sempena tahun 2008 dan 1429H ini, saya ingin mengajak para pembaca sekalian kepada satu bentuk perancangan, iaitu Islam berdasarkan prioriti. Maksudnya, perkara apakah yang patut didahulukan dan yang patut dikemudiankan. Subjek apakah yang patut diberi fokus utama, perhatian mendalam, dan begitulah seterusnya. Prioriti ini dapat kita ketahui tertib susunannya dengan merujuk kepada pesanan Luqman kepada anaknya. Marilah kita mengkajinya.

          Prioriti Pertama: (Allah berfirman, maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”. [Surah Luqman, ayat 13]

          Berdasarkan ayat di atas, dapat diketahui bahawa prioriti yang pertama ialah tauhid. Ia merangkumi maksud kalimah “La ilaha illallah” dan perkara-perkara yang membatalkan kalimah tersebut.

          Prioriti Kedua: (Allah berfirman, maksudnya): “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya…” [Surah Luqman, ayat 14]

          Berdasarkan susulan ayat, dapat diketahui bahawa prioriti kedua dalam agama ialah berbuat baik kepada ibubapa. Ia bukan sekadar jangan menderhaka, tetapi hendaklah menjaga hubungan dan berbakti sepenuhnya kepada mereka.

         Prioriti Ketiga: (Allah berfirman, maksudnya): “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang…” [Surah Luqman, ayat 17] Setelah tauhid dan ibubapa, prioriti ketiga ialah mendirikan sembahyang. Secara lebih luas, ia adalah hukum-hukum fiqh dan amal ibadah seperti wudhu’, sembahyang, puasa dan sebagainya.

         Prioriti Keempat: (Allah berfirman, maksudnya): “Dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu.” [Surah Luqman, ayat 17] Prioriti seterusnya ialah melakukan kerja sukarelawan untuk menyuruh yang baik dan melarang yang buruk.

         Prioriti Kelima: (Allah berfirman, maksudnya): “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri”. [Surah Luqman, ayat 17] Prioriti kelima menyentuh persoalan akhlak, iaitu akhlak mulia yang sentiasa merendah diri sesama manusia, bukan sombong atau apa-apa akhlak lain yang buruk. Demikian secara ringkas lima perkara dasar dalam agama Islam yang disusun berdasarkan prioritinya.

          Jika dikaji sejarah Rasulullah s.a.w., akan didapati baginda juga meletakkan tauhid pada prioriti pertama. Baginda tidak menyeru kepada sembahyang atau politik, sebaliknya menyeru kepada kalimah “La ilaha illallah”. Marilah sama-sama kita bertanya diri kita secara jujur, sebelum ini perkara manakah yang diberi prioriti utama? Sedar atau tidak, perkara yang lazim diberi prioriti pertama ialah hukum fiqh. Kita semua mengetahui cara-cara berwudhu’ dan sembahyang tetapi amat sedikit di antara kita yang mengetahui maksud sebenar di sebalik kalimah “La ilaha illallah”. Sejak kecil kita diajar perkara-perkara yang membatalkan wudhu’, sembahyang dan puasa, tetapi kita tidak diajar perkara-perkara yang membatalkan tauhid. Setuju atau tidak? Perhatikan pula prioriti kedua dan kelima.

           Tidak berlebihan jika saya katakan bahawa pada masa kini ramai orang yang bersungguh-sungguh melakukan kerja sukarelawan untuk kebaikan agama dan umat (prioriti keempat) tetapi mengabaikan hal ehwal ibubapa di kampung. Tidak ketinggalan, ramai yang melupakan terus kepentingan akhlak yang mulia seolah-olah ia bukan sebahagian dari ajaran Islam. Justeru sempena tahun 2008 dan 1429H ini, marilah kita sama-sama membuat perancangan menyusun semula prioriti kita dalam beragama. Jangan beragama sesuka hati atau sekadar mengikut arus masyarakat. Sebaliknya beragamalah berdasarkan ilmu yang sahih, iaitu berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Dalam konteks ini al-Qur’an dan al-Sunnah mengajar kita untuk beragama berdasarkan prioriti.

Ya! Islam Berdasarkan Prioriti.