Kemungkinan besar sebahagian kita berpendapat Islam bukanlah agama perhiasan dan keindahan. Tidakrambut.jpg boleh dandan rambut, tidak boleh pakai barang kemas, tetapi boleh bersolek, tidak boleh warnakan kuku, tidak boleh cukur bulu kaki, tidak boleh berfesyen, bahkan bersanggul sekali pun tidak boleh. Serba serbi tidak boleh, Islam dianggap agama comot, kusut lagi tanpa perhiasan.

          Apa yang benar ialah sebaliknya, Islam amat menekankan perhiasan dan keindahan. Bahkan keindahan itu adalah sesuatu yang disukai oleh Allah. Buktinya, pada satu ketika Rasulullah pernah bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi kesombongan.” Lalu ada yang bertanya: “Sesungguhnya seseorang yang menyukai agar bajunya elok dan kasutnya elok (apakah ini termasuk kesombongan)?” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya Allah itu indah (dan) menyukai yang indah. Kesombongan itu ialah menolak kebenaran dan meremehkan manusia.” [Shahih Muslim, no: 131]

          Dalam sebuah riwayat yang lain, seorang lelaki yang tampan datang menemui Rasulullah dan bertanya: “Wahai Rasulullah! Saya menyukai keindahan dan saya telah diberi keindahan (oleh Allah) sebagaimana yang anda lihat ini sehinggakan saya tidak suka jika ada orang lain yang (keindahannya) melebihi saya, meski pun sekadar tali kasut. Apakah ini termasuk perasaan sombong?” Rasulullah menjawab: “Tidak, akan tetapi kesombongan itu ialah menolak kebenaran dan meremehkan manusia.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4092]

M 

Keindahan Rambut.

          Di antara keindahan seseorang yang Islam berikan penekanan ialah rambutnya. Rasulullah menegaskan: “Sesiapa yang memiliki rambut maka hendaklah dia memuliakannya.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4163] Termasuk erti memuliakan rambut ialah menjaga panjang-pendeknya, menjaga kebersihannya, meminyakkannya agar tahan lagi lembut, mengikatnya (sanggul) serta menyikatnya agar kemas lagi terurus.

           Merujuk kepada amalan menyikat, Jabir bin Abdullah menerangkan bahawa Rasulullah pernah datang menziarahi rumahnya. Lalu baginda melihat seseorang yang rambutnya kusut terpacak-pacak, lantas menegur: “Tidakkah orang ini boleh mendapatkan sesuatu yang dapat digunakan bagi merapikan rambutnya?” Kemudian baginda melihat pula seseorang yang bajunya kotor, lantas menegur: “Tidakkah orang ini boleh mendapatkan air agar dia dapat mencuci bajunya?” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4062]

          Turut dalam konteks memuliakan rambut ialah mewarnakannya jika ia sudah beruban. Berkenaan uban atau rambut putih, Rasulullah melarang kita daripada mencabutnya kerana: “…itu adalah cahaya orang mukmin.” [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 3721] Pun begitu, kita dianjurkan untuk mewarnakan rambut yang sudah beruban. Rasulullah pernah melihat Abu Quhafah – yakni ayah Abu Bakar as-Shiddiq – di mana rambut dan janggutnya sudah berwarna putih kerana uban. Rasulullah menganjurkan kepada beliau: “Warnakanlah (rambut dan janggut anda) dengan sesuatu asalkan dijauhkan warna hitam.” [Shahih Muslim, no: 3925]

          Sekali pun belum beruban, kita tetap dianjurkan untuk mewarnakannya kerana: “Orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan rambut mereka, maka selisihilah mereka (dengan mewarnakan rambut anda).” [Shahih Muslim, no: 3926] Baginda juga melanjutkan: “Sesungguhnya yang terbaik untuk digunakan sebagai pewarna rambut ialah inai dan katam.” [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 3622] al-Katam ialah sejenis tumbuhan yang memberikan warna hitam kemerahan.

          Perkara penting berkenaan mewarnakan rambut ialah sah atau tidak wudhu’ dan mandi hadas (mandi wajib). Para ilmuan berbeza pendapat dalam persoalan ini. Sebahagian mereka berpendapat ia tidak sah kerana pewarna itu menghalang air dari menyentuh rambut. Sebahagian lagi berpendapat sah jika pewarna itu diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan seperti inai (Henna). Terakhir, ada yang berpendapat sah dengan apa jua pewarna kerana Rasulullah telah menganjurkannya tanpa mengambil kira hukum wudhu’ dan mandi hadas. Padahal jika ia memberi kesan kepada sah atau tidak, pasti Rasulullah akan menjelaskan hukumnya. Lebih dari itu, pewarna tersebut sebenarnya “bergabung” dengan sel-sel rambut sehingga menjadi sebahagian dari rambut. Ini berbeza dengan alat-alat solek yang hanya menumpang di atas kulit dan tidak menjadi sebahagian dari kulit.

M 

Batas-Batas Keindahan Rambut.

          Meski pun Islam menekankan keindahan rambut, terdapat beberapa batas atau syarat yang digariskan.

          Pertama, janganlah terlalu memberi perhatian kepada penjagaan rambut sehingga leka dari tujuan utama Allah meletakkan kita di muka bumi ini. Bagi mengawal kita daripada leka dengan penjagaan rambut, seorang sahabat yang pernah mendampingi Rasulullah selama empat tahun menerangkan: “Rasulullah melarang kami menyikat rambutnya setiap hari.” [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 5054] Hadis ini bersifat kiasan, ertinya jangan berlebih-lebihan dalam menjaga keindahan rambut. Sebaliknya bersederhanalah dan dudukkanlah ia di pertengahan. Termasuk dalam bersederhana ini ialah tidak membelanjakan wang yang banyak semata-mata untuk mendandan rambut.

          Kedua, dalam rangka memuliakan dan mengindahkan rambutnya, wanita dilarang mendedahkan kepada orang ramai. Para wanita boleh berhias untuk keseronokan diri sendiri dan dianjurkan berhias kepada suaminya. Namun apabila keluar ke khalayak ramai, wanita hendaklah menutup auratnya di mana rambut termasuk salah satu dari aurat tersebut.

          Ketiga, tidak termasuk dalam anjuran menjaga keindahan rambut untuk memakai rambut palsu, mengikat sanggul unta dan mencabut uban. Semuanya dilarang oleh Islam dengan dalil-dalil yang telah dikemukakan dalam edis-edisi Dara.com sebelum ini.

          Keempat, dalam rangka memuliakan rambut dan menjaga keindahannya, hendaklah sentiasa waspada dengan perasaan ujub atau meremehkan orang lain. Ini kerana sedetik dari perasaan buruk sedemikian akan melayakkan anda ke neraka sepertimana hadis-hadis yang dikemukakan di permulaan artikel ini.