Ramai ahli ilmu yang menyatakan bahawa penyakit fizikal memiliki kaitan yang rapat dengan kesihatan jiwa seseorang. Jika jiwa tenang, gembira, lapang, memaafkan dan bersosial, kemungkinan besar fizikal akan sentiasa sihat. Jika jiwa tertekan (stress), murung (depression), sedih, berdendam dan kesunyian, kemungkinan besar fizikal akan kerap kali dilanda penyakit.

Perkara ini sejak awal sudah dikenal pasti oleh Islam. Oleh kerana itulah Islam sangat menganjurkan umatnya untuk menziarahi orang sakit. Ziarah akan menggembirakan pesakit dan memberikan dirinya perasaan masih dikasihi, dihargai dan diberi perhatian. Sementara kata-kata semangat oleh penziarah kepada pesakit akan memberikan caj-caj positif yang baru kepada jiwanya. Semua ini adalah ubat, bahkan mungkin sahaja ubat yang paling berkesan kepada pesakit tersebut.

syafakallah.jpg 

 

Mendoakan Pesakit

Sebahagian dari kata-kata semangat tersebut telah kita pelajari dalam kolum yang lepas. Dalam kolum ini kita akan pelajari pula kata-kata semangat berupa doa-doa kepada orang yang sakit. Tidak ada doa yang lebih baik melainkan doa yang diajar dan diamalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Dalam hal ini terdapat sebuah hadis di mana baginda bersabda: 

Sesiapa yang menziarahi orang sakit yang belum datang ajalnya kemudian dia mengucapkan  di sebelahnya sebanyak tujuh kali: as alulLahal 'azhim rabbal 'arsyil 'azhim an yusyfiyaka (Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang Agung, semoga Dia menyembuhkan kamu), melainkan Allah akan menyembuhkannya dari penyakit tersebut. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2700/3106]

Boleh juga berdoa dengan sesuatu yang lebih pendek, seperti “Ya Allah! Sembuhkanlah (sebut nama pesakit)” tiga kali. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah ketika menziarahi Sa’ad bin Abi Waqash. Baginda berdoa: “Ya Allah! Sembuhkanlah Sa’ad” tiga kali [Shahih Muslim, no: 3079/1628]

Baginda juga pernah berdoa dengan mengatakan: La ba’sa, thahur insyaAllah” yang bermaksud: “Tidak mengapa, (penyakit ini) membersihkan (dosa-dosa) insya-Allah.” [Shahih al-Bukhari, no: 5224/5656]

 

Selawat Syifa’

Apabila hendak berdoa, seperti mendoakan kesembuhan pesakit, hendaklah dimulakan dengan memuji Allah dan berselawat kepada Rasulullah. Marilah kita mengkaji hadis berikut: 

Nabi mendengar seorang lelaki yang berdoa dalam solatnya namun tidak berselawat ke atas Nabi. Maka Nabi bersabda: “Orang ini terburu-buru.” Lantas baginda memanggilnya dan berkata kepadanya atau kepada selainnya: “Apabila seseorang kalian bersolat, hendaklah dimulai dengan Tahmid (Alhamdulillah) dan puji-pujian kepada Allah kemudian diikuti dengan berselawat ke atas Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, kemudian sesudah itu meminta apa sahaja yang dikehendakinya.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3399/3477]

Pujian-pujian dan selawat yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah bacaan ketika duduk tasyahud di dalam solat. Maka berdoalah selepas selesai membaca tasyahud dan sebelum memberi salam. Akan tetapi petunjuk hadis ini perlu juga diamalkan apabila ingin berdoa di luar solat. Hendaklah doa dimulakan dengan puji-pujian kepada Allah: “Alhamdulillahi Rabbil ‘alamin” diikuti dengan selawat: “Allahumma shalli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad.” Demikian bentuk pujian dan selawat yang paling ringkas.

Masyhur di kalangan masyarakat kita sebuah selawat yang dikenali sebagai Selawat Syifa’ yang bererti “Selawat kesembuhan”. Selawat ini bermaksud: 

“Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, Muhammad yang (dengan keberkatan selawat ini) menjadi ubat kepada hati dan penawarnya, kesejahteraan badan dan kesembuhannya, juga cahaya penglihatan dan berilah rahmat keberkatan dan kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya”

Diharapkan melalui keberkatan berselawat kepada Rasulullah, ia akan menjadi ubat, penawar dan kesembuhan bagi penyakit tersebut.

Selawat sebegini tidak diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan tidak diamalkan oleh umat Islam pada generasi baginda dan kurun-kurun selepas itu. Apa yang mereka amalkan ialah memuji Allah, berselawat kepada Rasulullah dan berdoa dengan doa yang disebut dalam hadis-hadis di atas. Keberkatan dan kesembuhan ialah kuasa Allah, justeru kepada Allah sahajalah kita mengharapkan keberkatan dan kesembuhan tersebut.

Maksud Selawat Syifa’ amat meragukan. Meskipun pengamalnya berkata Allah sahajalah yang menjadi penyembuh, erti kata Selawat Syifa’ tidak menunjuk ke arah itu secara pasti. Oleh itu adalah lebih selamat meninggalkan Selawat Syifa’ dan mencukupkan diri dengan doa-doa kesembuhan yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

 

Membaca Surah Yasin

Sebuah lagi amalan masyhur di kalangan masyarakat kita ialah membaca surah Yasin kepada orang yang sakit. Amalan ini sekali lagi tidak memiliki sandaran yang sahih daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Jika dirasakan pesakit sudah nazak, apa yang sahih daripada Rasulullah ialah mengajar atau membimbingnya untuk mengucapkan La ilaha illalLah sebagaimana hadis berikut: Talqinkanlah orang kalian yang akan meninggal dunia La ilaha illalLah. [Shahih Muslim, no: 1524/916] Bimbangan ini sekadar yang mampu dilakukan oleh orang yang sedang nazak tersebut.

Adapun selain itu, tidak mengapa jika ingin mendengarkan bacaan al-Qur’an kepada pesakit. Namun bacalah mana-mana surah daripada al-Qur’an tanpa dihadkan kepada surah Yasin sahaja.