Kesihatan yang baik adalah sesuatu yang penting, bukan sahaja untuk jasmani tetapi untuk rohani kita. Ini kerana apabila kita diuji dengan sesuatu penyakit, ia bukan sahaja mempengaruhi jasmani kita dengan rasa sakit, tetapi juga rohani kita sehingga mungkin menimbulkan rasa marah, putus asa atau ragu-ragu kepada Allah Subhanahu waTa'ala. Bahkan lebih berat atau berpanjangan sesuatu penyakit itu, lebih hebat kemarahan, putus asa dan ragu-ragu kita kepada Allah. Semoga Allah memelihara kita daripada penyakit yang berat dan keyakinan kepada Allah ketika diuji dengan penyakit. Inilah yang menjadi tumpuan kita bulan ini sebagai sambungan kepada adab-adab pesakit bulan lepas.

 

Mendoakan Kesihatan Yang Baik

Antara doa yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah kita memohon kepada Allah kesihatan yang baik. al-Abbas bin Abdul Muthalib (pakcik Rasulullah) menceritakan: Aku pernah meminta: “Wahai Rasulullah, ajarkan kepadaku sesuatu yang aku minta kepada Allah.” Baginda menjawab: “Mintalah kesihatan yang baik kepada Allah.” Selang beberapa hari kemudian aku datang semula dan mengatakan: “Wahai Rasulullah, ajarkan kepadaku sesuatu yang aku minta kepada Allah.” Kemudian baginda berkata kepadaku: “Wahai Abbas, wahai pakcik Rasulullah, mintalah kesihatan yang baik kepada Allah di dunia dan di akhirat.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3436/3514] 

ya_allah.jpg 

Abdullah ibn ‘Umar menerangkan bahawa di antara doa-doa yang dibaca sendiri oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah: Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada Kamu dari hilangnya nikmat-Mu, berubahnya kesihatan-Mu, datangnya seksa-Mu dan semua kemurkaan-Mu. [Shahih Muslim, no: 4922/2739] Maksud kesihatan-Mu ialah kesihatan yang Allah berikan kepada kita.

Kepentinga doa ini sekali terbukti apabila baginda mengajarkannya kepada orang ramai. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda di atas mimbar sambil menangis: Mintalah kepada Allah keampunan dan kesihatan yang baik kerana sesungguhnya bagi seseorang itu tidak ada yang lebih baik untuk diberikan (kepadanya) setelah keyakinan (yakni iman kepada Allah) kecuali kesihatan yang baik. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3481/3558]

Perhatikan dalam hadis di atas bagaimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meletakkan kesihatan yang baik di tangga kedua setelah keyakinan, yakni setelah keimanan kepada Allah. Ini kerana, sebagaimana yang dijelaskan di permulaan tadi, penyakit kemungkinan besar boleh menimbulkan rasa marah, putus asa atau ragu-ragu kepada Allah Subhanahu waTa'ala.

 

Tidak Putus Asa Kepada Allah

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah ditanya tentang dosa-dosa besar, lalu baginda menjawab: Syirik kepada Allah, putus asa daripada rahmat Allah dan merasa aman daripada tipudaya Allah. [Riwayat al-Bazzar, Majma al-Zawa’id, no: 391 dengan para perawi yang dipercayai]

Selain itu Abdullah ibn Mas’ud juga pernah berkata: Dosa-dosa besar ialah syirik kepada Allah, merasa aman daripada tipudaya Allah, merasa jauh dari kasih sayang Allah dan putus asa kepada rahmat Allah. [Musannaf Abdur Razzaq, no: 19701; Majma al-Zawa’id, no: 392 dengan sanad yang sahih]

Putus asa daripada rahmat Allah dan merasa jauh daripada kasih sayang-Nya memang merupakan kesalahan yang besar. Ini kerana rahmat Allah dan kasih sayang-Nya sentiasa meliputi para hamba-Nya. Apabila Allah menguji seseorang hamba-Nya dengan penyakit, bererti Allah lebih sayang kepada hamba-Nya itu dan menginginkan kebaikan di sebalik penyakit tersebut. Kebaikan tersebut ialah peringatan kepada diri yang lupa kepada Allah, bertaubat kepada Allah, merujuk kembali kepada Allah dan mengharapkan kesembuhan daripada Allah. 

Putus asa kepada rahmat Allah turut disebut di dalam al-Qur’an: Tidak ada orang yang berputus asa daripada rahmat Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat. [al-Hijr 15:56] Dalam ayat yang lain: Sesungguhnya tiada yang berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir. [Yusuf 12:87]

Oleh itu, baik dalam keadaan senang atau susah, sihat atau sakit, hendaklah kita sentiasa yakin terhadap rahmat Allah dan janganlah berputus asa daripadanya.

 

Tipudaya Allah

Dalam hadis di atas, disebut bahawa antara dosa besar ialah … merasa aman daripada tipudaya Allah. Maksud tipudaya di sini ialah kadangkala Allah memberikan kehidupan yang bahagia dan kesihatan yang baik sebagai tipudaya kepada orang-orang yang sejak awal telah melupakan Allah dan mengabaikan syari’at-Nya. Kemudian secara tiba-tiba Allah menjatuhkan azab ke atas mereka sedang mereka dalam keadaan leka lagi lalai.

Ini jelaskan oleh hadis berikut di mana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda: “Apabila kamu melihat Allah memberikan seorang hamba sebahagian daripada dunia apa yang dia cintai sementara hamba itu suka berbuat maksiat, maka itu tidak lain adalah tipudaya.” Kemudian Rasulullah membaca ayat 44 surah al-An’aam: 

Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). [Musnad Ahmad, no: 16673/17311 dengan darjat hasan] 

Oleh itu apabila kita hidup senang dan sihat, hendaklah sentiasa menyemak apakah itu nikmat Allah atau tipudaya Allah. Hendaklah sentiasa berhubung dengan Allah melalui ibadah, zikir dan kepatuhan kepada syari’at-Nya agar nikmat tersebut adalah benar-benar nikmat Allah dan bukan satu tipudaya.