Apabila seseorang itu Allah uji dengan penyakit, ada sejumlah hukum dan adab yang mesti diperhatikan olehnya, termasuk oleh ibubapa dan kaum keluarga yang membantunya ketika sakit. Hukum dan adab yang paling penting untuk diperhatikan ialah dalam bab tauhid dan aqidah. Ini kerana apabila Allah menguji seorang hamba-Nya dengan penyakit, di antara sebabnya ialah Allah ingin menarik hamba itu agar lebih dekat kepada-Nya. Malang sekali ada di antara umat Islam yang ketika ditimpa ujian penyakit, mereka menjauhi Allah dengan keyakinan, pemikiran dan amalan yang syirik. Oleh kerana itulah, sejak memulakan topik Adab-Adab Pesakit ini beberapa edisi yang lepas, saya banyak memberi tumpuan kepada perbincangan tauhid dan aqidah.

Pada edisi ini, saya akan memberi tumpuan kepada jampi-jampian. Merupakan sesuatu yang agak lazim bagi sebahagian umat Islam untuk berubat dengan jampi-jampian apabila diuji dengan penyakit. Menurut Kamus Dewan, Jampi ialah kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian, seperti menyembuhkan penyakit. 

 

jampian.jpeg 

Secara umumnya, jampi-jampian adalah syirik berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Sesungguhnya jampi-jampian, tangkal dan permainan sihir adalah syirik. [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 3530] Marilah kita membaca keseluruhan hadis ini, di dalamnya ada beberapa pengajaran yang menarik.

Zainab (isteri kepada Abdullah ibn Mas’ud, seorang sahabat Nabi yang berilmu) menceritakan: Seorang wanita tua menemui kami hendak menjampi (kami) dari penyakit demam. Kami memiliki kerusi (bangku) yang panjang kakinya (dan wanita tua itu menjampiku sambil aku duduk atau baring di atasnya). 

Lazimnya apabila Abdullah hendak masuk (ke dalam rumah) maka dia akan (terlebih dahulu) berdehem dan bersuara (yakni memberi salam). Satu hari dia masuk dan ketika wanita tua itu mendengar suaranya, maka dia bersembunyi. Kemudian Abdullah datang dan duduk di sampingku serta membelaiku. Ternyata dia menyentuh suatu jahitan benang, maka dia bertanya: “Apa ini?” Aku menjawab: “Tangkal yang di dalamnya terdapat jampi-jampiku untuk mengubati penyakit demam.” 

Abdullah lalu menariknya dengan keras, memutuskannya dan membuangnya seraya berkata: “Sungguh keluarga Abdullah tidak memerlukan lagi serba mencukupi daripada amalan syirik. Saya mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, sesungguhnya jampi-jampian, tangkal dan permainan sihir adalah syirik.”

 Aku (Zainab) seterusnya berkata: “Pada satu hari aku keluar lalu seorang lelaki memandangku sehingga mataku selalu berair. Jika mataku di jampi maka air mata akan berhenti, namun jika tidak di jampi maka ia akan selalu berair.”

Abdullah berkata: “Itu adalah (tipu daya) syaitan, jika kamu mentaati syaitan (dengan mengamalkan jampi-jampian) maka syaitan akan meninggalkanmu (yakni tidak lagi mengganggu dengan mata yang berair). Akan tetapi jika kamu mengingkari syaitan (dengan mengingkari jampi-jampian) maka ia akan menusuk matamu dengan jari-jarinya (sehingga selalu berair. Demikianlah tipu daya syaitan agar kamu sentiasa mengamalkan jampi-jampian). 

Sekiranya kamu melakukan apa yang pernah dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam maka itu tentu lebih baik bagimu dan lebih layak mendapatkan kesembuhan. Iaitu kamu membasuh kedua matamu dengan air sambil membaca doa:

Hilangkanlah (penyakit ini), wahai Rabb manusia. Sembuhkanlah kerana Engkaulah Maha Penyembuh. Tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang kesan sampingan.” [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 3521/3530]

Perhatikan bagaimana kelembutan Abdullah ibn Mas’ud sebagai seorang suami yang apabila balik ke rumah, akan duduk bersama isterinya dan membelai-belainya. Akan tetapi apabila mendapati isterinya melakukan satu amalan syirik, beliau serta merta bertegas dan memusnahkannya. Tidak ada kelapangan atau toleransi dalam urusan tauhid dan syirik. Abdullah kemudian menerangkan hukum jampi-jampian, tangkal dan syirik berdasarkan tunjuk ajar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Zainab cuba membela dirinya dengan menerangkan bahawa jampi-jampian itu sebenarnya ada memberi manfaat. Pembelaan Zainab menunjukkan dalam Islam, suami dan isteri boleh berbicara dan bertukar-tukar pandangan. Abdullah membetulkan bahawa semua itu sebenarnya hanyalah tipu daya syaitan. Kemudian Abdullah mengajar doa kesembuhan yang diajarkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Pengajaran terpenting dalam hadis di atas, kadangkala jampi-jampian boleh memberi manfaat kepada pesakit. Akan tetapi sedarilah bahawa manfaat tersebut adalah tipu daya syaitan dan bukannya kesembuhan yang sebenar daripada Allah Subhanahu waTa'ala. Oleh itu para pembaca hendaklah benar-benar prihatin terhadap tipu daya ini. Kebenaran sesuatu amalan tidak diukur dengan berjaya atau gagal kerana mungkin saja ia melibatkan tipu daya syaitan. Sebaliknya kebenaran sesuatu amalan diukur dengan tunjuk ajar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdasarkan hadis-hadis yang sahih. Berjaya atau tidak, maka itu di atas izin dan kehendak Allah.

Dalam hadis di atas juga, dapat difahami bahawa jampi-jampian yang tidak mengandungi unsur syirik adalah dibolehkan. Doa yang diajar oleh Rasulullah yang dibacakan oleh Abdullah ibn Mas’ud kepada isterinya boleh juga dikategorikan sebagai sebuah jampi. Hanya ia adalah jampi yang mentauhidkan Allah sebagai satu-satunya penyembuh, bukan mensyirikkan-Nya.

Oleh itu sekali lagi ditegaskan, secara umumnya jampi-jampian dilarang kerana ia melibatkan syirik. Pengecualian diberikan kepada jampi-jampian yang secara jelas lagi nyata tidak melibatkan apa-apa unsur syirik di dalamnya. Jika diragui sama ada sesuatu jampian itu mengandungi unsur syirik atau tidak, maka tinggalkan ia sebagai satu pilihan yang menyelamatkan aqidah.