Orang yang sakit pada bulan Ramadhan diberikan keringanan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk tidak berpuasa. Ini berdasarkan firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian, mengqadha) puasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. [al-Baqarah 2:183-184]

Fokus kita ditujukan kepada firman Allah: …maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka)… Allah tidak memperincikan apakah penyakit yang membolehkan seorang pesakit itu berbuka puasa atau tidak berpuasa. Oleh itu perkara ini terserah kepada setiap individu kerana penyakit yang sama boleh memberikan kesan yang berbeza-beza di antara individu yang berbeza-beza. Apa yang penting ialah bersikap jujur kepada Allah dan tidak menyalahgunakan keringanan ini.

sakit perut

Oleh itu Sakinah yang menghadapi demam selsema mungkin mampu berpuasa sementara Intan yang juga menghadapi demam selsema tidak mampu berpuasa. Sakinah melakukan kebaikan kerana Allah telah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa… sementara Intan juga melakukan kebaikan kerana Allah telah berfirman:Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. [al-Baqarah 2:286] Di samping itu Rasulullah telah bersabda: Sesungguhnya Allah menyukai keringanan-keringanan hukum-Nya diamalkan sebagaimana Dia benci larangan-larangan-Nya dikerjakan. [Musnad Ahmad, no: 5600/5866 dengan sanad yang sahih]

Tempoh Sakit

Orang yang sakit terbahagi kepada tiga kategori dari aspek tempoh penyakitnya. Kategori Pertama ialah orang yang sakit dalam bulan Ramadhan dan penyakitnya sembuh sebelum kedatangan bulan Ramdhan tahun seterusnya. Bagi pesakit seperti ini, dia hendaklah mengqadha puasanya apabila sudah sembuh dan diselesaikan qadhanya sebelum kedatangan bulan Ramadhan yang seterusnya.

Ini berdasarkan firman Allah: …kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.

Kategori Kedua ialah orang yang sakit dalam bulan Ramadhan dan penyakitnya berpanjangan atau tidak sembuh sehingga kedatangan bulan Ramadhan tahun seterusnya. Bagi pesakit seperti ini, dia hendaklah membayar fidyah. Kadar fidyah ialah makanan yang dapat memberikan kekenyangan kepada orang miskin mengikut kadar kebiasaan setempat. Setiap hari dia tidak berpuasa bersamaan dengan makanan seorang yang miskin. Ertinya jika dia tidak berpuasa selama dua puluh hari, maka dia memberi makan kepada dua puluh orang miskin untuk sehari atau kepada seorang miskin selama dua puluh hari.

Ini berdasarkan firman Allah: …dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Dalam rangka memberi fidyah, usah terlalu mengira kerana apa-apa pemberian yang lebih adalah satu kebaikan bagi dirinya sendiri. Allah menganjurkan hal ini dengan firman-Nya: Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya.

Kategori Ketiga ialah orang yang sakit dalam bulan Ramadhan dan penyakitnya antara sembuh dan tidak sembuh selepas bulan Ramadhan. Keadaan ini menyebabkan pesakit tersebut ragu-ragu manakah yang lebih utama, mengqadha puasa atau membayar fidyah sementara dirinya mampu melakukan kedua-duanya? Maka yang lebih utama baginya ialah mengqadha puasa berdasarkan firman Allah:  …(walaupun demikian, mengqadha) puasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

Qadha Atau Fidyah, Bukan Qadha Dan Fidyah

Berdasarkan tiga kategori di atas, jelas bagi kita bahawa orang yang sakit dan tidak berpuasa dalam bulan Ramadhan hanya perlu melakukan salah satu daripada dua perkara, mengqadha puasa atau membayar fidyah. Dia tidak diwajibkan melakukan kedua-dua sekali, iaitu mengqadha puasa dan membayar fidyah.

Sayang sekali, pendapat yang lazim diajar di Malaysia ialah kedua-dua sekali, iaitu mengqadha puasa dan membayar fidyah. Perkara ini benar-benar memberatkan seorang pesakit, lebih-lebih lagi jika penyakitnya berterusan sehingga Ramadhan yang seterusnya dan seterusnya. Melakukan kedua-dua perkara, iaitu mengqadha puasa dan membayar fidyah, juga menyelisihi tujuan Islam yang ingin memberikan keringanan (rukhsah) kepada orang yang sakit.

Ibu Yang Hamil Dan Menyusu Badan

Sekadar maklumat tambahan, ibu yang hamil juga diberikan keringanan (rukhsah) untuk tidak berpuasa, sama ada demi kebaikan dirinya dan/atau kebaikan anak kandungannya. Jika ibu terbabit masih menyusukan anaknya sehingga ke Ramadhan akan datang dan mengqadha puasa akan menyebabkan kekurangan bekalan susu, maka ibu terbabit tidak wajib mengqadha puasa. Dia hanya perlu membayar fidyah. Ibu yang hamil dan/atau menyusu badan anaknya memiliki pilihan sama ada mengqadha puasa atau membayar fidyah, bukan mengqadha puasa dan membayar fidyah. Hendaklah dia memilih salah satu daripadanya, bukan kedua-duanya sekali.