Saya pasti para pembaca sekalian pernah mendengar kes-kes rasukan, histeria dan gangguan yang tidak dapat dijelaskan oleh sains, logik mahupun adat kebiasaan. Lebih memberatkan, kes-kes seperti ini mangsanya yang lazim ialah wanita, khususnya yang berumur belasan tahun dan belia. Bahkan mungkin saja kes-kes seperti ini bukan sekadar kedengaran tetapi telah dialami sendiri oleh para pembaca Dara.com.

Apakah yang menyebabkan kes-kes rasukan, histeria dan gangguan ini? Apa atau siapa yang merasuk dan mengganggu? Bagaimana cara untuk mendinding diri daripada menjadi mangsa atau mengubat diri jika sudah menjadi mangsa?

Inilah beberapa persoalan yang akan dikupas dalam kolum Cahaya Rohani untuk beberapa bulan yang akan datang. Ini adalah persoalan besar yang tidak dapat dijelaskan dalam satu kolum sahaja, akan tetapi memerlukan penjelasan panjang lebar yang memerlukan beberapa kolum secara bersiri. Ayuh kita mulakan...

alamghaib

Beriman Kepada Makhluk Ghaib

Di antara Rukun Iman ialah beriman kepada perkara-perkara ghaib dan di antaranya ialah makhluk-makhluk ghaib. Makhluk-makhluk ghaib ialah apa yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar atau diukur secara pasti oleh ilmu sains. Ada tiga makhluk ghaib iaitu ruh, malaikat dan jin. Kewujudan makhluk-makhluk ghaib ini adalah berdasarkan sekian banyak ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis sahih Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Kita akan mempelajari ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut dalam kolum ini dan yang akan datang.

Makhluk-makhluk ghaib ini boleh mempengaruhi manusia. Ada yang memberi pengaruh baik, ada yang memberi pengaruh tidak baik dan ada pula yang bercampur antara baik dan tidak baik. Masalah rasukan, histeria dan gangguan yang disebut sebelum ini, sebahagiannya berpunca daripada makhluk-makhluk ghaib ini.

Oleh itu marilah kita berkenalan dengan makhluk-makhluk ghaib ini dan seterusnya mengkaji sama ada mereka mampu mengganggu kita atau tidak, kenapa mereka mengganggu kita, bagaimana mereka mengganggu kita dan apa cara mengelak dan merawatnya. Kita mulakan proses pengenalan ini dengan makhluk ruh.

Berkenalan Dengan Ruh

Ruh ialah makhluk yang berada dalam jasad manusia. Ia ditiup masuk ketika manusia berada dalam kandungan ibunya (janin) sebagaimana firman Allah: Kemudian Dia menyempurnakan (air mani itu menjadi janin) dan meniupkan ke dalamnya ruh-Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur. [al-Sajdah 32:09]

Setelah ditiup masuk, al-Qur’an dan hadis yang sahih tidak menyebut di manakah kedudukan ruh di dalam jasad manusia. Apa yang didiamkan oleh dua sumber wahyu ini, hendaklah juga kita mendiamkannya. Tidak perlu membuang masa memikirkannya atau membaca dari sumber-sumber yang tidak lebih hanyalah teka-teki.

Ruh ditarik keluar ketika manusia meninggal dunia. Selain itu, ruh juga mungkin keluar apabila manusia tidur, dengan kehendak Allah. Perhatikan ayat berikut: Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya; maka Dia tahan jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan . Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir. [al-Zumar 39:42] Berdasarkan ayat di atas, ruh juga disebut sebagai nafs yakni jiwa atau nyawa.

Ruh Ialah Makhluk Allah

Di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah, ruh ialah salah satu makhluk ciptaan Allah. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: Katakanlah: “Allah adalah Pencipta segala sesuatu dan Dia-lah Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” [al-Rad 13:16] Dalam ayat yang lain Allah menegaskan: Allah menciptakan segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu. [al-Zumar 39:62] Kedua-dua ayat ini bersifat umum, bererti semua yang ada – termasuklah ruh – merupakan makhluk Allah.

Di sisi sebahagian aliran sufi dan tasawuf yang menyimpang, mereka berkeyakinan ruh bukanlah makhluk ciptaan Allah tetapi merupakan sebahagian daripada Allah. Mereka berhujah dengan ayat berikut, ketika Allah hendak mencipta manusia yang pertama:

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk.Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya dan telah meniupkan ke dalamnya ruh-Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud. [al-Hijr 15:28-29, lihat juga al-Sajdah 32:09]

Berdasarkan ayat: “…dan telah meniupkan ke dalamnya ruh-Ku…”, mereka berfahaman bahawa ruh yang ada di dalam manusia merupakan sebahagian daripada Allah. Berpijak dari ayat inilah timbul kefahaman sesat bahawa manusia yang sudah mencapai maqam (kedudukan) yang tinggi boleh bersatu dengan Allah sehingga tidak perlu lagi beramal ibadah. Mereka mendakwa: “Allah ialah saya dan saya ialah Allah, oleh itu Allah tidak perlu beribadah kepada Allah!”

Di sinilah letaknya bahaya ilmu sufi dan ilmu tasawuf. Mereka mendakwa kononnya belajar ilmu makrifah untuk mengenal Allah dan beribadah untuk mendekati Allah. Namun tujuan utama mereka belajar ilmu itu ialah untuk bersatu dengan Allah. Meskipun sudah bersatu, mereka tetap makan, minum dan pergi tandas untuk membuang hajat. Ini ialah syirik dan penghinaan ke atas Allah. Maha Suci Allah daripada dakwaan mereka.

Adapun firman Allah: “…dan telah meniupkan ke dalamnya ruh-Ku…”, maksudnya yang sebenar ialah ruh ciptaan Allah (makhluk Allah). Ia umpama Salina yang berkata: “Ini buku saya.” Ia bukan bererti buku itu sebahagian dari jasad Salina, tetapi bererti ia milik Salina. Atau Hayati yang berkata “Ini esei saya.” Ia bukan bererti esei itu sebahagian dari jasad Hayati, tetapi bererti ia karya Hayati. (insyaAllah bersambung).