Soal Jawab Agama.

Dalam artikel “Islam Agama Ceria” (Dara.com, April 07, ms. 64) disebut bahawa bersikap ceria adalah salah satu sunnah utama Rasulullah s.a.w.. Saya menghadapi kesukaran apabila berinteraksi dengan rakan-rakan. Saya merupakan seorang yang pendiam, jauh sekali daripada dapat berlawak jenaka. Ini menyebabkan rakan-rakan saya menyisihkan saya kerana menganggap saya ini membosankan. Bagaimana untuk saya mengubah sikap ini?
(Shima, melalui sms).

Penjelasan:

Bersahabat adalah salah satu ciri yang ditekankan oleh Islam. Dalam sebuah hadisnya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang mukmin adalah yang bersahabat dan disahabati. Tidak ada kebaikan bagi yang tidak bersahabat dan tidak disahabati.” [Riwayat Imam al-Daraquthni dan lain-lain, sanadnya hasan. Rujuk Silsilah al-Ahadits al-Shahihah oleh Syaikh al-Albani, no: 426]
Walaubagaimana pun sahabat yang dimaksudkan perlu menepati beberapa ciri dan ukuran tertentu. Ciri dan ukuran tersebut boleh dirujuk pada ayat dan hadis berikut:“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadah kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan wajah Allah semata-mata; Dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.” [al-Kahf, ayat 28]
“Sesungguhnya perumpamaan sahabat yang salih dan sahabat yang buruk hanyalah seumpama pembawa minyak wangi dan peniup tungku api seorang tukang besi. Bagi pembawa minyak wangi, boleh jadi sama ada dia memberinya kepada kamu (minyak wangi) atau kamu membeli daripadanya (minyak wangi) atau kamu mendapat bau harum daripadanya. Bagi peniup tungku api seorang tukang besi, boleh jadi sama ada ia akan membakar pakaian kamu (kerana kesan tiupan api) atau kamu mendapat bau yang tidak sedap daripadanya (bau besi).” [Shahih Muslim, hadis no: 2628]
Jika anda disisih kerana bersikap pendiam, maka salahnya bukan anda tetapi orang yang menyisihkan anda. Ini kerana diam, yakni tidak berbicara kecuali yang baik dan bermanfaat adalah salah satu sunnah Rasulullah s.a.w.:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, berkata-katalah yang baik atau (jika tiada yang baik untuk dikatakan maka) diamlah.” [Shahih al-Bukhari, hadis no: 6018]

Jika anda disisih kerana tidak pandai berlawak jenaka, maka salahnya bukan anda tetapi orang yang menyisihkan anda. Ini kerana lawak jenaka itu sendiri terbahagi kepada dua jenis, yang bermanfaat dan yang sia-sia. Lawak jenaka yang bermanfaat adalah apa yang mengandungi pengajaran di sebaliknya. Lawak jenaka seperti ini amat “mahal” dan ia hanya lahir dalam suasana tertentu. Lawak jenaka inilah yang mewakili keceriaan Rasulullah s.a.w.. Lawak jenaka yang sia-sia adalah apa yang tidak memiliki pengajaran di sebaliknya, bahkan tidak asing ia sekadar sembang kosong atau gossip tentang orang lain. Lawak jenaka seperti ini adalah satu benda murah yang boleh ditemui di sana sini dan ia tidak layak menjadi kejaran seorang muslim. Bahkan yang utama adalah menjauhkan diri darinya.
Ketika menerangkan ciri-ciri hamba yang layak dikurniakan Rahmat, Allah menerangkan bahawa mereka adalah orang yang: “……apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.” [al-Furqan, ayat 72]
Oleh itu sikap diam dan tidak pandai berlawak bukan sikap yang tercela. Jadilah diri anda sendiri, berubah hanya jika anda memiliki sikap yang tidak selari dengan tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah. Bersahabat memang dituntut oleh Islam, akan tetapi pastikan sahabat tersebut adalah mereka yang memiliki sikap yang selari dengan tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah. Sahabat sedemikian memang ada, hanya mereka agak sukar ditemui sehingga perlu kita cari dengan teliti. Bukankah batu berlian adalah yang paling sukar ditemui berbanding batu-batu lain?