Soalan

Apakah hari-hari yang sesuai untuk saya berpuasa sunat dalam seminggu?

Jawapan:

Anda boleh berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis. A’isyah r.a., isteri Nabi s.a.w. menerangkan: Rasulullah s.a.w. selalu bersungguh-sungguh untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. [Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 745] Selain itu boleh juga berpuasa selang sehari berturut-turut. Rasulullah s.a.w. bersabda: Puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud…dia berpuasa sehari dan berbuka sehari. [Shahih al-Bukhari, no: 1131]

Dalam rangka melakukan puasa sunat, terdapat dua perkara penting yang perlu diperhatikan:

  1. Hendaklah puasa sunat tersebut didasari oleh hadis-hadis yang sahih. Tidak boleh berpuasa sunat berdasarkan hadis-hadis yang tidak diketahui asal usulnya atau darjat kekuatannya. Tidak boleh juga berpuasa sunat dengan mengikut amalan orang ramai kerana sumber agama ialah al-Qur’an dan al-Sunnah, bukan amalan orang ramai.
  2. Jangan mengabaikan urusan harian atas alasan berpuasa. Jangan mengabaikan pembelajaran atas alasan letih berpuasa, jangan tidur di pejabat atas alasan mengantuk bangun sahur dan jangan malas melaksanakan tanggungjawab atas alasan dahaga di hari yang panas. Seorang muslim hendaklah tetap segar dan cemerlang sama ada dalam keadaan berpuasa atau tidak. Lebih dari itu puasa yang hukumnya sunat tidak boleh dijadikan alasan untuk meremehkan urusan harian yang hukumnya wajib. Sesiapa yang memandang urusan harian adalah tidak penting berbanding urusan agama, bererti dia masih berpegang kepada aliran sekularisme yang memisahkan antara agama dan kehidupan.