Soalan
Saya tidak ingat jumlah hari yang saya tidak puasa pada Ramadhan yang lepas. Ia adalah hari-hari saya didatangi haid. Kemudian seingat saya zaman sekolah menengah dulu ada beberapa hari yang saya tidak berpuasa semata-mata kerana malas dan terikut dengan nafsu. Ia berlaku untuk beberapa tahun.
Untuk kedua-dua kes ini, bagaimanakah untuk saya mengira hari yang patut diqadha? Adakah saya perlu membayar fidyah?  Jawapan: Jika tidak ingat jumlah hari yang anda tinggalkan puasa kerana haid pada Ramadhan yang lepas, maka ambillah purata tempoh haid anda. Jika kelazimannya tempoh haid anda ialah sepuluh hari, maka anda qadha sepuluh hari puasa. Jika kelazimannya tujuh hari, maka anda qadha tujuh hari puasa. Allah s.w.t. adalah tuhan yang Maha Pengampun dan Dia mengampuni hamba-hamba-Nya yang terlupa. Ada pun hari-hari yang anda tidak puasa lama dahulu, maka penyelesaiannya bukanlah qadha tetapi taubat. Ini kerana anda telah meremehkan perintah larangan agama dan untuk itu anda wajib bertaubat. Taubat ialah menyesali perbuatan yang salah itu, berhenti dari melakukannya, berazam untuk tidak mengulanginya dan memperbanyakkan amal shalih. Bertaubatlah dan mulakan lembaran baru dalam hidup anda, lembaran yang beristiqamah dengan perintah larangan agama. Allah s.w.t. Maha Penerima Taubat, maka bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menerima taubat anda. Anda tidak perlu membayar fidyah kerana tidak ada dalil yang sahih lagi tepat dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang mewajibkan fidyah untuk kedua-dua kes di atas.