Soalan
Saya ada menyimpan fail audio ayat-ayat al-Quran dalam talifon bimbit saya. Bolehkah saya bawa masuk talifon berkenaan ketika masuk ke tandas walaupun saya tidak membuka fail audio tersebut.


Fara, Pantai Dalam, Kuala Lumpur


Jawapan:

Boleh membawa ke dalam tandas talifon bimbit, PDA, pemain MP3, komputer riba, Walkman, Discman dan sebagainya yang mengandungi ayat al-Qur’an. Ini kerana ayat-ayat tersebut tersimpan dalam bentuk data dan tidak tertulis sebagai satu mushaf. Ia tidak berbeza dengan diri kita sendiri yang memasuki tandas padahal dalam kepala atau hati kita tersimpan ayat-ayat al-Qur’an yang telah dihafal.

Yang ditegah ialah membawa mushaf al-Qur’an ke dalam tandas, demi menjaga kesucian dan kehormatan mushaf al-Qur’an. Pengecualian adalah dalam suasana terpaksa, seperti seseorang yang sedang musafir lalu dia terpaksa ke tandas. Pada saat itu pula dia tidak ada rakan yang amanah untuk dia minta jagakan beg, yang di dalamnya tersimpan mushaf al-Qur’an. Jika dibiarkan beg di luar tandas, nescaya ia akan dirampas sehingga tidak diketahui nasib mushaf al-Qur’an tersebut. Dalam suasana terpaksa seperti ini, tidak mengapa membawa beg yang mengandungi mushaf al-Qur’an ke dalam tandas. Allah yang Maha Pengasih lagi Penyayang sedia mengetahui kesukaran yang dihadapi oleh para hamba-Nya.