Soalan:

Sejak memasuki universiti saya banyak menceburi aktiviti debat. Saya terdengar sebuah hadis yang menegah perdebatan, maka apakah hukum dalam situasi saya ini?

Nazurah, Jelebu, Negeri Sembilan.

Jawapan:

Hadis yang dimaksudkan berbunyi: “Saya (Rasulullah) menjamin satu rumah di pinggir syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan sekalipun dia benar.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4800] Ini kerana perdebatan, lebih-lebih lagi dalam persoalan agama, lazimnya menimbulkan kesan negatif seperti saling membenci, bermusuhan, angkuh dan menggunakan cara yang batil untuk menegakkan hujah demi mencari kemenangan serta kemasyhuran.

Adapun jika debat dilakukan dalam bentuk yang harmonis lagi terkawal agar tidak menimbulkan kesan-kesan negatif sepertimana di atas, maka saya berharap ia tidak mengapa. Ini kerana dalam ayat 125 surah al-Nahl, Allah membolehkan debat dengan orang yang kita sampaikan dakwah, asalkan ia dilakukan dengan cara yang baik – harmonis: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, serta berdebatlah dengan mereka melalui cara yang baik.”