Soalan:

Bilakah tempoh waktu bagi seseorang itu mengqadha puasa Ramadan yang ditinggalnya? Ada yang berkata sepanjang tahun hingga Ramadan akan datang dan ada yang berkata sebulan sebelum Ramadan yang akan datang. Mana satukah yang betul?


Naidah, Lahad Datu, Sabah

Jawapan:

Allah s.w.t. berfirman: “Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa ganti) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.” [Surah al-Baqarah, ayat 185]

Dalam ayat di atas, apabila Allah memerintahkan orang yang tidak berpuasa untuk mengqadhanya, Allah tidak menetapkan tempoh waktu tertentu. Oleh itu pendapat yang benar ialah boleh mengqadha puasa Ramadan pada bila-bila masa tanpa terbatas kepada sebulan sebelum kedatangan Ramadan seterusnya.