Soalan
Bolehkah kita membaca doa di dalam tandas, juga menjawab azan dan menyebut “alhamdulillah” apabila bersin?

Azrina, Kuala Kangsar, Perak.


Jawapan:

Terlebih dahulu perlu dibezakan apa yang sedang dilakukan di dalam tandas. Jika sekadar menyikat rambut atau membasuh muka di dalam tandas, maka dibolehkan membaca doa dan sebagainya dengan sebutan di mulut. Tidak diketahui adanya dalil sahih yang melarang. Bahkan di kalangan ahli ilmu ada yang membolehkan membaca al-Qur’an di dalam tandas. [Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, Fiqh al-Thaharah, ms. 328]

Namun jika sedang membuang air besar atau air kecil di dalam tandas, tidak digalakkan berdoa dengan mulut, tetapi boleh di dalam hati. Pada satu ketika Rasulullah s.a.w. sedang membuang air kecil apabila orang memberi ucapan “Assalamu’alaikum” kepadanya. Baginda tidak membalas salam itu. Setelah selesai, baginda meminta maaf kepada orang itu dan menjelaskan: “Sesungguhnya saya tidak suka menyebut nama Allah Azza wa Jalla kecuali apabila dalam keadaan suci.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 17] Di dalam ucapan “Assalamu’alaikum” terdapat salah satu nama Allah, iaitu as-Salam.