Soalan:
Bolehkah orang Islam menziarahi rumah orang bukan Islam pada hari-hari perayaan keagamaan mereka atau apabila berlaku kematian?

Amrina, Pontian, Johor.

Jawapan:

Allah s.w.t. berfirman: “Hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” [Surah al-Maidah, ayat 2]

Hari perayaan keagamaan ada yang disambut sempena kelahiran anak tuhan, sempena kemenangan salah seorang tuhan kebaikan atas kejahatan atau sempena masuknya tahun baru yang diyakini memberi nasib sekian-sekian. Semua ini bertentangan dengan Islam kerana Allah tidak memiliki anak, tidak ada tuhan selain Allah dan nasib baik atau buruk bergantung kepada usaha manusia untuk mencari takdir Allah.

Apabila berhadapan dengan penganut agama seperti di atas, kita dianjurkan tolong-menolong ke arah kebaikan dan Islam. Antaranya ialah berbuat baik kepada mereka, membantu mereka, berdakwah kepada mereka dan menziarahi mereka pada selain hari keagamaan. Namun kita tidak dianjurkan menziarahi mereka sempena hari perayaan keagamaan kerana tindakan itu menunjukkan pengiktirafan ke atas sebab mereka menyambut perayaan itu, sehingga menjadilah kita orang yang tolong-menolong ke arah dosa dan kesalahan.