Soalan:
Saya telah memeluk Islam secara rahsia tanpa pengetahuan ibubapa. Adakah saya perlu berterus-terang dengan mereka? Berdosakah saya membelakangi ibu bapa saya?
Suzzana Arshad, Bagan Datoh, Perak.

Jawapan:
Sikap yang terbaik ialah menerangkan kebenaran agama yang anda peluk sekarang ini kerana Allah telah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.” [Surah al-Nisa’, ayat 135]
Jangan memeranjatkan mereka bahawa anda sudah muslim kerana ia pasti disambut dengan pertentangan. Sebaliknya jelaskanlah apakah itu Islam, keindahan Islam dan kenapa anda memilih Islam. Seterusnya yakinkan mereka bahawa anda tetap menjadi anak mereka dan akan terus berbakti kepada kedua ibubapa sekadar mampu. Jangan lupa berdoa kepada Allah kerana Allah maha berkuasa menyelesaikan pelbagai cabaran dan halangan.