Soalan:
Ketika berbicara tentang agama bersama rakan-rakan, sering kali muncul tuduhan dan gelaran yang tidak baik seperti Wahabi, Salafi, Ikhwani, sesat dan sebagainya. Malah kadangkala ia muncul daripada bibir ustazah kami sendiri. Apakah sikap saya terhadap tuduhan dan gelaran seperti ini?

Maria, Johor Bahru, Johor.


Jawapan:
Jika seseorang memiliki agama yang benar, dia tidak akan tuduh menuduh dengan sekian-sekian gelaran kerana Allah SWT telah mengingatkan:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu kumpulan (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan kumpulan lelaki yang lain, (kerana) mungkin kumpulan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.

Dan janganlah pula sesuatu kumpulan dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan kumpulan perempuan yang lain, (kerana) mungkin kumpulan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.

Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” [Surah al-Hujurat, ayat 11]

Jika wujud perbezaan pendapat atau sesuatu pendapat yang jarang-jarang kita dengar sebelum ini, sikap yang benar ialah berbincang secara hikmah lagi beradab. Kebenaran dan kekuatan pendapat hendaklah berdasarkan dalil dan hujah. Elakkan sentimen berpuak-puak, bertelingkah dan tuduh menuduh kerana semua ini hanyalah isyarat kecacatan agama seseorang, apapun jawatan keagamaan yang dipegangnya.