Soalan:

Apakah maksud “Harta Rampasan”?

Ieda, Selangor.

 

Jawapan:

Soalan yang amat berbeza dari pembaca Dara.com! Namun untuk pengetahuan kita bersama, saya akan jelaskan secara ringkas. Harta rampasan ialah harta yang diperolehi oleh para pejuang Islam apabila mereka memerangi musuh-musuh Islam. Ia disebut sebagai “al-Anfal” dan ini seterusnya terbahagi kepada dua jenis: Pertama disebut sebagai Ghanimah, iaitu harta yang diperolehi melalui peperangan yang benar-benar berlaku. Kedua disebut sebagai Fa’e, iaitu harta yang diperolehi melalui peperangan yang tidak berlaku, yakni musuh melarikan diri dan meninggalkan harta benda mereka di medan perang.

Di dalam Islam, pengagihan harta rampasan perang bukan secara sesuka hati atau zalim, tetapi berdasarkan apa yang digariskan oleh Allah (al-Qur’an) dan Rasul-Nya (Rasulullah). Allah berfirman: “Mereka bertanya kepadamu tentang harta rampasan perang. Katakanlah: ‘Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan Rasul-Nya (untuk menentukan pengagihannya).Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.” [al-Anfal 8:01]

Oleh itu sebagai contoh Ghanimah misalnya, pengagihannya adalah seperti berikut: “Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, Rasul-Nya, kerabat (Rasulullah), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang musafir yang kehabisan bekalan.” [al-Anfal 8:41]

Walau bagaimanapun subjek “Harta Rampasan” sudah lama tidak dibincang di kalangan umat Islam kerana sejak sekian lama, umat Islam tidak lagi memerangi musuh tetapi musuhlah yang memerangi umat Islam. Mereka mengambil harta rampasan umat Islam secara tidak adil, bahkan melakukan lebih daripada itu seperti merogol para wanita umat Islam dan memusnahkan harta awam. Semoga kita semua bangun untuk mengubah keadaan umat Islam dari kehinaan kepada kemuliaan.