Soalan:

Saya pernah bernazar tetapi kini ragu sama ada dapat melaksanakannya. Bolehkah saya membatalkannya atau menukarnya?

 

Aida, Alor Setar, Kedah.

 

Jawapan:

Pertama sekali, meski pun nazar dibolehkan dalam Islam, ia bukanlah sesuatu yang dianjurkan. Ini kerana seseorang itu hendaklah ikhlas beribadah kepada Allah dan bukannya setelah mendapat sesuatu kebaikan atau mengancam dirinya dengan hukuman jika gagal memenuhi nazar tersebut. Lebih dari itu bersumpah ke atas diri sendiri untuk  melakukan sesuatu ibadah sunat bererti menukar hukumnya dari sunat kepada wajib. Ini juga bukan sesuatu yang selari dengan ajaran Islam. 

 

Nazar umpama sumpah di mana sesiapa yang tidak dapat memenuhinya hendaklah membayar kafarat sumpah, iaitu: (1) Memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang biasa diberikan kepada keluarga kamu, atau (2) memberi pakaian kepada mereka atau (3) memerdekakan seorang hamba, atau (4) berpuasa tiga hari. [al-Maidah 5:89]

 

Memandangkan anda sudah bernazar, maka laksanakanlah ia dan jika benar-benar tidak mampu, bayarlah salah satu dari empat kafarat sumpah di atas. Selepas itu usah bernazar lagi. Beribadahlah kepada Allah kerana anda ingin beribadah kepadanya, taat kepada-Nya, bersyukur kepada-Nya dan inginkan ganjaran syurga daripada-Nya.