Soalan:

Saya ingin bertanya mengenai amalan pelaris yang digunakan oleh kebanyakan peniaga seperti restoran, kedai runcit dan sebagainya bagi melariskan jualannya. Apakah hukum menggunakan pelaris dan ia dibekalkan dalam bentuk yang bagaimana?

Rosmaria, Parit, Perak.

 

Jawapan: 

Semua bentuk pelaris, sama ada ayat al-Qur’an yang digantung, jampi mentera yang dibaca atau barang-barang yang digantung, adalah syirik kepada Allah. Syirik ialah mengharapkan bantuan daripada sesuatu yang mana hal itu merupakan hak Allah semata-mata. Menggunakan ayat al-Qur’an, jampi dan benda-benda sebagai pelaris adalah syirik kepada Allah, kerana melariskan jualan atau lebih tepat menambahkan rezeki, ialah hak Allah semata-mata. 

Allah berfirman: Sesungguhnya Tuhanmu-lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dia juga yang menyempitkannya. Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. [al-Isra 17:30]

Apa yang patut dilakukan oleh peniaga Muslim ialah berdoa kepada Allah, menjalankan perniagaan secara jujur, mesra kepada pelanggan dan bertawakkal kepada Allah.