Soalan:

Jika seseorang bukan Islam berhasrat hendak memeluk Islam tetapi dilarang oleh orang Islam sendiri, maka siapakah yang berdosa?

Intan Baizura, Gombak, Selangor.

 

Jawapan:

Sebagai umat Islam, kita sepatutnya menjemput (berdakwah) orang lain kepada Islam dan memudahkan jalan mereka mengenali, memeluk dan mempraktikkan Islam. Allah berfirman: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. [al-Nahl 16:125]

Janganlah pula menakut-nakutkan atau menjadi penghalang, sebagaimana yang dilarang oleh Allah dalam ayat berikut: Dan janganlah kamu duduk pada tiap-tiap jalan lalu-lalang dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang-orang yang beriman dari melalui jalan Allah, dan kamu pula menghendaki supaya jalan Allah itu bengkok terpesong. [al-A’raaf 7:86]

Kembali kepada soalan di atas, dosa atau pahala ialah urusan Allah. Maka kita tidak berhak untuk bertanya atau menentukannya. Apa yang patut ditanya ialah siapa yang bersalah, dan dari zahir soalan kelihatannya yang bersalah ialah orang Islam yang sengaja menghalang orang lain memeluk Islam.