Soalan: 

Adakah semua kanak-kanak muslim dan bukan Islam yang meninggal dunia sebelum baligh akan masuk syurga atau hanya kanak-kanak yang dilahirkan muslim sahaja akan masuk syurga?

Syazwani Shafie, Parit Buntar Perak.

 

Jawapan:

Dalam sebuah hadis yang panjang, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan kepada para sahabat mimpi yang baginda alami di mana dua orang malaikat membawanya melalui pelbagai suasana dan keadaan manusia. Salah satu suasana tersebut ialah sebuah taman yang amat indah (syurga), di dalamnya terdapat Nabi Ibrahim ‘alaihis salam yang dikelilingi oleh sangat ramai kanak-kanak yang meninggal dunia dalam keadaan fitrah (Islam). Lalu salah seorang daripada para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana kanak-kanak kaum musyrikin?” Rasulullah menjawab: “Dan juga kanak-kanak kaum musyrikin (berada dalam taman tersebut bersama Nabi Ibrahim).” [Ringkasan hadis yang panjang, Shahih al-Bukhari, no: 6525/7047]

Berdasarkan hadis sahih di atas, jelas bahawa kanak-kanak kaum musyrikin (bukan Islam) yang meninggal dunia sebelum baligh akan dimasukkan ke dalam syurga bersama kanak-kanak kaum muslimin. Demikianlah salah satu daripada sekian banyak kemurahan Allah Subhanahu waTa'ala yang maha pengasih lagi penyayang kepada para hamba-Nya.