Alhamdulillah, edisi kali ini menggenapkan jumlah dua tahun saya menulis kolum Catatan Dari 40,000 Kaki bagi Majalah i yang kita kasihi. Sejak Disember 2008, banyak perkara yang saya kongsikan kepada para pembaca sekalian dan sebagai balasan, banyak juga perkongsian daripada pembaca kepada saya melalui email dan sms.

          Tidak kurang, ada juga yang marah atau tidak puas hati berkenaan apa yang saya kongsikan, apa yang saya tulis. Editor Majalah i, Encik Ahmad questionmark_cartooon.jpgYani pernah mengkhabarkan kepada saya berkenaan segelintir pembaca yang menalifon beliau kerana marah atau tidak puas hati dengan penulisan saya. Ada yang meminta nombor talifon saya kerana ingin menyatakan ketidakpuasan mereka terus kepada saya.

Saya menerima baik kemarahan atai ketidakpuasan mereka. Ini kerana antara objektif saya melalui kolum bulanan ini ialah membangkitkan dan menggerakkan pemikiran para pembaca supaya berani, kreatif dan kehadapan. Apabila ada di kalangan pembaca yang tidak setuju - walau dengan cara apa mereka menyatakan ketidaksetujuan itu - ia menandakan mereka turut berfikir apa yang saya tulis dan menyatakan pemikiran mereka melalui ketidaksetujuan itu.

Sejak awal saya sedar, pemikiran saya bukanlah yang terbaik, yang paling kreatif, yang paling kehadapan. Bagi mengetahui di mana kesalahan pemikiran saya, saya perlu berani mengenengahkannya agar ia dapat dianalisa dan dibetulkan oleh pembaca lain.

Berani Untuk Salah.

Sayang sekali sebahagian kita enggan berani untuk salah. Kita selesa dengan apa sudah ada selama ini, bahkan memiliki zon selesa yang tersendiri. Zon itu pula telah ditetapkan sempadannya, wilayahnya, sejak beberapa tahun yang lepas. Keluar dari zon itu dianggap mengundang pelbagai masalah dalam bentuk kritikan dan kegagalan.

Jika kita kaji sejarah orang-orang berjaya, akan didapati mereka berjaya kerana berani keluar dari zon selesa. Ambil saja contoh orang yang paling berjaya dalam sejarah manusia - Muhammad SAW. Baginda hidup selesa di Kota Mekah bersama isterinya Khadijah yang merupakan ahli perniagaan yang berjaya. Baginda memiliki reputasi yang selesa di kalangan warga Mekah, menjadi sumber kejujuran sehingga diamanahkan dengan pelbagai harta benda.

Namun baginda berani keluar dari zon selesa itu untuk mendakwahkan Islam. Memang, ia merupakan satu kewajipan yang Allah bebankan kepadanya. Namun bagi para pengkaji bukan Islam, mereka memandangnya sebagai satu bukti bagaimana seseorang itu berani keluar dari zon selesanya, menghadapi pelbagai kesukaran dan halangan, mental dan fizikal. Atas keberanian ini - atau lebih tepat berani untuk gagal - Muhammad SAW berjaya mendakwahkan Islam sehingga ia menjadi agama yang besar sebagaimana hari ini.

Pun begitu, keluar dari zon selesa bukan bererti keluar secara sia-sia sesuka hati. Ia hendaklah berdasarkan ilmu dan analisa, pengalaman dan pengamatan. Salah satu cara memperolehnya ialah melalui bacaan. Sebagai penulis, saya perlu banyak membaca agar hasil penulisan saya mencapai objektifnya, menarik dan berkesan. Apatah lagi dalam bab ini terdapat kata-kata hikmah: "Orang yang tidak memiliki tidak dapat memberi".

Barangan Umat Yang Hilang

Dalam sebuah riwayat disebut: "Kata-kata hikmah adalah barangan orang mukmin yang hilang, maka di mana jua ia menemuinya, dialah yang lebih berhak terhadapapnya". Riwayat ini sekalipun lemah dari sudut sanad, amatlah benar dari sudut matan. Justeru dalam rangka saya banyak membaca mencari ilmu untuk dikongsikan, saya tidak membataskannya kepada buku-buku yang ditulis oleh ilmuan Islam tetapi diluaskan kepada ilmuan bukan Islam yang menulis dalam bahasa Inggeris.

Satu perkara berkenaan buku-buku berbahasa Inggeris, jika kita bersiar-siar di kedai buku yang menjualnya atau perpustakaan yang memilikinya, kita akan menemui kebanyakannya adalah "Bestseller", dipenuhi dengan kata-kata pujian dan memenangi sekian-sekian anugerah. Namun di sebalik semua itu hendaklah kita waspadai tiga perkara:

Pertama, jangan terpedaya dengan iklan "bestseller" atau kiraan jutaan naskah yang telah dijual. Sebabnya, majoriti penduduk dunia mampu berbahasa Inggeris dan majoriti dari yang mampu berbahasa Inggeris itu amat minat membaca. Justeru jika sesebuah buku mengiklan ia telah dijual sebanyak dua juta naskah (Bestseller: Two million copies sold worldwide!), ia sebenarnya jumlah yang amat kecil, amat sedikit.

Kedua, jangan terpengarauh dengan puji-pujian yang diberikan oleh para tokoh lain ke atas sesebuah buku. Pujian tersebut tidak semestinya ikhlas di sebaliknya wujud kemungkinan pihak pemuji ingin mengwar-warkan namanya dalam buku tersebut. Pernah anda jumpa buku yang disenaraikan puji-pujian ke atasnya tanpa disertakan nama, jawatan dan status pemuji itu? Di samping itu, perhatikan tidak ada kritikan yang disertakan bersama pujian. Adakah ia bererti buku tersebut sempurna atau kelemahannya disembunyikan?

Ketiha, jangan terikut dengan buku yang memenangi sesuatu anugerah. Anugerah diadili oleh para hakim di mana para hakim itu sendiri - sebagaimana pembaca lain - tidak terlepas dari zon selesa masing-masing. Jika sesebuah buku itu sesuai dengan zon selesanya, maka ia akan diadilinya sebagai buku yang bagus. Jika ia mencabar zon selesanya, maka ia akan diadili sebaliknya.