“Kapten! Saya nak kahwin!”

“Ehh! Nanti dulu. Bila talifon elok mulakan dengan ucapan salam dan pengenalan diri” saya jawab ketika mengambil sebuah panggilan di talifon bimbit saya. Agak memeranjatkan.

“Assalamu’alaikum kapten. Saya Sakinah dan saya nak kahwin” wanita itu membetulkan semula ayatnya. “Wa’alaikumussalam. Baiklah, saya faham ukhti nak kahwin. Sekarang apa cabarannya?” saya bertanya.

“Ibubapa saya tak suka dengan pilihan saya. Mereka sudah ada pilihan sendiri dan mahukan saya terima pilihan tersebut. Memang, ibubapa saya ni banyak masalahnya….” pemanggil menceritakan pelbagai kekurangan dan sikap ibubapanya yang tidak disukainya. 

 feedback-button_1_.gif

 

“Ehh! Harapnya ini bukan sesi meluahkan berburuk sangka dan rungutan terhadap ibubapa” saya memotong rungutannya. “Beginilah” saya menambah “Ukhti emelkan kepada saya apa cabaran sebenar dan saya akan cuba bantu dengan membalas emel tersebut. Saya tidak boleh lama-lama di talifon ini.”

“Jika tidak boleh lama-lama di talifon kenapa berikan nombor talifon dalam buku dan laman web?” pemanggil itu bertanya sinis.

“Apabila saya berikan nombor talifon ada ke saya nyatakan di situ saya menyediakan khidmat mendengar rungutan pembaca?” saya membalas balik. “Baiklah, saya akan tamatkan panggilan ini. Jika hendak, boleh emel kepada saya. Assalamu’alaikum” saya mengakhiri panggilan tersebut. 

 

Suka Duka Menjadi Penulis

Di atas adalah satu contoh perbualan di antara saya dan seorang pemanggil yang tidak saya kenali, bernama Sakinah. Sudah hampir sepuluh tahun saya meletakkan nombor talifon bimbit peribadi dan alamat emel di dalam buku dan laman web saya agar mudah dihubungi oleh para pembaca. Idea ini saya perolehi ketika sedang minum air dari sebuah kotak. Saya dapati di tepi kotak tersebut tertulis: “Any comments or complaints, contact our customer care line at this number or email…” (Apa-apa pandangan atau rungutan, hubungilah talian mesra pelanggan kami di nombor dan emel berikut…). 

Lalu saya terfikir alangkah baiknya jika saya juga memberikan nombor talifon dan alamat emel agar mudah dihubungi oleh para pembaca. Ini kerana penulisan saya sebenarnya adalah satu bentuk produk dan para pembaca dialu-alukan memberi pandangan atau rungutan berkenaan produk saya ini melalui SMS dan emel. Panggilan talifon jarang-jarang saya jawab kerana kerap berada di luar negara atas tugas penerbangan.

Secara umumnya, alhamdulillah, kebanyakan pembaca yang menghubungi saya memberikan manfaat yang positif kepada diri saya sendiri. Ada pembaca yang memberi motivasi untuk terus menulis. Ada pembaca yang membetulkan terjemahan hadis-hadis. Ada pembaca yang membetulkan susunan ayat dan tatabahasa. Ada pembaca yang mengemaskan cara saya menulis nota kaki dan senarai rujukan. Ada pembaca yang memberi pandangan ulama’ lain dalam sesuatu isu yang saya kupas. Alhamdulillah, banyak lagi manfaatnya.

Sekali sekala saya mendapat maklumbalas yang berbentuk negatif. Ada yang menghantar virus, ada yang menghantar gambar lucah, ada yang marah-marah dan ada yang mengajak untuk sembang-sembang atau chat bagi memenuhi kebosanan hidupnya. Maklumbalas yang negatif ini hanya sedikit dan sekali sekala berbanding maklumbalas yang positif.

 

Seruan Kepada Para Agamawan

Di sini saya ingin menyeru dan mengajak para ustaz dan ustazah agar turut memberikan nombor talifon dan alamat emel masing-masing agar mudah dihubungi oleh masyarakat. Langkah ini akan memberi gambaran positif kepada masyarakat bahawa anda adalah agamawan yang berani, bertanggungjawab terhadap apa yang anda sampaikan, suka menerima teguran dan ingin memperbaiki kualiti ceramah dan tulisan. 

Nombor talifon dan alamat emel ini dinyatakan secara jelas dalam laman web, blog, Facebook atau di awal buku. Apa-apa SMS dan emel yang diterima, diberikan perhatian mengikut kelapangan masa, sekadar yang mampu.

Seperkara lain yang tidak kurang pentingnya, nombor talifon dan emel tersebut hendaklah diuruskan sendiri, bukan oleh sesiapa lain yang diwakilkan bagi mengurusinya. Ini kerana kerap kali orang yang diwakilkan itu tidak menerima baik apa-apa pandangan atau rungutan yang ingin disampaikan.