Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:

Biarkanlah aku dengan apa yang aku tinggalkan kepada kalian. Sesungguhnya telah binasa orang-orang sebelum kalian tidak lain kerana soalan-soalan mereka dan penentangan mereka terhadap Nabi-Nabi mereka.

Maka apabila aku melarang kalian daripada sesuatu maka jauhilah ia dan apabila aku memerintahkan kalian dengan suatu urusan maka lakukanlah ia semampu kalian. [Shahih al-Bukhari, no: 6744/7288]

 

thebestucan

Hadis ini dimulakan dengan sabda baginda: Biarkanlah aku dengan apa yang aku tinggalkan kepada kalian. Rangkap pertama ini dapat lebih kita fahami dengan merujuk kepada sebuah hadis yang lain:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkhutbah kepada kami. Baginda bersabda: “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah telah memfardhukan ke atas kalian ibadah haji, maka berhajilah.” Lalu ada yang bertanya: “Apakah setiap tahun wahai Rasulullah?” Baginda diam sahaja sehingga pertanyaan itu diulangi tiga kali. Kemudian baginda bersabda:

“Andai aku katakan ‘ya’, nescaya ia akan menjadi wajib sementara kalian tidak akan mampu melakukannya.” Baginda meneruskan: “Biarkanlah aku dengan apa yang aku tinggalkan kepada kalian, kerana sesungguhnya telah binasa orang-orang sebelum kalian tidak lain kerana soalan-soalan mereka dan penentangan mereka terhadap Nabi-Nabi mereka.

Maka apabila aku memerintahkan kalian dengan suatu urusan maka lakukanlah ia semampu kalian dan apabila aku melarang kalian daripada sesuatu maka hentikanlah ia. [Shahih Muslim, no: 2380/1337]

Berdasarkan kedua-dua hadis ini, dapat kita fahami bahawa dalam agama Islam, ada tiga perkara yang telah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tinggalkan kepada kita. Pertama ialah apa yang baginda larang, maka jauhilah ia. Kedua ialah apa yang baginda perintahkan, maka lakukanlah ia semampu mungkin. Ketiga ialah apa yang baginda biarkan – yakni tidak larang dan tidak perintah – maka ini seterusnya terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, sesuatu dalam .urusan ibadah kepada Allah, maka apa yang baginda biarkan bererti ia bukanlah ibadah kepada Allah. Kedua, dalam urusan muamalah agama dan urusan sesama manusia, maka apa yang baginda biarkan bererti ia terserah kepada budi bicara manusia asalkan ia tidak menyelisihi apa yang telah dilarang atau diperintahkan oleh syara’.

 

Cukuplah Dengan Apa Yang Aku Tinggalkan Kepada Kalian

Oleh itu sesiapa yang taat kepada Allah, taat kepada Rasulullah dan beriman kepada hadis ini sepenuhnya, akan memberikan perhatian kepada sabda baginda: Biarkanlah aku dengan apa yang aku tinggalkan kepada kalian. Bagi para sahabat yang hidup bersama Rasulullah pada zaman Rasulullah, mereka benar-benar membiarkan baginda dengan apa yang telah baginda larang dan perintahkan serta tidak menokok-tambah selain itu.

Adapun bagi kita yang hidup pada masa kini selepas kewafatan baginda, rangkap pertama hadis terbabit dapat difahami sebagai: “Cukuplah dengan apa yang aku tinggalkan kepada kalian.” Ertinya dalam urusan ibadah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, kita mencukupkan diri dengan semua ibadah yang telah Rasulullah ajar dan amalkan. Kita mempelajari semua ibadah Rasulullah dan cuba mengamalkannya semampu mungkin. Apa yang baginda tidak ajar dan tidak amalkan, maka kita juga tidak mengamalkannya atas pesanan: “Cukuplah dengan apa yang aku tinggalkan kepada kalian.”

Orang yang suka beramal dengan apa yang baginda tidak amalkan, lalu dia beralasan “Nabi tidak buat tetapi Nabi tak kata jangan buat” lazimnya adalah mereka yang malas mempelajari amal ibadah Rasulullah. Ada juga yang merasakan dirinya ingin beribadah lebih hebat berbanding Rasulullah, tanpa menyedari bahawa yang diambil kira bukanlah kuantiti ibadah tetapi kualiti ibadah. Tidak ada ibadah yang lebih berkualiti berbanding ibadah yang dicontohkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Justeru hadis ini menjadi kayu ukur bagi sesiapa yang benar-benar beriman kepada Rasulullah, mencintai baginda dan ingin mengikuti segala tunjuk ajar baginda. Mereka mencukupkan diri dengan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

 

Soalan-Soalan Mereka…

Zahir hadis menunjukkan seolah-olah bertanya soalan adalah sesuatu yang tercela. Sebenarnya tidak demikian kerana soalan itu sendiri terbahagi kepada tiga jenis. Pertama, soalan orang yang sudah mengetahui jawapannya tetapi sengaja bertanya agar orang yang ditanya dapat menjelaskan kepada masyarakat. Ini sebagaimana malaikat Jibrail yang menjelma sebagai manusia dan bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apakah Islam, apakah iman dan sebagainya.

Kedua, soalan orang yang tidak tahu dan benar-benar ingin mengetahui. Ini sememangnya dibolehkan dan berlaku pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Satu contoh ialah apa yang dirakamkan oleh al-Qur’an: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (dan kepada siapakah) yang akan mereka nafkahkan?” Katakanlah: “Apa jua harta benda yang kamu hendak nafkahkan maka berikanlah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya. [al-Baqarah 2:215]

Ketiga ialah soalan orang yang ingin meremehkan, mempermainkan, memberat-beratkan atau memperkotak-katikkan perintah serta larangan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Soalan sebeginilah yang dicela oleh hadis di atas.

 

Antara Larangan Dan Perintah

Jika dicermati hadis di atas, akan ditemui dua sikap yang berbeza apabila berhadapan dengan larangan dan perintah. Terhadap larangan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyebut “maka jauhilah ia”. Bererti kita bukan sahaja dituntut untuk tidak melakukan perkara yang dilarang, tetapi dituntut untuk menjauhinya. Hendaklah ditutup setiap jalan-jalan serta kemungkinan-kemungkinan yang boleh mendekatkan diri kepada larangan tersebut. Larangan yang dimaksudkan bukanlah sekadar zina, arak, judi dan membunuh, tetapi pelbagai yang lain termasuklah perbuatan-perbuatan bid’ah dalam ibadah.

Hendaklah diwaspadai bahawa semua bid’ah ibadah bermula kecil-kecilan, lalu secara bertahap-tahap ia membesar dan mula mendapat tempat di hati masyarakat. Diberikan beberapa tahun, ia sudah merebak dan dianggap sesuatu yang benar lagi baik. Ini berlanjutan sehingga ke tahap apa yang bid’ah dianggap sunnah dan apa yang sunnah dianggap bid’ah. Oleh itu semua bid’ah hendaklah dijauhi meskipun ia masih ditahap kecil-kecilan. Orang yang bijak di dalam agama lagi arif terhadap pesanan-pesanan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak akan memberi alasan: “Usah dikecoh-kecohkan, ini hal kecil dan furu’ sahaja”.

Selain itu, apabila menyuruh kita menjauhi larangan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak membezakan antara larangan yang hukumnya makruh atau haram. Semua larangan hendaklah dijauhi baik yang makruh mahupun haram. Perkara ini hendaklah diperhatikan oleh segelintir orang yang suka membezakan antara larangan yang makruh dan haram, lalu mengambil mudah larangan yang hukumnya makruh.

Jika untuk larangan Rasulullah menyebut “maka jauhilah ia”, untuk perintah pula Rasulullah menyebut “maka lakukanlah ia semampu kalian”. Perbezaan ini menunjukkan bahawa semua larangan hendaklah dijauhi tanpa mengira kita mampu atau tidak untuk melakukannya. Tidak ada pilihan atau kemudahan dalam aspek larangan. Adapun dalam aspek perintah, ada pilihan dan kemudahan iaitu kita lakukan sekadar apa yang mampu. Perbezaan ini juga memberi petunjuk kepada kita andai berhadapan dengan dua keadaan larangan dan perintah secara serentak, hendaklah diutamakan menjauhi larangan tersebut.

Moga Allah Subhanahu wa Ta'ala memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkan hadis ini dalam kehidupan harian, baik dalam urusan ibadah, muamalah dan urusan sesama manusia.