1) Merancang Anak

Saya baru melahirkan anak ketiga. Jarak antara setiap orang anak adalah setahun seorang. Saya bercadang untuk mengamalkan perancangan keluarga tetapi saya agak was-was. Apakah perancangan keluarga dibenarkan dalam Islam? Zaitun, Subang Jaya.

Jawapan:

Perancangan keluarga dibolehkan dalam Islam berdasarkan hadis berikut, daripada Jabir bin Abdullah: “Kami mempraktikkan azal pada zaman Rasulullah saw. Perkara ini disampaikan kepada Nabi saw dan baginda tidak melarangnya.” [Shahih Muslim, no: 1440-2]


Azal ialah tindakan mengeluarkan kemaluan lelaki dari dalam kemaluan wanita pada saat menghampiri pemancutan air mani. Dalam suasana ketiadaan peralatan atau perubatan canggih, ia adalah bentuk perancangan keluarga yang wujud pada zaman Rasulullah saw.

Sekalipun ia dibolehkan, tidaklah bererti perancangan keluarga merupakan sesuatu yang digalakkan dalam Islam jika seseorang itu tidak memiliki sebab yang munasabah untuk melakukannya. Ini berdasarkan sabda Rasulullah saw: “Kahwinilah wanita penyayang lagi subur kerana sesungguhnya aku berbangga dengan banyaknya jumlah kamu (umat Islam) berbanding umat-umat lain.” [Irwa al-Ghaleel, no: 1784]

Oleh kerana dalam sebuah hadis yang lain, ketika Rasulullah saw ditanya tentang praktik azal, baginda menjawab dengan ayat yang mengisyaratkan ketidaksetujuan: “Yang demikian itu ialah menanam kehidupan secara tersembunyi.” [Sahih Muslim, no: 1442-1]

Kesimpulannya, perancangan keluarga dibolehkan jika kedua-dua pasangan ibubapa memiliki sebab yang munasabah untuk melakukannya. Antara sebab itu ialah kadar kemampuan menjaga serta membesarkan anak, tertib persekolahan dan tempoh menyusu badan.

 

2) Tidak Boleh Potong Kuku

Saya seorang ibu yang sedang menjalani tempoh berpantang. Saya ada terdengar sesetengah pendapat mengatakan ibu-ibu yang dalam tempoh berpantang tidak dibenarkan memotong kuku atau rambut. Boleh beri penjelasan yang tepat mengikut hukum Islam? Julie, Meru, Klang.

Jawapan:

Ibu yang sedang berpantang ditegah memotong kuku dan rambut kerana mereka ketika itu dalam tempoh nifas. Segelintir agamawan ada yang melarang memotong kuku dan rambut ketika haid, nifas dan junub sebelum mandi hadas (mandi wajib) dengan alasan sebelum pemandian itu, kuku dan rambut itu akan terpisah dalam keadaan tidak suci.

Namun jika dikaji al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih, tidak ditemui larangan untuk memotong kuku dan rambut ketika haid, nifas dan junub, padahal ia adalah fenomena yang lazim berlaku pada zaman itu. Maka dibolehkan memotong kuku dan rambut seperti biasa sekalipun dalam tempoh berpantang.

 

3) Gugurkan Kandungan

Seorang teman yang sudah memiliki dua orang anak merancang untuk tidak mengandung lagi dalam masa terdekat kerana masalah kewangan yang dihadapi. Dia cuba mengelak dari tidak hamil lagi tetapi dia tidak mengamalkan sebarang kaedah perancangan kerana masalah penyakit yang dihidapi. Tanpa diduga dia disahkan hamil sebulan. Dia seperti ingin menggugurkan kandungan tersebut. Apakah hukumnya? Fauziah, Alor Gajah, Melaka.

Jawapan:

Haram hukumnya bagi seorang ibu yang hamil menggugurkan janinnya tanpa sebab yang darurat. Maksud darurat yang sesuatu yang melibatkan keselamatan jiwa dan anggota, hidup dan mati. Adapun  masalah kewangan, ia bukanlah suasana darurat yang membolehkan pengguguran janin. Allah swt berfirman:

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kemiskinan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” [al-Isra 17:31]

Perbuatan membunuh anak boleh jadi selepas atau sebelum kelahirannya. Sebahagian tokoh membezakan tempoh 120 hari kerana janin hanya diberi nyawa selepas 120 hari. Namun pembezaan adalah tidak kuat kerana janin yang berumur kurang 120 hari tetap merupakan kurniaan Allah yang bakal menjadi kehidupan. Menggugurkan janin sekalipun sebelum 120 hari tanpa sebab darurat bererti menceroboh dalam proses kejadian yang diatur oleh Allah swt: “Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan)” [al-Insan 76:02]

Berbeza dengan perbuatan perancangan keluarga, ia tidak masuk dalam kategori menggugurkan janin sebab air mani lelaki belum bercampur hingga membentuk janin dalam rahim wanita. Adapun masalah kewangan yang dihadapi, disyorkan membaca buku saya “Fiqh Harta: Satu Pengenalan” terbitan Jahabersa, Johor Bahru.