Soalan 1: Pindah Rumah Baru.

Kami sekeluarga akan berpindah ke rumah baru, namun ramai kenalan yang mengatakan kawasan itu agak “keras” dan mereka menyarankan kami menghalau “penunggu” tersebut. Apakah ini dibenarkan dalam Islam dan apakah cara terbaik yang sepatutnya kami lakukan?

Fida, Temerloh, Pahang.

 

Jawapan:

“Penunggu” atau apa jua yang mengganggu rumah berasal daripada syaitan. Berkenaan syaitan, ia telah berjanji sejak awal untuk menyesatkan manusia: “(Iblis berkata): Jika Engkau (Allah) beri tempoh kepadaku hingga Hari Kiamat, tentulah aku akan menyesatkan zuriat keturunannya (manusia), kecuali sedikit (di antaranya). [al-Isra’ 17:62] Bagi mencapai tujuan ini, syaitan sentiasa hadir dalam segala perbuatan kita di semua lokasi sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah: “Sesungguhnya syaitan hadir di sisi seseorang kalian pada setiap sesuatu yang kalian lakukan.” [Shahih Muslim, no: 3794]

Oleh itu sama ada di rumah lama, rumah baru atau di mana jua, syaitan sentiasa hadir untuk menyesatkan manusia. Dalam konteks rumah, syaitan menyesatkan manusia dengan cara menakut-nakutkan penghuninya. Apabila takut, penghuni akan mencari seseorang “ustaz” yang dapat menghalau penunggu rumah, sekali gus mendinding rumah dari apa-apa gangguan lagi. Syaitan memerhati semua proses ini lalu sengaja menjauhkan diri dari rumah tersebut agar dapat memberi keyakinan kepada penghuni rumah betapa hebat “ustaz” yang menghalau dan mendinding tersebut. Dengan keyakinan ini, aqidah penghuni rumah sudah tersesat dan syaitan gembira kerana objektifnya sudah tercapai.

Adapun bagi keluarga muslim yang memiliki aqidah yang benar, syaitan dihalau dengan cara mendapatkan perlindungan daripada Allah. Keyakinan mereka ialah ke atas kekuasaan Allah dan bukannya kekuasaan manusia. Antara cara yang dimaksudkan, yang diajar oleh Rasulullah melalui hadis-hadis yang sahih ialah dengan kerap membaca al-Qur’an di rumah khasnya surah al-Baqarah, selalu menyebut nama Allah (Bismillahir Rahmanir Rahim) ketika membuka dan menutup pintu serta tingkap dan tidak menyimpan patung dan lakaran (sketch) makhluk bernyawa di dalam rumah. Semua ini dilakukan secara berterusan kerana syaitan sentiasa menunggu untuk mengambil kesempatan apabila saja penghuni rumah leka dari berhubung dengan Allah.

Selain itu hendaklah dipelajari ciri-ciri syaitan seperti apa yang disukai dan dibencinya, strategi ia mengganggu manusia dan cara efektif untuk melawannya. Semua ini telah saya kupas dalam buku saya “Tujuh Tipudaya Syaitan Ke Atas Umat Islam”.

 

 

Soalan 2: Menyusu Selepas Umur Dua Tahun.

Saya masih menyusu seorang anak lelaki yang berumur dua tahun setengah. Pada waktu yang sama saya juga menyusu anak perempuan yang berumur tiga bulan. Ada yang berkata haram hukumnya menyusukan anak lelaki selepas umur dua tahun. Adakah ini benar?

Eila, Kajang, Selangor.

 

Jawapan:

Saya tidak mengetahui apa-apa dalil atau hujah untuk menyokong pendapat yang mengharamkan penyusuan selepas umur dua tahun. Tempoh dua tahun yang disebut dalam al-Qur’an (surah al-Baqarah, ayat 233) ialah tempoh optimum. Ia bukan tempoh minimum mahupun maksimum.

 

 

Soalan 3: Seks Selepas Melahirkan.

Sejak kelahiran anak pertama, saya kurang mengadakan hubungan seks bersama suami disebabkan rasa gerun dan sakit ketika bersama. Suami juga tidak mendesak saya. Tetapi adakah saya berdosa kerana tidak melayaninya?

Nor, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

 

Jawapan:

Seorang isteri hanya dikira salah apabila suami meminta hubungan seks namun dia enggan melakukannya. Rasulullah mengingatkan: “Jika seorang suami mengajak isterinya untuk berhubungan, akan tetapi dia (isteri) tidak memenuhi ajakan suami hingga malam itu suaminya marah, maka dia (isteri) mendapatkan laknat para malaikat sampai subuh.” [Shahih Muslim, no: 2596] Namun ini hanya merujuk kepada isteri yang enggan tanpa alasan yang munasabah. Adapun bagi isteri yang keletihan kerana kerja rumah, menjaga anak atau tidak sihat, maka dia dikecualikan kerana Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Adapun hikmah di sebalik hadis di atas ialah apabila isteri melayan kehendak seks suami, malah melayan dengan sebaik-baiknya, dia dapat mengelakkan suami daripada mencari alternatif lain yang menyalahi hukum Islam seperti menonton gambar atau video lucah dan berzina. Seks juga dapat menaikkan motivasi suami isteri dalam meneruskan kerja masing-masing pada keesokan hari, memekarkan kasih sayang dan meningkatkan kesihatan.

Bahkan seks juga merupakan satu ibadah yang menjana pahala kepada suami isteri. Rasulullah pernah menerangkan bahawa: “Dalam perhubungan seks seseorang kalian terdapat nilai sedekah.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah dalam rangka kita memuaskan nafsu syahwat, seseorang itu mendapat ganjaran pahala?”

Rasulullah menjawab: “Tidakkah kalian perhatikan jika dia melakukannya ke atas apa yang haram baginya, dia akan mendapat dosa? Maka demikianlah jika dia melakukannya ke atas apa yang halal baginya, maka baginya ganjaran pahala.” [Shahih Muslim, no: 1674]

Merujuk kepada soalan di atas, anda tidak bersalah kerana suami tidak meminta hubungan seks. Namun nasihat saya, jangan mendiamkan subjek ini kerana tidak ramai suami yang tahu cara menyuarakan apa yang dia inginkan. Maka dapatkanlah nasihat doktor sakit puan anda tentang bila dan bagaimana anda berdua dapat melakukan hubungan seks tanpa merasa gerun dan sakit.