Soalan 1: Haid mengelirukan

Saya menggunakan IUCD sejak anak berusia 6 bulan (haid pertama selepas bersalin). Haid saya teratur setiap bulan tetapi masuk bulan ke enam haid jadi tidak normal. Biasanya haid datang pada 26hb tetapi 9hb datang haid untuk dua hari sahaja, dan 29hb datang haid normal untuk sembilan hari. Selang seminggu haid datang lagi untuk 2-3 hari. Selepas itu keputihan berwarna coklat seperti tanda-tanda awal haid tetapi haid tidak keluar dan selang dua hari keputihan coklat keluar lagi. Masalah saya, tiap kali keputihan coklat keluar, saya tidak solat kerana beranggapan akan haid tetapi tidak datang haid dan saya mandi hadas dan bersolat. 

Bolehkah saya anggap keputihan coklat itu sebagai biasa, lalu solat seperti biasa kerana darah haid tidak keluar? Adakah solat saya sah atau saya perlu mandi hadas tiap kali keluar keputihan? 

 

Jawapan: 

Menggunakan IUCD atau apa-apa lain bentuk perancangan keluarga lazimnya akan mengganggu putaran haid dan ini seterusnya menyebabkan penggunanya sering keliru berkenaan hukum solat, mandi hadas dan bersetubuh dengan suami. Oleh itu saya tidak mengesyorkan apa-apa bentuk perancangan keluarga melainkan kondom. [Lihat Pa&Ma edisi November 2011]

Cairan keputihan coklat yang keluar selepas haid terbahagi kepada dua jenis. Pertama ialah cairan putih-coklat yang menyusuli darah haid. Yakni ia keluar pada akhir putaran haid apabila darah haid baru hendak mengering atau berkurangan. Cairan putih-coklat ini masih dikategorikan sebagai darah haid, justeru tidak boleh solat dan bersetubuh dengan suami sehingga cairan itu berwarna putih sahaja. 

Para wanita pada zaman Rasulullah pernah mengirimkan sebuah kotak kepada A’isyah (isteri Rasulullah) di mana dalam kotak tersebut terdapat kapas yang telah bercampur dengan cairan kuning-coklat dari darah haid mereka. Mereka bertanya adakah masa haid sudah berakhir dan bagaimana dengan hukum solat? Maka A’isyah berkata kepada mereka: “Jangan terburu-buru hingga kalian melihat cairan putih (white discharge)”, maksudnya sudah suci dari haid. [Muwattha’ Imam Malik, no: 117]

Kedua ialah cairan kuning atau coklat yang keluar selepas putaran haid selesai sepenuhnya. Yakni cairan kuning atau coklat itu keluar selepas darah haid berhenti sepenuhnya atau selepas cairan putih-coklat di akhir putaran haid menjadi cairan putih sahaja. Maka cairan kuning atau coklat ini tidak lagi dikategorikan sebagai darah haid. Umm Athiyyah menerangkan: “Kami (para wanita pada zaman Rasulullah) tidak menganggap cairan yang keruh atau kekuning-kuningan setelah suci dari haid sebagai apa-apa (yakni tidak dianggap sebagai darah haid).” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 307]

Merujuk kepada kes yang dihadapi oleh puan, cairan putih coklat yang keluar sejurus selepas haid termasuk dalam kategori pertama, maka tidak boleh solat dan hendaklah mandi hadas apabila cairan itu berhenti atau berwarna putih sahaja. Selang dua hari kemudian apabila cairan putih coklat keluar semula, maka ia termasuk dalam kategori kedua, maka boleh solat dan tidak perlu mandi hadas. 

 

 

 

 

 

Soalan 2: Mandi Dalam Keadaan Telanjang.

Bolehkah pasangan suami isteri mandi junub bersama dalam keadaan telanjang? Apa yang menjadi kemusykilan saya, ada pendapat mengatakan orang Islam tidak boleh mandi telanjang kerana malu kepada malaikat yang melihat. Harap dapat menerangkan kepada saya mengenai persoalan ini.

 

Jawapan:

Boleh untuk suami dan isteri mandi bersama. A’isyah, isteri Rasulullah menerangkan: Aku dan Nabi pernah mandi bersama dari satu bejana. Saat itu kami berdua sedang junub. [Shahih al-Bukhari, no: 290] 

Ada pun mandi dalam keadaan telanjang sama ada berseorangan atau bersama suami-isteri, maka ia dilarang jika dilakukan secara terbuka kerana bererti mendedahkan aurat kepada orang ramai. Ada pun jika dilakukan secara tertutup seperti dalam bilik air peribadi, maka tidak ada dalil yang melarangnya. Maksud bilik air peribadi ialah ia tertutup sepenuhnya seperti dalam rumah sendiri. Ini kerana terdapat juga beberapa bilik air yang berbentuk terbuka seperti di sebahagian asrama, kolej atau bilik mandi persalinan pusat sukan.

Ada pun dakwaan malaikat yang melihat, maka hendaklah menjauhi tuduhan serta buruk sangka kepada makhluk Allah yang mulia ini. Sekali pun malaikat dapat melihat manusia dalam apa jua keadaan, mereka tidak akan melihat dalam keadaan aurat manusia terbuka. 

Sebaliknya yang sentiasa menunggu untuk melihat manusia dalam keadaan aurat terbuka ialah syaitan. Firman Allah: Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. [al-A’raaf 7:27] Pengecualian ialah apabila kita memasuki bilik air dengan membaca doa yang diajar oleh Rasulullah, maka doa itu dengan izin Allah akan melindungi kita daripada diganggu atau dilihat oleh syaitan ketika dalam bilik air.

 

 

 

 

 

Soalan 3: Adab Bersetubuh.

Apakah hukumnya suami dan isteri melihat kemaluan masing-masing ketika bersetubuh?

 

Jawapan:

Hukum asal berkenaan bersetubuh di antara suami dan isteri adalah boleh dalam apa cara jua melainkan terdapat dalil sahih yang melarang cara-cara yang tertentu. Hukum asal ini merujuk kepada firman Allah: Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai [al-Baqarah 2:223] Justeru boleh melihat kemaluan isteri jika itulah yang disukai dan memberahikan kerana ia termasuk dalam keumuman firman Allah: ...datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai.

Boleh juga bagi isteri melihat kemaluan suaminya. Ini merujuk kepada hadis bahawa Rasulullah dan isterinya biasa mandi bersama [Shahih al-Bukhari, no: 290] dan dalam keadaan seperti ini, tentu isteri dapat melihat kemaluan suaminya.

Dalam persoalan ini terdapat beberapa riwayat yang melarang atau tidak menganjurkan melihat kemaluan suami dan isteri. Namun riwayat-riwayat tersebut tidak ada yang sahih untuk dijadikan sumber hukum.