Soalan 1: Kenduri Tahlil Untuk Anak

Saya ada kemusykilan mengenai kenduri tahlil untuk anak-anak belum baligh yang meninggal dunia. Ada mengatakan perlu membuatnya sama seperti orang dewasa tapi ada ustaz yang saya dengar dalam ceramah agama kata tidak perlu kerana anak-anak ini belum mempunyai dosa sebaliknya mereka terus masuk ke syurga. Boleh terangkan ?

 

Jawapan:

Pada zaman Rasulullah, kematian adalah satu perkara yang lazim, baik di kalangan orang dewasa mahu pun kanak-kanak yang belum baligh. Rasulullah sendiri telah mengalami kematian ahli keluarga tersayang seperti Khadijah isteri baginda dan Ibrahim anak baginda yang masih bayi.

Namun di sebalik kelaziman ini, Rasulullah tidak mengajar mahupun mengamalkan kenduri tahlil sebagaimana yang lazim diamalkan oleh masyarakat kita di Malaysia. Dalam erti kata lain, kenduri tahlil sempena kematian tidak disyari’atkan oleh Islam. 

 

Di sini janganlah pula kita membuat alasan “Rasulullah tidak buat tetapi tidak melarang kita daripada membuatnya”. Ini kerana apabila kita diperintahkan oleh Allah untuk mentaati Rasulullah, ia bererti mengikuti apa yang baginda amalkan dan meninggalkan apa yang baginda tinggalkan dalam urusan agama. Firman Allah: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. [al-Nisa’ 4:59]

Di sebalik ketaatan ini, kita tidak diberi pilihan untuk membuat sesuatu yang lain sebagaimana firman Allah: Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzab 33:36]

Sesiapa yang sengaja enggan taat kepada Rasulullah, yakni mengingkari baginda, maka Allah akan memberikan fitnah dan musibah ke atas dirinya. Firman Allah: Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Nur 24:63]

Seandainya amalan kenduri tahlil adalah sesuatu yang bermanfaat bagi orang yang meninggal dunia (arwah) dan dapat mendekatkannya kepada syurga, nescaya Rasulullah akan mengajarnya kepada umat, bahkan turut mengamalkannya. Padahal Rasulullah tidak pernah walau sekali mengajar atau mengamalkan kenduri tahlil. Berkenaan hal ini Rasulullah berjanji: Tidak tertinggal sesuatu apa jua yang menghampirkan (kalian) kepada syurga dan menjauhkan (kalian) daripada neraka melainkan sungguh, telah dijelaskan kepada kalian. [al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, 2/1647 dengan sanad yang sahih]

Oleh itu baik kanak-kanak belum baligh atau orang dewasa, Islam tidak mensyari’atkan kenduri tahlil untuk mereka. Apa yang disyari’atkan ialah mendoakan mereka rahmat dan keampunan Allah.

Selain itu di pihak ibubapa yang kehilangan anak yang dikasihi ini, apa yang disyari’atkan kepada mereka ialah bersabar sambil mengharapkan pahala daripada Allah. Dalam sebuah Hadis Qudsi, Allah berfirman: Tidak ada balasan di sisi-Ku bagi hambaku yang beriman, ketika Aku mengambil buah hatinya dari kalangan penduduk dunia lalu dia mengharapkan pahala dari-Ku, melainkan syurga. [Shahih al-Bukhari, no: 5944]

 


 

Soalan 2: Tulang Haiwan Untuk Perubatan.

Baru-baru ini anak saya menjalani pembedahan berkaitan tulang, disebut sebagai bone graft surgery. Selepas pembedahan barulah saya mendapat tahu mereka menggunakan tulang daripada lembu (bovine) yang diimport dari luar negara. Para doktor itu tidak pasti pula sama ada lembu itu telah disembelih atau tidak. Persoalannya, jika lembu itu tidak disembelih, bukankah ia dianggap sebagai bangkai yang haram untuk kita umat Islam? Apa pula status anak saya yang telah menjalani pembedahan tersebut?

 

Jawapan:

Bangkai hanya diharamkan apabila ia digunakan sebagai bahan makanan dan minuman. Adapun untuk kegunaan selain itu, maka ia tidak diharamkan selagi mana telah dibersihkan. Oleh itu boleh memanfaatkan tulang, kulit, bulu, gigi, tanduk dan lain-lain bahagian daripada haiwan, meski pun haiwan itu tidak disembelih sebelum itu.

Dalil dalam kebolehan ini ialah firman Allah berikut ini. Perhatikan bahawa bangkai (haiwan yang tidak disembelih) hanya diharamkan sebagai bahan makanan: Katakanlah: Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-An’aam 6:145]

Dalam sebuah hadis, Abdullah ibn ‘Abbas berkata: Hamba milik Maimunah pernah diberi sedekah seekor kambing, kemudian kambing tersebut mati (tanpa disembelih). (Tidak berapa lama kemudian) Rasulullah melalui tempat tersebut dan bertanya: “Mengapa kamu tidak mengambil kulitnya dan menyamaknya agar kamu dapat memanfaatkannya?” Mereka berkata: “Ia sudah menjadi bangkai.” Baginda bersabda: “Yang diharamkan hanyalah memakannya.” [Shahih Muslim, no: 542] Dalam hadis ini Rasulullah menjelaskan bahawa bangkai hanya diharamkan jika dijadikan bahan makanan. 

Oleh itu anak anda yang telah menjalani bone graft surgery tidak perlu bimbang, ia adalah sesuatu yang halal di sisi Islam.