Soalan:

Saya biasa membersihkan najis bayi dengan menggunakan tisu lembab berantiseptik yang disebut “baby wipes”. Baru-baru ini saya terbaca sebuah posting yang disebar luas melalui laman sosial bahawa membersihkan najis bayi dengan baby wipes adalah tidak suci mengikut hukum Islam.

Benarkah hal ini? Jika benar, apakah yang patut saya lakukan kerana saya telah menggunakan baby wipes selama beberapa bulan, sejak bayi saya dilahirkan.

 

Jawapan:

Tersebar luas sesuatu isu agama bukanlah hujah bahawa ia benar, meskipun yang menyebarkannya ialah orang-orang Islam yang memiliki niat baik. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman berkenaan hal ini: Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. [al-An’aam 6:116] Ini kerana kebanyakan manusia tidak lepas dari dua sikap yang buruk, iaitu bersangka-sangka dan berdusta walaupun mereka tidak menyedarinya.

Di dalam Islam, ada dua cara membersihkan najis. Pertama disebut istinja’, iaitu membersihkan najis dengan air. Cara ini diketahui dan diamalkan oleh semua orang. Kedua disebut istijmar, iaitu membersihkan najis dengan menggunakan bahan yang keras lagi bersih. Cara ini jarang-jarang diketahui dan diamalkan oleh kebanyakan orang. Oleh itu marilah kita meluangkan sedikit masa mempelajarinya.

Dalil Istijmar.Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Apabila salah seorang di antara kalian pergi untuk buang air besar, maka hendaklah dia membawa tiga batu untuk membersihkan dirinya, sesungguhnya itu mencukupi baginya. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 36/40] Baginda juga menjelaskan agar digunakan …tiga batu yang tidak ada kotoran binatang padanya. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 37/41]

Beristijmar tidak semestinya dengan batu. Para ulama’ menjelaskan bahawa boleh beristijmar dengan apa jua yang bersih seperti kain, sapu tangan, tuala kertas dan tisu. Tisu yang sudah dilembabkan dengan bahan antiseptik tentu lebih baik dan boleh juga digunakan.

Cara Istijmar.Apabila beristijmar, hendaklah menyapu dan membersihkan kemaluan atau dubur dalam bilangan yang ganjil sehingga najis tidak kelihatan lagi. Minimum hendaklah tiga kali sapuan. Baginda bersabda: Sesiapa yang beristijmar, hendaklah dengan bilangan yang ganjil. [Shahih al-Bukhari, no: 157/162]] Akan tetapi jika tidak mampu menyempurnakan dengan bilangan yang ganjil, maka usahakanlah apa yang termampu. Abdullah ibn Mas’ud menerangkan:

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pergi untuk membuang air besar, lalu baginda menyuruh aku membawakan tiga buah batu. Aku hanya menemui dua batu, lalu aku mencari batu yang ketiga namun aku tidak menemuinya sehingga aku pun mengambil kotoran haiwan yang sudah kering. Kemudian semua itu aku bahwa ke hadapan Nabi. Namun baginda hanya mengambil dua batu dan membuang kotoran hewan yang telah kering tersebut seraya bersabda: “Ini najis.” [Shahih al-Bukhari, no: 152/156]

Masa kini, apabila beristinjar, gunalah tiga helai tisu. Jika najis masih kelihatan, sapulah dengan lima atau tujuh helai tisu sehingga najis tidak lagi kelihatan.

Syarat Istijmar.Tidak ditemui dalil sahih yang meletakkan syarat sebelum seseorang itu boleh beristijmar. Tidak disyaratkan suasana darurat, musafir atau sakit sebelum beristijmar. Oleh itu apabila ada kemudahan untuk menggunakan air, maka bersihkanlah najis dengan menggunakan air (istinjak). Namun jika sukar menggunakan air, suhu air terlalu sejuk atau panas atau air yang tidak bersih, maka bersihkanlah najis dengan menggunakan tisu atau tisu lembab baby wipes (istijmar).

Yakin Dengan Istijmar.Perkara penting tentang istijmar, hendaklah yakin bahawa ia adalah cukup untuk membersihkan diri daripada najis sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam hadis di atas … sesungguhnya itu mencukupi baginya. Ini kerana syaitan akan suka mencelah membisikkan perasaan was-was, konon istijmar adalah tidak cukup bersih dan tidak menyucikan. Tolaklah bisikan syaitan tersebut dengan membaca A’uzubillahi minasy syaithan nirrajim.