Bulan ini saya ingin berkongsi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Hibban di dalam kitab sahihnya (no. 4032). Dalam hadis ini, Rasulullah bersabda: 

Empat perkara termasuk unsur kebahagiaan seseorang: wanita (isteri) yang soleh, kediaman (rumah) yang luas, jiran tetangga yang soleh dan kenderaan yang selesa. Dan empat perkara termasuk unsur penderitaan seseorang: jiran tetangga yang tercela, wanita yang tercela (buruk akhlaknya), tempat kediaman yang sempit dan kenderaan yang tercela. 

Dalam hadis terdapat pengajaran tentang empat unsur atau perkara yang memberikan kebahagian atau penderitaan. Fokus kita, selari dengan majalah Pengantin ialah ke atas unsur yang pertama.

wife_and_husband_.jpeg

 

Isteri Yang Soleh.

Soleh atau salih bererti seseorang yang taat serta patuh kepada perintah dan larangan Allah. Perkataan soleh kerap kali disebut di dalam al-Qur’an sebagai “amal soleh” dan ia seterusnya dikaitkan dengan ganjaran syurga. Di antaranya ialah firman Allah: Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya. [al-Baqarah 2:82] Iman ialah perbuatan hati sementara amal ialah perbuatan fizikal. Kedua-dua ini apabila betul dan benar, syurgalah ganjarannya. Orang yang membuat apa yang diperintah oleh Allah dan menjauhi apa yang dilarang oleh Allah, dia telah beramal soleh.

Isteri yang soleh ialah isteri yang taat serta patuh kepada perintah dan larangan agama. Beliau melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah dan menjauhi apa yang dilarang oleh Allah. Menjadi seorang isteri yang soleh dengan sendirinya adalah satu amal soleh yang boleh membawa dirinya ke syurga.

Termasuk yang diperintahkan oleh Allah ialah isteri mentaati suaminya. Firman Allah: Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya. [al-Nisa’ 4:34] 

Sementara apa yang dilarang oleh Allah ialah isteri jangan menderhakai suami (nusyuz). Bukti larangan ini ialah Allah mengizinkan suami untuk bertindak ke atas isteri yang derhaka. Tindakan ini memiliki tiga tahap: Pertama menasihati isteri, kedua menjauhi isteri dan ketiga memukul isteri dengan pukulan yang bertujuan memberi peringatan. Firman Allah:

Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. [al-Nisa’ 4:34]

 

Suami Yang Soleh?

Tentu saja unsur kebahagiaan yang dimaksudkan dalam hadis di atas tidak berat sebelah kepada isteri saja. Memandangkan Rasulullah menyampaikannya kepada para lelaki, baginda menyebut “isteri yang soleh”. Namun maksud hadis mencakupi juga para suami agar mereka menjadi suami yang soleh. Suami yang soleh akan membahagiakan isterinya dan ia menjadi satu amal soleh yang boleh membawa dirinya ke syurga.

Suami yang soleh ialah suami yang taat serta patuh kepada perintah dan larangan agama. Beliau melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah dan menjauhi apa yang dilarang oleh Allah. Sebagai seorang suami, Allah memerintahkannya untuk bergaul (berinteraksi) dengan baik kepada isterinya dan menjauhi daripada menyakiti mereka. Firman Allah: 

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan dan janganlah kamu menyakiti mereka kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. [al-Nisa’ 4:19]

Termasuk yang dilarang oleh Allah ialah terburu-buru menceraikan isteri semata-mata kerana beberapa tingkah-lakunya yang tidak disenangi. Firman Allah: Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). [al-Nisa’ 4:19]

Oleh itu meski pun Islam memberikan kuasa talak kepada suami, tidaklah bererti Islam menyukai suami yang menyalahgunakannya. Suami yang cermat lagi berdisiplin dalam menguruskan kuasa talaknya termasuk dalam kategori suami yang soleh.

 

Suami Dan Isteri Yang Soleh.

Apabila berbicara berkenaan suami dan isteri yang soleh, janganlah masing-masing memandang sebagai “kerja” atau “beban” yang terpaksa dilakukan kepada pasangan masing-masing. Pandangan seperti ini akan menyebabkan masing-masing mudah kehilangan motivasi untuk berbuat baik kepada pasangannya. Bahkan masing-masing akan berkira “Saya dah buat ini, dia tak buat itu pun” atau “Saya dah buat macam-macam, dia dah buat apa?”

Sebaliknya hendaklah suami dan isteri memandang peranan masing-masing sebagai satu amal soleh di sisi Allah. Suami yang soleh kepada isterinya akan mendapat ganjaran syurga di sisi Allah sementara isteri yang soleh kepada suaminya akan mendapat ganjaran syurga di sisi Allah. Masing-masing berlumba-lumba untuk beramal soleh dalam berperanan sebagai suami dan isteri. 

Berdasarkan pandangan yang positif seperti ini, akan tertegaklah sebuah rumahtangga yang bahagia. Bahagia kepada suami, bahagia kepada isteri dan bahagia kepada anak-anak. Lebih penting, bahagia di dunia dan bahagia di akhirat.