Kebanyakan tulisan saya sebelum ini memberi tumpuan kepada pasangan yang akan atau sudah bernikah. Memang, fokus diberikan kepada para pengantin kerana merekalah yang akan berkahwin dan merekalah yang akan hidup di alam perkahwinan.

Pun begitu, ada pihak yang tidak boleh dilupakan dalam bab perkahwinan ini, iaitu ibubapa pengantin. Tentu saja, kerana merekalah yang telah membesarkan anak-anak mereka dari saat bayi sehinggalah ke saat untuk mengucapkan lafaz ijab-qabul. Oleh itu tidaklah menghairankan jika kita dapati kebanyakan ibubapa memainkan peranan penting dalam proses perkahwinan anak-anak mereka.

khemah.jpeg

Bercakap tentang peranan ibubapa, ada sebuah ayat di dalam al-Qur’an yang ingin saya kongsikan dalam edisi Pengantin bulan ini. Ayat tersebut ialah firman Allah: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui. [al-Nur 24:32]

Perintah Kepada Ibubapa.

Ayat di atas Allah tujukan kepada para ibubapa agar mereka mengahwinkan anak-anak mereka yang masih bujang, baik anak lelaki mahu pun anak perempuan. Firman Allah Kahwinkanlah…adalah satu kata kerja perintah (fi’il amr), bererti ialah adalah satu suruhan atau lebih tepat, satu perintah. 

Bahkan suruhan ini, pada masa lalu, tetap dibebankan ke atas hamba-hamba yang dimiliki oleh para tuannya. Dalam erti kata lain, seseorang itu bukan sahaja diperintahkan untuk mengahwinkan anak-anaknya tetapi juga hamba-hambanya yang dimiliki, baik lelaki atauu perempuan.

Berdasarkan firman Allah ini, ketahuilah bahawa perkahwinan bukan sesuatu yang dibiarkan bebas kepada pilihan anak-anak, tetapi tetap merupakan salah satu tanggungjawab ibubapa ke atas anak-anak.

 

Tanggungjawab Ibubapa Dalam Perkahwinan.

Apabila dikatakan ibubapa diperintahkan mengahwinkan anak-anak, ia bukan bererti ibubapa memaksa anak-anak berkahwin dengan calon pilihan ibubapa. Paksaan seperti ini menyelisihi tujuan perkahwinan yang disebut oleh Allah sebagai: supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. [al-Rum 30:21]

Akan tetapi tanggungjawab ibubapa dalam perkahwinan ialah:

Pertama: Memberi didikan dan latihan kepada anak-anak tentang peranan sebagai suami dan isteri, sebagai bapa dan ibu. Anak-anak lelaki misalnya, tidak dibiarkan bebas memanjat pokok atau mengintip rumah jiran, sebaliknya diberi kesedaran dan latihan sebagai seorang lelaki yang bertanggungjawab. Sejak awal, anak lelaki dilatih dan diberi tanggungjawab menjaga rumah dan adik-beradiknya, baik yang lebih besar atau yang lebih kecil.

Kedua: Memberi pendedahan tentang cinta. Penting agar anak-anak diajar keutamaan cinta, iaitu pertama kepada Allah, kedua kepada Rasulullah, ketiga kepada ibubapa dan keempat kepada manusia serta alam sekitar. Cinta kepada pasangan duduk di tangga kelima. 

Jika cinta kepada pasangan duduk ditangga keutamaan yang lebih tinggi, maka akan berlakulah perlanggaran terhadap hukum-hukum Allah, penderhakaan kepada ibubapa dan peremehan kepada masyarakat.

Hendaklah juga diberi pendedahan tentang kesan buruk cinta, di mana ia mampu membutakan hati seseorang, meskipun dia asalnya orang yang cemerlang. Oleh kerana itulah, orang-orang yang berpengalaman dalam urusan cinta berpesan, usah bercinta sebelum bernikah. Tidak mengapa sekadar kecenderungan hati sebelum bernikah, namun bercinta hanyalah selepas nikah.

Ketiga: Jangan terperanjat, akan tetapi ketahuilah bahawa termasuk tanggungjawab ibubapa dalam mengahwinkan anak-anak ialah kewangan. Sama-sama diketahui bahawa perkahwinan memerlukan sejumlah belanja perkahwinan. Apabila Allah memerintahkan ibubapa mengahwinkan anak-anak mereka, bererti Allah juga memerintahkan ibubapa menyediakan semua sarana ke arah perkahwinan tersebut. Termasuk sarana itu ialah keperluan kewangan. Dalam susun kata lain, tanggungjawab belanja perkahwinan tidak terletak di bahu anak-anak yang akan berkahwin, tetapi di bahu ibubapa yang akan mengahwinkan anak-anak mereka.

Oleh kerana itulah, kita dapati Allah berfirman dalam ayat al-Qur’an di atas: Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya…. Ertinya, meski pun anak-anak itu miskin, perkahwinan tetap diteruskan. Di kemudian hari, selagi mana anak-anak itu rajin berusaha mencari rezeki yang halal, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka. Ini terbukti dalam kehidupan, di mana betapa banyak suami isteri yang asalnya berkahwin dalam suasana serba minimum namun kini hidup di dalam keadaan selesa dan mencukupi. 

Apa yang penting, Allah tidak mensyaratkan anak-anak yang akan berkahwin memiliki rumah, kereta dengan sekian-sekian duit simpanan dalam bank. Allah juga tidak mensyaratkan bakal suami menyediakan sejumlah duit hantaran kepada pihak bakal isteri. Allah tidak mensyaratkannya kerana beban semua itu terletak kepada ibubapa. Sama ada anak itu kaya atau miskin, ibubapalah yang menanggung belanja perkahwinan mereka. Ibubapa menanggung belanja perkahwinan mengikut kemampuan mereka. Tidak ada batasan minima belanja perkahwinan yang disyaratkan oleh Allah dan Rasulullah.

Pengecualian diberikan kepada mereka yang ingin berkahwin tetapi tidak memiliki ibubapa yang mahu membantu mereka, maka bagi mereka Allah menyatakan: Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya. [al-Nur 24:33]

Apabila dikatakan tanggungjawab kewangan perkahwinan terletak di bahu ibubapa, janganlah memandangnya sebagai satu bebanan. Sebaliknya pandanglah ia sebagai satu peluang pelaburan yang baik. Ini kerana semua sedekah pada hakikatnya ialah satu pelaburan dan sedekah yang terbaik ialah menafkahi ahli keluarga sendiri, seperti menanggung belanja perkahwinan anak-anak. Hayatilah sabda Rasulullah berikut ini:

Dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada seorang budak wanita, dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu nafkahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu. [Shahih Muslim, no: 1661]

 

Wahai Ibubapa yang Beriman…

Wahai ibubapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hayatilah firman Allah dalam ayat 32 surah al-Nur ini. Saya yakin kalian adalah ibubapa yang terbaik. Kebaikan kalian bukan sekadar membesarkan anak-anak, tetapi membantu dan memudahkan mereka memasuki alam perkahwinan. Keredhaan Allah, rezeki, rahmat, pahala dan syurga-Nya menanti ibubapa seperti kalian.