Abdullah ibn Abbas pernah menceritakan sebuah kisah menarik yang ingin saya kongsi bersama para pembaca sekalian. Ia seperti berikut: 

Pernah pada Hari Raya Korban, al-Fadhl bin ‘Abbas membonceng di belakang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas haiwan tunggangan baginda. Al-Fadhl merupakan seorang yang bagus (tampan) wajahnya.

Lalu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berhenti di hadapan orang ramai memberikan fatwa (menjawab persoalan agama). Seorang wanita berwajah cantik dari daerah Kaitsam yang datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk meminta fatwa. al-Fadhl segera memandang kepadanya dan teruja dengan kecantikannya.

 

 pandangan.jpeg

Ketika Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menoleh ke arah al-Fadhl, dia masih saja memandang wanita tersebut. Akhirnya baginda memusing tangan ke arah belakang, memegang dagu al-Fadhl dan memalingkan wajahnya daripada melihat wanita tersebut. 

Wanita tersebut bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah mewajibkan ibadah haji kepada para hamba-Nya, sementara ayahku baru mampu melaksanakan haji saat dia telah lanjut usia sehingga dia tidak mampu naik kendaraan. Apakah saya boleh berhaji untuknya?” Baginda menjawab: “Ya.” [Shahih al-Bukhari, no: 5760/6228]

Perkara penting yang ingin saya kongsikan daripada kisah di atas adalah hukum memandang. Secara umumnya, Islam menganjurkan kita untuk menundukkan pandangan apabila berada di khalayak ramai. Allah Subhanahu waTa'ala berfirman kepada kaum lelaki: Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka. [al-Nur 24:30] Sementara bagi kaum wanita Allah berfirman: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka. [al-Nur 24:31]

Selain itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda: “Janganlah kalian duduk-duduk di jalan.” Mereka (para sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah, itu sudah menjadi kebiasaan kami karena ia menjadi majlis (venue) kami bersembang-sembang.” Baginda bersabda: “Jika kalian tidak mau meninggalkan majlis seperti itu maka tunaikanlah hak jalan tersebut.” Mereka bertanya: “Apa hak jalan itu?” Baginda menjawab: “Menundukkan pandangan, menjauhkan halangan, menjawab salam dan menyuruh kebaikan serta melarang kemungkaran.” [Shahih al-Bukhari, no: 5761/6229]

 

Hikmah Menundukkan Pandangan

Menundukkan pandangan amatlah penting kerana memandang merupakan jalan pertama kepada berlakunya kemungkaran lain seperti zina. Merupakan satu ciri yang telah ditetapkan ke atas semua manusia bahawa perzinaan itu bermula dengan beberapa langkah. Langkah pertama ialah mata yang memandang sehingga tertarik dengan apa yang dipandangnya. Langkah kedua, setelah tertarik di pandangan mata, berlakulah tegur menegur sehingga ke perbualan bebas. Langkah ketiga ialah nafsu yang mengingini, teringat-ingat atau mengkhayalkannya. Langkah keempat ialah pertemuan di antara dua kemaluan lelaki dan perempuan tersebut sehingga berlakulah perzinaan yang sebenar-benarnya.

Inilah yang diterangkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Allah menetapkan atas anak Adam bahagiannya daripada zina, dia pasti melakukan hal itu dengan tidak dimungkiri lagi. Zina mata adalah memandang, zina lisan adalah bicara, jiwa mengkhayal dan (akhirnya) kemaluan yang akan membenarkan semua itu atau mendustakannya. [Shahih al-Bukhari, no: 6122/6612]

Dalam sebuah hadis lain baginda menerangkan beberapa langkah tambahan yang turut lazim berlaku, yang menjadi jalan ke arah perzinaan yang sebenar: Sesungguhnya manusia itu telah ditentukan nasib perzinaannya yang tidak mustahil dan pasti akan dijalaninya. Zina kedua mata adalah melihat, zina kedua telinga adalah mendengar, zina lidah adalah berbicara, zina kedua tangan adalah menyentuh, zina kedua kaki adalah melangkah, dan zina hati adalah berkeinginan dan berangan-angan, sedangkan semua itu akan dilanjuti atau ditolak oleh kemaluan. [Shahih Muslim, no: 4802/2657]

Amatlah benar langkah-langkah yang disebut oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Oleh itu amatlah penting bagi diri saya dan para pembaca sekalian untuk menutup dan menjauhi langkah yang pertama, iaitu pandangan. Baik lelaki mahupun perempuan, hendaklah sentiasa menundukkan pandangan meskipun sedang berbicara urusan kerja atau sesuatu lain yang penting. Bahkan sebagai langkah yang lebih selamat, hendaklah juga menundukkan pandangan daripada wajah tampan dan cantik di kaca TV, majalah, skrin komputer dan apa-apa lain.

 

Pandangan Yang Dibolehkan

Jika secara tidak sengaja terpandang, maka itu tidak mengapa. Namun jangan pula pandangan itu diteruskan untuk sekian lama. Apabila sedar dan teringat, teruslah menundukkan pandangan. Inilah pesanan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh: Wahai Ali, janganlah kamu ikuti pandangan yang pertama dengan pandangan berikutnya, kerana yang pertama untukmu dan yang kedua bukan lagi untukmu. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2701/2777] 

Jabir bin Abdullah radhiallahu 'anh berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengenai penglihatan yang tidak disengajakan (terhadap sesuatu yang dilarang). Maka baginda memerintahkanku supaya memalingkan penglihatanku. [Shahih Muslim, no: 4018/2159]

 

Nasihat Kepada Pasangan Yang Sudah Bertunang

Pertunangan ialah hanyalah sekadar janji untuk bernikah pada tarikh yang dipersetujui. Pertunangan bukanlah tiket yang menghalalkan sesuatu yang haram atau ditegah agama seperti berdua-duaan, berpegangan tangan, berbual-bual melalui talifon, menyimpan gambar pasangan dan menjadikan gambar tersebut sebagai wall paper di komputer, tablet dan talifon.

Pertunangan juga tidak mengizinkan pasangan saling memandang di antara satu lain. Jika berjumpa untuk sesuatu urusan penting, perjumpaan mesti ditemani oleh mahram dan tidak boleh berpandangan di antara satu sama lain. Jika terpandang, hendaklah segera menundukkan pandangan atau mengalihkan wajah.

Pengecualian hanyalah pada saat saling berkenalan, di mana dianjurkan untuk masing-masing melihat wajah pasangan yang dia sedang berkenalan itu, sekadar yang perlu. Ini berdasarkan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “Apabila salah seorang dari kalian melamar wanita, maka selagi dia boleh melihat apa yang dapat mendorongnya untuk menikahinya, maka lakukanlah ia.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 1783/2082]

 

Nasihat Kepada Suami Dan Isteri

Secara umumnya hendaklah menundukkan pandangan kecuali di antara suami dan isteri. Apabila sudah bernikah, suami hendaklah kerap memandang wajah isteri dan isteri hendaklah kerap memandang wajah suami. Kekerapan ini bukan sekadar pada tahun-tahun awal perkahwinan, tetapi memanjang sehingga ke akhir hayat. Apabila bercakap, pandanganlah muka pasangan. Apabila menegur, pandanglah muka pasangan. Apabila mononton TV, sekali sekala pandanglah muka pasangan. Bahkan apabila kebosanan, pandanglah muka pasangan.

Adapun selain wajah pasangan masing-masing, maka hendaklah tetap menundukkan pandangan. Ada sebahagian orang yang menganggap dirinya selamat daripada fitnah memandang jika dia sudah berkahwin. Apa yang benar ialah sebaliknya, fitnah memandang adalah lebih besar sesudah berkahwin. Ini kerana pandangan akan menyebabkan dirinya tertarik kepada seseorang lain sehingga mula merasa bosan terhadap pasangan sendiri. Ini berlanjutan sehingga tidak lagi melakukan hubungan seks dengan pasangan, sebaliknya melakukan onani (masturbation) semata-mata dengan gambar di majalah.

Oleh itu suami dan isteri hendaklah tetap menundukkan pandangan kecuali terhadap pasangan masing-masing. Jika suami asyik memandang kepada wanita lain, maka berdasarkan hadis di atas, isteri boleh menegur dan memalingkan wajah suami. Suami tidak boleh memarahi isteri kerana kebenaran berada pada pihak isteri.