Soalan:

Minta diterangkan apakah maksud wali, siapakah wali dan apakah peranan wali dalam perkahwinan.

 

Jawapan:

Secara ringkas, wali bermaksud penolong, pelindung dan pembela. Sebagai contoh kita umat Islam adalah wali kepada satu sama lain sebagaimana firman Allah: Sesungguhnya wali kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, orang-orang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi walinya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.  [al-Maidah 5:55-56]

Apabila kita umat Islam saling menolong, melindung dan membela, kita pasti akan menang. Kekalahan dan kehinaan yang dihadapi oleh umat Islam masa kini ialah kerana kita tidak menjadi wali kepada satu sama lain.

Adapun dalam konteks perkahwinan, wali berperanan menolong bakal pengantin wanita untuk berkahwin dan melindung serta membelanya dari apa-apa kemudaratan atau penganiyaan dari pihak bakal pengantin lelaki. Peranan wali amat penting kerana ia menjadi syarat sah perkahwinan. Rasulullah bersabda: Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali). [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2083]

Wali bagi seorang pengantin wanita ialah ayahnya. Jika ayahnya tidak dapat menjadi wali, maka ia beralih kepada datuknya dan seterusnya kepada saudara-mara di pihak ayahnya. Jika tidak ada wali, para wali berselisih pendapat atau wali enggan menikahkan, maka bakal pengantin wanita boleh mendapatkan wali hakim. Rasulullah bersabda: Jika para wali berselisih maka pemerintah adalah wali bagi orang yang tidak memiliki wali. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2083]

Maksud pemerintah sebagai wali boleh bererti pemerintah itu sendiri atau wakil-wakil yang dilantik oleh pemerintah sebagai wali. Di Malaysia, jabatan-jabatan agama merupakan wakil pemerintah, maka sesiapa yang inginkan wali hakim hendaklah mendapatkannya mengikut prosedur jabatan agama di negeri masing-masing.

Seorang bakal pengantin wanita hendaklah mendapatkan izin walinya untuk menikah. Pada waktu yang sama, wali tidak boleh menghalang wanita di bawah perwaliannya untuk menikah dengan lelaki pilihannya jika dia (wali) tidak memiliki sebab yang munasabah dari sudut agama. Allah berfirman: “Maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kahwin lagi dengan bakal suaminya. [al-Baqarah 2:232] Sekalipun ayat ini merujuk kepada isteri-isteri yang telah diceraikan, maksudnya umum meliputi para wanita yang baru hendak berkahwin juga.

Demikian juga, wali tidak boleh memaksa wanita di bawah perwaliannya menikah tanpa izin wanita itu sendiri. Rasulullah bersabda: “Seorang janda tidak boleh dinikahkan sehingga ditanya pendapatnya dan seorang gadis dara tidak boleh dinikahkan sehingga ditanya izinnya”. Orang bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana hendak diketahui keizinannya?” Rasulullah menjawab: “Apabila dia diam (setelah ditanya tentang pernikahan).” [Shahih al-Bukhari, no: 4741]

Pernah pada zaman Rasulullah seorang gadis dara dinikahkan oleh ayahnya padahal dia membencinya. Maka gadis itu datang mengadu kepada Rasulullah, lantas Rasulullah memisahkan (menceraikan) perkahwinan tersebut. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2096]

Penjelasan di atas berkenaan hak wali dan hak wanita di bawah perwalian menunjukkan bahawa tidak boleh ada pemaksaan di antara kedua-dua pihak. Sebaliknya hendaklah wujud suasana kerelaan antara wali dan wanita di bawah perwaliannya. Wanita tidak boleh menikah tanpa izin wali dan wali tidak boleh menikahkan seorang wanita tanpa izinnya. 

Pada masa kini agak lazim kedengaran perselisihan antara wali dan wanita di bawah perwaliannya berkenaan calon suami, tarikh pernikahan, belanja pernikahan dan sebagainya. Sebaik-baiknya perselisihan ini tidak berlaku. Seorang wali hendaklah sedar bahawa tanggungjawabnya ialah untuk menolong wanita di bawah perwaliannya untuk berkahwin dan bukanlah menyusahkannya. Seorang wanita pula hendaklah mendengar nasihat dan pandangan walinya kerana beliau tentu lebih berpengalaman dalam urusan perkahwinan.

Pada waktu yang sama, pihak jabatan agama hendaklah memudahkan urusan wali hakim seandainya ia diminta oleh seorang wanita. Janganlah pula menyusahkan dengan prosedur yang rumit kerana kesusahan dan kerumitan bukanlah sebahagian dari ruh ajaran Islam.