Soalan:

Baru-baru ini saya dan bakal suami berbincang tentang mengambil pembantu rumah sesudah bernikah kelak. Saya inginkan seorang pembantu rumah manakala suami pula berpandangan sebaliknya. Apabila saya berkongsi perbincangan kami dengan seorang sahabat lain, beliau menasihatkan kami mengamalkan “Zikir Fatimah”.

Bolehkan diterangkan apakah itu “Zikir Fatimah” dan bagaimana ia dapat membantu perbincangan kami berkenaan pembantu rumah? Terima kasih.

 

Jawapan:

“Zikir Fatimah” merujuk kepada sebuah hadis sahih yang panjang. Berikut saya kemukakan hadis tersebut:

Ali bin Abi Thalib menceritakan bahawa Fatimah (isterinya, juga puteri Rasulullah) merasa sakit tangannya karena menumbuk (menguli) tepung dan ketika itu pula ada seorang pelayan yang menawarkan dirinya (untuk berkhidmat) kepada Rasulullah. Fatimah datang menemui Rasulullah untuk meminta seorang pembantu. Akan tetapi dia tidak berhasil menemui Rasulullah dan hanya bertemu dengan Aisyah. Kemudian Fatimah menitip pesan kepada Aisyah untuk disampaikan kepada Rasulullah. 

Ketika Rasulullah tiba di rumah, Aisyah pun memberitahu baginda tentang kedatangan Fatimah. Ali berkata, lalu Rasulullah pergi ke rumah kami ketika kami tengah berbaring hendak tidur. Maka kami segera bangun, tetapi baginda mencegahnya seraya berkata: “Tetaplah di tempat kalian!” Kemudian Rasulullah duduk di antara kami hingga saya merasakan dinginnya telapak kaki beliau yang menyentuh dada saya. Setelah itu, Rasulullah bersabda: 

“Inginkah kalian berdua aku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kalian minta? Apabila kalian berbaring hendak tidur, maka bacalah takbir (Allahu Akbar) tiga puluh empat kali, tasbih (Subhanallah) tiga puluh tiga kali dan tahmid (Alhamdulillah) tiga puluh tiga kali. Sesungguhnya yang demikian itu lebih baik bagi kalian daripada seorang pembantu.”

Selanjutnya Ali menerangkan: “Saya tidak pernah meninggalkan bacaan tersebut semenjak saya mendengarnya daripada Rasulullah.” Seseorang bertanya kepadanya: “Wahai Ali, apakah kamu juga tidak meninggalkan doa ini pada malam perang Shiffin?” Ali menjawab: “Ya. Saya tidak pernah meninggalkan bacaan (zikir) ini pada malam perang Shiffin sekalipun.” [Shahih Muslim, no: 4906]

Berdasarkan hadis ini, dapat kita pelajari bagaimana Fatimah, puteri kesayangan Rasulullah bekerja keras dengan urusan rumah seperti memasak. Ayahnya selaku seorang Rasulullah memiliki orang-orang yang sedia berkhidmat untuknya, seperti sebagai pembantu rumah. Boleh boleh saja Rasulullah meminta orang tersebut berkhidmat untuk puterinya Fatimah, apabila Fatimah meminta seorang pembantu rumah.

Namun Rasulullah tidak memberikan Fatimah dan Ali seorang pembantu rumah. Sebaliknya baginda mengajar mereka beberapa kalimah zikir yang mudah dibaca sebelum tidur, iaitu Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahu Akbar 33 kali. Zikir ini menjadi pengganti kepada pembantu rumah yang diminta oleh Fatimah sehingga ia masyhur dikenali sebagai “Zikir Fatimah”.

Rahsia di sebalik pengajaran zikir ini ialah, Allah membalas kepada kita apa yang kita berikan kepada-Nya atau kerana-Nya. Bahkan Allah akan membalas dengan tambahan dan gandaan. Apabila kita bersedekah kerana Allah, Allah akan membalas dengan tambahan rezeki. Apabila kita bersikap rahmat kepada makhluk lain kerena Allah, Allah akan menggandakan rahmat-Nya kepada kita. Demikianlah juga, apabila kita meluangkan masa dan usaha kepada Allah, Allah akan menambah masa dan memudahkan usaha kita. 

Sebagai seorang muslim, termasuk salah satu aqidah kita ialah Allah jua yang mengatur dan menguruskan alam ini, termasuklah kita yang hidup di dalam alam ini. Aqidah ini kita sebut dan akuinya setiap hari melalui bacaan surah al-Fatihah: Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin yang bererti “Segala puji bagi Allah, tuhan yang menguruskan alam ini”. Apa jua yang kita hendak, rancang dan buat, hendaklah diimani bahawa kita tertakluk kepada kehendak dan kekuasaan Allah.

Aqidah ini meliputi semua perkara, meskipun dalam urusan dapur seperti menguli tepung. Sukar atau mudah, sedikit atau banyak, lapang atau sibuk, semuanya terikat kepada kehendak dan kekuasaan Allah. Justeru jika kita menginginkan kemudahan, kerja yang sedikit dan masa yang lapang, perhatikan hubungan kita dengan Allah.

Dalam bab ini terdapat sebuah hadis yang memiliki kaitan yang rapat. Rasulullah pernah berpesan: Sesiapa yang menjadikan akhirat sebagai tujuannya, Allah menjadikan kekayaan di dalam hatinya, menghimpunkan baginya segala urusannya dan dunia datang kepadanya dalam keadaan tunduk.

Sesiapa yang menjadikan dunia sebagai tujuannya, Allah menjadikan kefakiran dekat kepada kedua-dua matanya, memisah-misahkan urusannya dan dunia tidak akan mendatanginya melainkan apa yang telah ditentukan baginya. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2465] 

Oleh itu luangkanlah lebih masa dan usaha bersama Allah dan kerana Allah, nescaya Allah akan membalas dengan kemudahan dan kelapangan masa serta tenaga. Menjadi kebiasaan kita, semakin kita sibuk, semakin sedikit masa yang diluangkan bersama Allah atau kerana Allah. Ini tidak lain menjadikan diri kita semakin sibuk, bahkan semakin serabut. 

Ambillah iktibar daripada apa yang dilakukan oleh Ali bin Abi Thalib. Meskipun menghadapi kegementaran, tekanan dan suasana berat pada malam sebelum peperangan, beliau tetap berzikir kepada Allah.