Tazkirah hari ini, firman Allah s.w.t.,

 

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ

Dan barangsiapa berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta". (Taha 20:124)

--------

Berkata Imam Ibn Katsir tentang firman Allah, "Dan barang siapa berpaling daripada peringatan-Ku":

Iaitu menentang perintah-Ku dan menentang apa yang Aku turunkan kepada rasul-rasul-Ku, lalu dia berpaling daripadanya dan melupakannya serta mengambil petunjuk dari selainnya.

Berkata Imam Ibn Katsir tentang "kehidupan yang sempit":

Yakni kehidupan yang sempit di dunia.

Maka tiada ketenangan baginya dan dadanya tidak lapang, bahkan selalu sempit dan sesak kerana kesesatannya;

Walaupun pada zahirnya dia hidup mewah dan memakai pakaian apa saja yang disukainya, memakan makanan apa saja yang disukainya, dan bertempat tinggal di rumah yang disukainya.

Sekalipun hidup dengan semua kemewahan itu, pada hakikatnya hatinya tidak mempunyai keyakinan yang mantap dan tidak mempunyai pegangan petunjuk, bahkan hatinya selalu khawatir, bingung, dan ragu. Dia terus-menerus tenggelam di dalam keragu-raguannya.

Hal inilah yang dimaksudkan dengan kehidupan yang sempit.

Jika diperhatikan pengikut Islam Liberal, para wanita mereka tidak bertudung yang menutup kepala / rambut.

Namun perhatikan juga bahawa mereka berpakaian yang menutup ruang V di antara buah dada (cleavage).

Ini berdasarkan tafsiran mereka ke atas ayat 31 Surah al-Nur:

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ.

Dan hendaklah mereka menutup dengan kain khimar mereka ke atas belahan dada mereka (cleavage).

Bagi mereka, apa yang wajib ditutup ialah ruang di antara buah dada.

Oleh itu kita tidak akan jumpa mereka dengan fesyen pakaian bukaan bentuk V di dada.

Cuba lihat mana-mana video atau gambar Sisters in Islam.

 

Penjelasan:

Jika yang diwajibkan ialah pakaian yang menutup seluruh tubuh badan termasuk ruang V di antara buah dada, maka sudah cukup dengan firman Allah:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ.

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya. (al-Ahzab 33:59)

Adapun ayat 31 surah al-Nur, maka ia sebenarnya menerangkan cara pakai tudung kepala. Perkataan "khimar" dalam ayat:

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ.

Dan hendaklah mereka menutup dengan kain khimar mereka ke atas belahan dada mereka (cleavage)... merujuk kepada tudung di kepala.

Sebelum turun ayat ini, para wanita memakai tudung kepala yang dilabuhkan ke belakang. Ia seperti paderi wanita (nun) di gereja.

Maka Allah memerintahkan agar kain tudung itu dilabuhkan ke hadapan sehingga menutup ruang di antara buah dada mereka.

Kesalahan tafsiran Islam Liberal terletak pada:

(1) Tidak menggandingkan ayat 59 surah al-Ahzab dengan ayat 31 surah al-Nur.

(2) Tidak mengkaji maksud khimar.

(3) Tidak mengkaji sebab diturunkan ayat 31 surah al-Nur.