Para ilmuan berpendapat, ucapan sempena 'Idul Fitri memiliki keluasan. Bererti setiap masyarakat atau kaum boleh mengucapkan apa yang baik dan lazim di sisi mereka. Di Malaysia, ucapan yang lazim adalah "Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin".

Menyentuh tentang ucapan minta maaf ini, ada sebuah hadis yang ingin saya kongsikan. Sekali gus menjadi tazkirah hari ini.

Rasulullah s.a.w. bersabda,

 

مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ، فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ، قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ،

إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ،

وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ

Sesiapa yang pernah menzalimi kehormatan saudaranya atau apa jua (kesalahan yang lain), maka hendaklah dia meminta halal daripadanya (meminta maaf) pada hari ini (ketika di dunia) sebelum datang hari yang ketika itu dinar dan dirham tidak lagi bermanfaat (yakni di Akhirat).

Pada ketika itu (di Akhirat), jika dia memiliki amal soleh, akan diambil daripadanya sebanyak kezaliman yang telah dilakukan (kepada saudaranya itu ketika di dunia).

Dan jika dia tidak memiliki apa-apa kebaikan, akan diambil dosa kesalahan saudara (yang dizalimi itu ketika di dunia) dan dibebankan ke atasnya.

[Shahih al-Bukhari, hadis no.: 2269/2449]

 

Berdasarkan hadis di atas, apabila berbuat salah kepada orang lain maka segeralah meminta maaf.

Dikatakan segera kerana kita semua tidak memiliki temu janji dengan Malaikat Maut. Bila-bila masa saja Malaikat Maut boleh datang mengambil nyawa dan pada saat itu, kita tidak akan lagi sempat meminta maaf. Setelah itu, di Akhirat kelak, akan berlakulah pertukaran pahala dan dosa antara kita dan orang yang kita salahi itu. Sudah tentu ini adalah kerugian yang amat besar. 

Oleh itu, janganlah ditangguhkan pemintaan maaf. Jangan tunggu datang 1 Syawal atau sebelum pergi umrah dan haji baru nak minta maaf. Sebaliknya bersegeralah minta maaf. Minta maaf secara jelas dan lancar, tanpa diikuti dengan apa-apa syarat tambahan.Ia bukan sahaja sesuatu yang dianjurkan oleh Islam, tetapi sesuatu yang membuktikan anda orang yang kuat, jujur dan suci hati.