Masruq bin al-Ajda’ berkata,

بَيْنَمَا رَجُلٌ يُحَدِّثُ فِي كِنْدَةَ، فَقَالَ:

يَجِيءُ دُخَانٌ يَوْمَ القِيَامَةِ فَيَأْخُذُ بِأَسْمَاعِ المُنَافِقِينَ وَأَبْصَارِهِمْ، يَأْخُذُ المُؤْمِنَ كَهَيْئَةِ الزُّكَامِ.

Seorang lelaki sedang bercerita kepada Bani Kinda (tentang tafsir surah al-Dukhan), dia berkata, “Pada hari Kiamat asap (dukhan) akan datang lalu menghalang pendengaran dan penglihatan orang-orang munafiq. Ia juga akan memberi kesan ke atas orang-orang beriman seperti tiupan angin yang sejuk.”

فَفَزِعْنَا فَأَتَيْتُ ابْنَ مَسْعُودٍ، وَكَانَ مُتَّكِئًا فَغَضِبَ فَجَلَسَ، فَقَالَ:

Apa yang dia katakan itu menakutkan kami, maka aku segera mendatangi ‘Abdullah ibn Mas’ud yang ketika itu sedang duduk bersandar. (Setelah aku ceritakan apa yang berlaku, beliau) menjadi marah, duduk tegak dan berkata,

مَنْ عَلِمَ فَلْيَقُلْ، وَمَنْ لَمْ يَعْلَمْ فَلْيَقُلِ اللَّهُ أَعْلَمُ، فَإِنَّ مِنَ العِلْمِ أَنْ يَقُولَ لِمَا لاَ يَعْلَمُ: لاَ أَعْلَمُ.

Sesiapa yang memiliki ilmu maka berkata-katalah, sesiapa yang tidak memiliki ilmu maka berkatalah “Allah yang lebih mengetahui” kerana sesungguhnya termasuk ciri orang yang berilmu adalah berkata ketika dia tidak tahu, “Aku tidak tahu”.

فَإِنَّ اللَّهَ قَالَ لِنَبِيِّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قُلْ مَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ وَمَا أَنَا مِنَ المُتَكَلِّفِينَ.

Sesungguhnya Allah telah berfirman kepada Nabi-Nya shallallahu 'alaihi wasallam, “Katakanlah (wahai Muhammad), Aku tidak meminta kepada kalian sebarang bayaran (atas usaha dakwah ini) ini dan aku bukanlah dari orang-orang yang mengada-adakan.” [Shad 38:86]

وَإِنَّ قُرَيْشًا أَبْطَئُوا عَنِ الإِسْلاَمِ، فَدَعَا عَلَيْهِمُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ:

(Kemudian Abdullah ibn Mas’ud menerangkan kisah di sebalik ayat-ayat asap “al-Dukhan”), sesungguhnya kaum Quraish melengah-lengahkan daripada menerima Islam, maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mendoakan kecelakaan ke atas mereka dengan berkata,

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَيْهِمْ بِسَبْعٍ كَسَبْعِ يُوسُفَ.

“Ya Allah, bantulah aku ke atas mereka dengan tujuh (tahun kemarau) sebagaimana tujuh (tahun kemarau) pada zaman Nabi Yusuf.”

فَأَخَذَتْهُمْ سَنَةٌ حَتَّى هَلَكُوا فِيهَا، وَأَكَلُوا المَيْتَةَ وَالعِظَامَ، وَيَرَى الرَّجُلُ مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ، كَهَيْئَةِ الدُّخَانِ.

Maka mereka (kaum Quraish) mengalami setahun kemarau yang amat dahsyat sehingga mereka binasa kerananya. Mereka (hidup dengan) makan mayat dan tulang. (Disebabkan kebuluran yang amat dahsyat), seseorang mereka mula ternampak di antara langit dan bumi seperti asap “al-Dukhan”.

فَجَاءَهُ أَبُو سُفْيَانَ فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ جِئْتَ تَأْمُرُنَا بِصِلَةِ الرَّحِمِ، وَإِنَّ قَوْمَكَ قَدْ هَلَكُوا فَادْعُ اللَّهَ.

Maka datanglah Abu Sufyan dan berkata, “Wahai Muhammad! Kamu datang dengan menyuruh kami memelihara silaturahim. Sesungguhnya kaum kamu telah binasa, maka berdoalah kepada Allah (untuk kebaikan kami)”.

فَقَرَأَ: فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُبِينٍ. يَغْشَى النَّاسَ هَذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ.

رَبَّنَا اكْشِفْ عَنَّا الْعَذَابَ إِنَّا مُؤْمِنُونَ. أَنَّى لَهُمُ الذِّكْرَى وَقَدْ جَاءَهُمْ رَسُولٌ مُبِينٌ. ثُمَّ تَوَلَّوْا عَنْهُ وَقَالُوا مُعَلَّمٌ مَجْنُونٌ.

إِنَّا كَاشِفُو الْعَذَابِ قَلِيلًا إِنَّكُمْ عَائِدُونَ.

Maka Abdullah ibn Mas’ud membacakan ayat, “Maka tunggulah hari ketika langit membawa asap yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih. (Mereka berdoa): "Wahai Tuhan kami, lenyapkanlah daripada kami azab ini. Sesungguhnya kami beriman."

Bagaimanakah mereka dapat menerima peringatan, padahal telah datang kepada mereka seorang Rasul yang memberi penjelasan, kemudian mereka berpaling daripadanya dan berkata: "Dia adalah seorang yang menerima ajaran (daripada orang lain) lagi pula seorang yang gila.”

Sesungguhnya (kalaulah) kami hapuskan azab itu walau sedikit, sudah tentu kamu akan kembali (kufur ingkar). [al-Dukhan 44:10-15]

[Sebahagian daripada hadis Shahih al-Bukhari, hadis no.: 4401/4774]

---------

Beberapa pengajaran hadis:

[1] Sikap Abdullah ibn Mas’ud yang serta merta marah apabila mendapati al-Qur’an disalah tafsir, lalu segera membetulkannya.

Inilah sikap terpuji yang mesti dimiliki oleh para ilmuan, yakni segera membetulkan kesalahan tentang Islam.

[2] Nasihat yang amat baik daripada Abdullah ibn Mas’ud,

Sesiapa yang memiliki ilmu maka berkata-katalah, sesiapa yang tidak memiliki ilmu maka berkatalah “Allah yang lebih mengetahui” kerana sesungguhnya termasuk ciri orang yang berilmu adalah berkata ketika dia tidak tahu, “Aku tidak tahu”.

[3] Sikap Rasulullah s.a.w. yang mendoakan kemarau ke atas kaum Quraish menimbulkan soalan, bukankah tidak ada paksaan untuk memeluk Islam? Justeru kenapa Rasulullah mendoakan sedemikian semata-mata kerana kaum Quraish melengah-lengahkan penerimaan Islam?

Sebenarnya kaum Quraish bukan sahaja melengah-lengahkan penerimaan Islam tetapi mereka juga mendustakan dakwah Islam dan derhaka terhadap Rasulullah. Ini sebagaimana yang diterangkan dalam riwayat lain. Sila rujuk Shahih al-Bukhari, no.: 4449/4823.

Hadis ini menjadi dalil boleh mendoakan kecelakaan ke atas orang belum Islam yang memusuhi Islam. Memusuhi Islam tidak semestinya dengan pedang dan lembing, tetapi boleh juga melalui kenyataan-kenyataan di media.

Hadis ini juga menjadi dalil boleh mengenakan tekanan ekonomi ke atas mereka, kerana tindakan Rasulullah yang mendoakan kemarau adalah satu bentuk tekanan ekonomi ke atas kaum Quraish.

Pun begitu mendoakan kecelakaan bukanlah satu kemestian. Rasulullah s.a.w. pernah berdakwah ke Taif dan disambut dengan balingan batu. Setelah itu baginda berdoa agar mereka atau zuriat mereka mendapat hidayah Islam.

Adapun terhadap orang belum Islam yang tidak memusuhi Islam, maka hendaklah terus bergaul dengan mereka dalam kebaikan sebagaimana firman Allah dalam ayat 8 surah al-Mumtahanah. Diikuti dengan usaha dakwah dan doa agar mereka akhirnya akan memeluk Islam.