Tersebar di laman web sebuah syarikat guaman Muslim bahawa mana-mana isteri yang dibebankan dengan kerja rumah oleh suami boleh datang jumpa mereka untuk bincang hak isteri meminta cerai (fasakh) dalam situasi sedemikian. Kenyataan tersebut kemudian telah dipadamkan setelah saya memberi komen seperti di bawah.

Namun ada baiknya untuk dikongsi komen saya itu demi kebaikan bersama.

------

Benarkah isteri tidak boleh dibebankan dengan kerja rumah dan bahawa semua kerja rumah merupakan tanggungjawab suami?

Sila baca kisah-kisah para isteri pada zaman Nabi s.a.w..

(1) Nabi s.a.w. pernah balik rumah dan tanya isteri, ada apa nak makan? Isteri jawab tiada. Nabi jawab, tak mengapalah, aku berpuasa hari ini. Pertanyaan Nabi menunjukkan antara peranan isteri adalah sediakan makanan.

(2) Fatimah (anak Nabi) pernah mengeluh sakit tangan kerana menguli tepung. Beliau jumpa Nabi minta pembantu rumah. Nabi tak bagi pembantu rumah, sebaliknya ajar zikir Subhanallah 33x, Alhamdulillah 33x, Allahuakbar 33x. Jika kerja rumah adalah urusan suami, Nabi akan suruh Ali bin Abi Thalib (suami Fatimah) untuk menguli tepung.

(3) Jabir bin Abdullah pernah bernikah dengan seorang janda, lalu Nabi tanya kenapa tak nikah dengan seorang gadis? Jabir jawab, kerana dia mahukan isteri jaga adik-adiknya yang masih kecil. Nabi tidak bantah alasan Jabir.

 

3 hadis sahih ini menunjukkan para isteri bertanggung jawab urusan dalam rumah. Selain itu kedudukan isteri adalah taat kepada suami, selagi tidak disuruh perkara maksiat. Maka jika suami minta sediakan makan minum, maka isteri yang inginkan syurga akan taat sediakan makan minum. Namun duit belanja pergi pasar dan kedai runcit, itu barulah tanggung jawab suami untuk sediakan. Demikian juga duit belanja beli mesin masuh, mesin pengering dan bayar bil elektrik, suami yang keluarkan. Jika isteri hendak sumbang sama, maka ia atas budi bicara isteri.

Para suami dan isteri apabila jumpa peguam kerana masalah rumahtangga, carilah peguam yang akan memberikan kemenangan di mahkamah Allah kelak. Bukan kemenangan di mahkamah dunia ini.