Telah sampai ke perhatian saya sebuah video Ustaz Dr. Ariff Salleh bin Rosman (singkatan UASR) tentang hukum zikir sambil menari dan qasidah. Setelah menontonnya, ada beberapa ulasan yang ingin saya beri sebagai satu perbincangan ilmiah dan bertukar-tukar dalil serta hujah. Pautan kepada video tersebut:

https://www.youtube.com/watch?v=twdVWGA3y3E&t=366s

 

Minit 1.49

UASR: Isu zikir dengan tarian adalah merupakan satu isu ijtihadi kerana tidak terdapat nas yang sorih mengharamkan perkara tersebut.

Ulasan:

Ketahuilah bahawa ijtihad adalah untuk perkara-perkara baharu, yang timbul selepas kewafatan Rasulullah s.a.w..

Adapun tarian, maka ia adalah sesuatu yang sedia ada pada zaman Rasulullah. Ia bukanlah perkara  yang baharu. Bukti yang masyhur lagi sahih adalah tarian perang orang-orang Habsyah di masjid baginda, di Madinah. Terdapat banyak hadis tentang tarian ini, salah satu daripadanya adalah daripada A’isyah r.a.,

وَاللهِ لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُومُ عَلَى بَابِ حُجْرَتِي، وَالْحَبَشَةُ يَلْعَبُونَ بِحِرَابِهِمْ، فِي مَسْجِدِ رَسُولِ اللهِ.

Demi Allah! Demi sesungguhnya aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdiri di pintu bilikku sementara orang-orang Habsyah bermain dengan tombak mereka di Masjid Rasulullah. [Shahih Muslim, 1481/892]

Apabila Allah dan Rasul-Nya pada zaman itu tidak menjadikan tarian sebagai satu bentuk ibadah untuk menghampirkan diri kepada Allah (taqarrub) ketika berzikir, maka bererti ia sememangnya bukan satu bentuk ibadah untuk menghampirkan diri kepada Allah ketika berzikir pada zaman selepas kewafatan Rasulullah.

Dalam erti kata lain, ia bukanlah satu perkara yang terbuka kepada ijtihad.

Minit 2.20

UASR:

Maka sebahagian ulama’ dalam aliran thareqat berijtihad, antara cara mereka untuk menghayati zikir ialah menggunakan gerakan badan. Itu sebagai salah satu kaedah yang digunakan dalam sebahagian thareqat. Maka apabila dia dibincangkan dalam disipilin ilmu thareqat, kita kena faham penghujahan yang mereka gunakan. Jika kita tidak mahir dalam bidang tersebut, kita jangan sibuk-sibuk.

Ulasan:

Sudah dikenali di kalangan para pengkaji sufi dan tasawwuf bahawa setiap mereka (sufi dan tasawwuf) memiliki disiplin ilmu dan kaedah-kaedah yang tersendiri. Sebab itulah ia disebut sebagai “thareqat” yang bermaksud jalan. Kenyataan UASR di atas menguatkan lagi penemuan para pengaji ini.

Dalam dunia Islam, thareqat bukan satu tetapi banyak, dengan setiap thareqat memiliki disiplin ilmu dan kaedah-kaedah tersendiri. Ringkasnya, setiap thareqat memiliki jalan tersendiri.

Ini bukanlah sesuatu yang terpuji atau patut dibangga-banggakan kerana jalan-jalan ini menyelisihi perintah Allah di dalam al-Qur’an agar umat Islam hanya mengikuti satu jalan, iaitu jalan Rasululllah dan para sahabat baginda. Perhatikan firman Allah dalam ayat berikut,

قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ.

Katakanlah (Wahai Muhammad kepada umatmu): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku (para sahabat baginda) mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata. Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik.” [Yusuf 12:108]

Apabila orang-orang mula membuat thareqat atau jalan tersendiri, maka mereka telah bercerai berai daripada jalan Rasulullah dan para sahabat, sehingga menjadilah mereka berpuak-puak. Terhadap thareqat-thareqat dan puak-puak ini, Allah telah membebaskan Rasulullah daripada mereka. Firman Allah,

إِنَّ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا لَسْتَ مِنْهُمْ فِي شَيْءٍ إِنَّمَا أَمْرُهُمْ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ.

Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau (wahai Muhammad) memiliki kaitan sedikit pun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka (pada Hari Kiamat kelak) apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya). [al-An’aam 6:159]

Oleh itu apabila kita mendengar tentang sekian-sekian thareqat, tidak perlu rasa teruja dan teringin untuk mengikutinya. Sebaliknya tetaplah kekal di atas thareqat atau jalan Rasulullah dan para  sahabat baginda.

Satu contoh thareqat Rasulullah dan para sahabat adalah tidak berzikir secara menari.

 

Minit: 3.52

Seterusnya UASR mengemukakan penjelasan daripada Syaikh Syukri Yeoh Abdullah daripada thareqat Shatttariyyah bahawa – secara ringkasnya – zikir sambil menari adalah satu bentuk Fiqh al-Dakwah. Ia digunakan untuk menarik minat orang-orang Barat yang kaki disco dan rap, agar mereka dapat kekal dalam minat mereka. Ia hanya untuk peringkat awal dakwah, atas tujuan mendekatkan. Ia bukan syarat bagi thareqat Nashabandi untuk zikir sambil menari.

Ulasan:

Pertama: Sebelum ini UASR mengatakan bahawa zikir sambil menggerak-gerakkan badan (yakni menari) adalah untuk menghayati zikir tersebut. (Minit 2.32). Kini dikatakan pula ia adalah Fiqh al-Dakwah, untuk menarik orang-orang ke arah Islam. Berlaku pertembungan di sini.

Kedua: Sudah maklum di kalangan para pengaji sufi dan tasawwuf bahawa hampir semua thareqat berzikir sambil menari atas tujuan mencapai kekhusyukan dan “mabuk” dalam berzikir. Cuma bentuk tarian dan lafaz zikir mereka yang berbeza-beza. Tujuannya bukanlah Fiqh al-Dakwah.

Berikut dikemukakan penjelasan Imam Abu Bakar al-Turtusyi rahimahullah (520H) tentang asal usul zikir sambil menari. Sesiapa yang memiliki jantung yang lemah tidak digalakkan membacanya.

وسيل الْإِمَامُ أَبُو بَكْرٍ الطُّرْطُوشِيُّ رَحِمَهُ اللَّهُ: مَا يَقُولُ سَيِّدُنَا الْفَقِيهُ فِي مَذْهَبِ الصُّوفِيَّةِ؟

وَأُعْلِمَ- حَرَسَ اللَّهُ مُدَّتَهُ- أَنَّهُ اجْتَمَعَ جَمَاعَةٌ مِنْ رِجَالٍ، فَيُكْثِرُونَ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ تَعَالَى، وَذِكْرِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Al-Imam Abu Bakar al-Turtusyi rahimahullah ditanya, “Apakah pandanganmu, wahai tuan (guru) kami yang faqih, tentang Mazhab Sufi/Tasawwuf? Ketahuilah, semoga Allah sentiasa menjagamu, bahawasanya sekumpulan mereka (orang-orang sufi/tasawwuf) dari kalangan kaum lelaki berhimpun lalu mereka banyak berzikir kepada Allah Ta’ala dan Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.

ثُمَّ إِنَّهُمْ يوقعون بالقضيب على شي مِنَ الْأَدِيمِ، وَيَقُومُ بَعْضُهُمْ يَرْقُصُ وَيَتَوَاجَدُ حَتَّى يَقَعَ مَغْشِيًّا عَلَيْهِ، وَيُحْضِرُونَ شَيْئًا يَأْكُلُونَهُ.

Kemudian mereka meletakkan tongkat di atas sesuatu yang diperbuat daripada kulit, lalu bangunlah sebahagian mereka untuk menari dan membuat-buatkan kekhusyukan sehingga tidak sedarkan diri. (Kemudian) dibawa sesuatu untuk dimakan.

هَلِ الْحُضُورُ مَعَهُمْ جَائِزٌ أَمْ لَا؟ أَفْتُونَا مَأْجُورِينَ؟

Apakah dibolehkan atau tidak untuk hadir bersama mereka? Apakah dapat diberi fatwa kepada kami, wahai yang diangkat sebagai pemberi fatwa?

الْجَوَابُ:- يَرْحَمُكَ اللَّهُ- مَذْهَبُ الصُّوفِيَّةِ بَطَالَةٌ وَجَهَالَةٌ وَضَلَالَةٌ،

وَمَا الْإِسْلَامُ إِلَّا كِتَابُ اللَّهِ وَسُنَّةُ رَسُولِهِ.

Jawapannya, semoga Allah merahmati kamu (wahai yang bertanya), Mazhab Sufi/Tasawwuf adalah batil, jahil dan sesat. (Ini kerana) Islam tidak lain adalah Kitab Allah (al-Qur’an)  dan sunnah Rasulullah.

وَأَمَّا الرَّقْصُ وَالتَّوَاجُدُ فَأَوَّلُ مَنْ أَحْدَثَهُ أَصْحَابُ السَّامِرِيِّ،

لَمَّا اتَّخَذَ لَهُمْ عِجْلًا جَسَدًا لَهُ خُوَارٌ قَامُوا يَرْقُصُونَ حَوَالَيْهِ وَيَتَوَاجَدُونَ،

فَهُوَ دِينُ الْكُفَّارِ وَعُبَّادِ الْعِجْلِ.

Adapun (zikir sambil) menari dan membuat-buatkan kekhusyukan, maka orang terawal yang menciptanya adalah para sahabat Samiri. Yakni tatkala dia membuatkan untuk mereka patung lembu yang bersuara. Lalu mereka berdiri dan menari-nari di sekeliling patung lembu itu sambil membuat-buatkan kekhusyukan. Maka ia (zikir sambil menari dan membuat-buatkan kekhusyukan) adalah agama kaum kafir dan penyembahan patung lembu.

[Samiri adalah orang yang membuat patung lembu bersuara daripada barangan kemas kaum Bani Israil. Ketika itu Nabi Musa’ tidak ada bersama. Rujuk surah Ta-Ha, ayat 85 dan seterusnya]

وَأَمَّا الْقَضِيبُ فَأَوَّلُ مَنِ اتَّخَذَهُ الزَّنَادِقَةُ لِيَشْغَلُوا بِهِ الْمُسْلِمِينَ عَنْ كِتَابِ اللَّهِ تَعَالَى.

Adapun (zikir dengan) tongkat, maka yang terawal menggunakannya adalah kaum zindiq bertujuan menyibukkan kaum muslimin dengannya (agar jauh) daripada Kitab Allah Ta’ala (al-Qur’an).

وَإِنَّمَا كَانَ يَجْلِسُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَعَ أَصْحَابِهِ كَأَنَّمَا عَلَى رؤوسهم الطَّيْرُ مِنَ الْوَقَارِ.

Padahal Nabi shallallahu 'alaihi wasallam duduk bersama para sahabatnya (untuk berzikir) tidak lain seperti seolah-olah ada burung yang bertenggek di atas kepada mereka, disebabkan diamnya mereka daripada sebarang pergerakan.

فَيَنْبَغِي لِلسُّلْطَانِ وَنُوَّابِهِ أَنْ يمنعهم من الْحُضُورِ فِي الْمَسَاجِدِ وَغَيْرِهَا،

وَلَا يَحِلُّ لِأَحَدٍ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ يَحْضُرَ مَعَهُمْ، وَلَا يُعِينَهُمْ عَلَى بَاطِلِهِمْ.

Maka sudah sepatutnya bagi sultan dan para wakilnya untuk menghalang mereka (kumpulan yang zikir sambil menari) daripada hadir di dalam masjid-masjid dan tempat-tempat lain. Dan tidak dihalalkan bagi seorang pun yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk turut hadir bersama mereka dan tidak menolong mereka dalam kebatilan mereka (kehadiran adalah satu bentuk pertolongan dan sokongan).

هَذَا مَذْهَبُ مَالِكٍ وَأَبِي حَنِيفَةَ وَالشَّافِعِيِّ وَأَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ وَغَيْرِهِمْ من أئمة المسلمين وبالله التوفيق.

Inilah mazhab (Imam) Malik, Abu Hanifah, al-Syafi’e, Ahmad bin Hanbal dan selain mereka daripada kalangan para imam kaum muslimin. Hanya bagi Allah jualah kuasa memberi taufiq.

[Dikemukakan oleh Imam al-Qurtubi rahimahullah (671H) dalam al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (al-Maktabah al-Syamilah), tafsir bagi ayat 90-93 surah Ta-Ha]

 

Minit 6.52

Mulai minit 6.52 UASR membahas hukum menari berdasarkan kaedah “Asal bagi sesuatu muamalat adalah dibenarkan” dan “Asal bagi sesuatu ibadah adalah diharamkan kecuali apa yang Nabi tunjuk sahaja”. (minit 7.37)

Maka berdasarkan dua kaedah di atas UASR membuat kesimpulan (minit 10.47): “Memang ada perbezaan pendangan dalam kalangan ulama dalam menyatakan perkara ini, tetapi kita melihat kepada prinsip asalnya, apabila tarian yang tidak disertakan dengan elemen-elemen haram dan dalam tarian itu dia zikrullah – ingat Allah Subhanahu wa Ta'ala - maka tidak ada masalah.”

UASR berkata lagi (minit 11.20):

“Maksud tarian adalah gerakan anggota badan. Jadi secara prinsipnya, dilihat pada hukum asal ia adalah dibenarkan. Tetapi kalau nak katakan haram, maka perlu ada dalil, mana nas yang mengharamkan?

Sekarang ini jadi terbalik, kita pula kena cari dalil mana yang mengharuskan? Tak. Dia tengok kepada asalnya harus atau asalnya haram?

Dalam ibadah, asalnya haram jadi kene ada dalil yang membenarkan.

Tetapi apabila dalam persoalan muamalat, maka asalnya harus. Kamu kata haram, datangkan dalil yang mengatakan haram. Bukan minta kami supaya kemukakan dalil yang mengharuskan sebab dalil asal harus.

…… Sekarang ini apabila kata haram, apa dalil haram? Ada tak nas dalam al-Qur’an atau hadis Nabi yang Nabi larang, ketika berzikir diharamkan kamu menari. Jika tak ada nas yang jelas, maka dia kembali kepada hukum asal dan para ulama dalam disiplin ilmu thareqat menggunakan pendekatan tersebut sebagai uslub dakwah, sebagai kaedah dakwah.”

Ulasan:

Kedua-dua kaedah yang dikemukakan oleh UASR adalah benar dan diguna pakai oleh para ulama’ dahulu dan kini. Sayang sekali kelihatannya UASR tidak memahami dengan baik kedua-dua kaedah tersebut sehingga ia sebenarnya menjadi hujah ke atas beliau. Dalam susun kata lain, ia menjadi hujah yang mengharamkan zikir secara menari.

Penjelasannya adalah seperti berikut. Memang, hukum asal dalam urusan duniawi adalah harus sehinggalah ada dalil yang mengatakan sebaliknya. Akan tetapi apabila urusan duniawi dibawa masuk ke wilayah ibadah sehingga menjadi satu bentuk ibadah yang menghampirkan diri (taqarrub) kepada Allah, maka urusan duniawi itu diukur berdasarkan kaedah ibadah. Yakni hukum asal dalam ibadah adalah haram sehinggalah ada dalil yang mengatakan sebaliknya.

Dalam kes ini, ia melibatkan dua perkara. Pertama adalah menari di mana ia adalah urusan duniawi yang hukum asalnya ialah harus. Kedua adalah berzikir di mana ia adalah urusan ibadah di mana hukum asalnya ialah haram.

Maka apabila menari dilakukan bersama zikir sebagai satu bentuk ibadah yang lebih dapat menghampirkan (taqarrub) pelakunya kepada Allah, ia telah masuk ke wilayah ibadah. Apabila sudah masuk ke wilayah ibadah, maka ia diukur berdasarkan kaedah “hukum asal dalam ibadah adalah haram sehinggalah ada dalil yang mengatakan sebaliknya.” Memandangkan tidak ada dalil daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang membolehkan zikir menari, maka ia jatuh kepada hukum asal ibadah = haram.

Justeru berdasarkan kedua-dua kaedah tersebut, UASR sendiri yang telah mengharamkan zikir sambil menari.

 

Minit 12.32

Dalam kesimpulan di atas, UASR sekali lagi membuat kenyataan bahawa, “….para ulama dalam disiplin ilmu thareqat menggunakan pendekatan tersebut sebagai uslub dakwah, sebagai kaedah dakwah.” (minit 12.42)

Ulasan:

Kenyataan di atas amat diragui kerana sudah dikenali lagi maklum bahawa pelbagai thareqat sufi dan tasawwuf berzikir sambil menari sebagai satu bentuk taqarrub (menghampirkan diri) kepada Allah. Melalui tarian itu, mereka berusaha untuk mencapai kekhusyukan dan kemabukan dalam berzikir. Padahal Allah dan Rasul-Nya tidak pernah meminta mahupun menganjurkan agar orang yang berzikir berusaha mencapai tahap tersebut.

Di sini kelihatannya UASR tidak mahir dalam ilmu thareqat, khasnya berkenaan sejarah dan tujuan zikir secara menari. Di sini saya teringat kepada nasihat UASR sendiri, “Jika kita tidak mahir dalam bidang tersebut, kita jangan sibuk-sibuk.” (minit 3.09)

 

Minit 12.45

Seterusnya UASR membahas hukum qasidah dan nyanyian berdasarkan kaedah hukum asalnya adalah dibolehkan.

Bukti nyanyian dibolehkan – lanjut UASR – adalah nyanyian “Thola’al Badru ‘alaina….” yang dilakukan oleh orang lelaki dan perempuan warga Madinah bagi menyambut kedatangan Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.

Ulasan:

Apabila sesuatu perkara disandarkan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka hendaklah disemak kesahihannya. Jika tidak, ia termasuk dalam ancaman berdusta ke ats baginda yang akhirnya membawa kepada balasan neraka.

Nyanyian “Thola’al Badru ‘alaina….” memang masyhur tetapi kemasyhuran bukanlah bukti kesahihan. Para pengkaji telah menyatakan bahawa riwayat berkaitan nyanyian tersebut dan sebab disebaliknya adalah tidak sahih.

Sila rujuk dua pautan berikut:

https://kisahmuslim.com/2383-kisah-kebenaran-syair-thalaal-badru-alaina.html

https://semakhadis.com/kisah-nyanyian-anak-anak-gadis-bani-najjar-ketika-menyambut-hijrah-rasulullah-ke-madinah/

 

Minit 13.40

UASR, “Apa permasalahan dalam qasidah-qasidah yang dibaca? Melainkan jika dalam qasidah itu ada elemen yang bercanggah dengan hukum syara’.”

Ulasan:

Ini adalah kenyataan yang benar. Qasidah dibolehkan selagi mana dalam liriknya tidak terdapat sesuatu yang bercanggah dengan hukum syara’. Antara percanggahan tersebut ialah berlebih-lebihan dalam memuji Nabi, meminta pertolongan Nabi, meminta syafa’at Nabi (padahal syafa’at hanya diminta kepada Allah) dan menyakini kehadiran Nabi dalam majlis qasidah tersebut.

Sehingga sini sajalah ulasan saya ke atas video UASR (sehingga minit 13.54). Moga ia bermanfaat kepada semua.