Seorang sahabat berkongsi kepada saya dua buah hadis yang nampak seolah-olah Rasulullah s.a.w. mengamalkan air jampi. Marilah kita mengkaji kedua-dua hadis tersebut.

Sebelum itu, sedikit ulangkaji.

Air jampi adalah air yang dipercayai dapat menyimpan bacaan-bacaan jampi yang ditiup padanya, untuk kegunaan masa kemudian.

Ia seperti tangkal, iaitu objek yang dipercayai dapat menyimpan bacaan-bacaan jampi yang ditiup padanya, untuk kegunaan masa kemudian.

 

Hadis Pertama:

Daripada ‘Ali radhiallahu 'anh, dia berkata,

لَدَغَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَقْرَبٌ وَهُوَ يُصَلِّي، فَلَمَّا فَرَغَ قَالَ:

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam disengat kala jengking sementara baginda sedang solat. Tatkala selesai solat, baginda bersabda,

لَعَنَ اللَّهُ الْعَقْرَبَ، لَا يَدَعُ مُصَلِّيًا، وَلَا غَيْرَهُ.

“(Semoga) Allah melaknat kala jengking, tidaklah ia meninggalkan orang yang sedang solat atau selainnya (melainkan disengatnya).”

ثُمَّ دَعَا بِمَاءٍ وَمِلْحٍ، وَجَعَلَ يَمْسَحُ عَلَيْهَا، وَيَقْرَأُ: قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ.

Kemudian baginda meminta air dan garam, lalu disapukan di atas tempat sengatan. Sambil itu baginda membaca surah al-Kafirun, surah al-Falaq dan surah al-Nas.

Hadis ini dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath, hadis no.: 5890. Al-Haitsami menghimpunnya dalam Majma’ al-Zawa’id, hadis no.: 8445 dan berkata, “Riwayat al-Thabarani dalam al-Shogheir dan sanadnya hasan.” Al-Albani meletakkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, hadis no.: 548.

Jika diperhatikan hadis ini, campuran air dan garam yang diminta oleh Rasulullah s.a.w. bukanlah untuk menjampi, tetapi untuk menggosok bahagian yang disengat oleh kala jengking. Seandainya Rasulullah mengamalkan air jampi, Rasulullah akan membaca surah al-Kafirun, al-Falaq dan al-Nas, tiup ke dalam air campuran garam dan kemudian menggosoknya di bahagian yang kena sengat. Kemungkinan besar campuran air dan garam itu adalah sebagai rawatan ke atas sengatan.

Maka hadis ini tidak menunjukkan penggunaan air jampi oleh Rasulullah s.a.w..

 

Hadis Kedua:

أَنَّهُ دَخَلَ عَلَى ثَابِتِ بْنِ قَيْسٍ - قَالَ: أَحْمَدُ وَهُوَ مَرِيضٌ - فَقَالَ:

(Diriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam) pernah menziarahi Tsabit bin Qays. Berkata Ahmad (salah seorang perawi hadis), dia ketika itu sedang sakit. Lalu baginda membacakan doa,

اكْشِفِ الْبَأْسَ رَبَّ النَّاسِ عَنْ ثَابِتِ بْنِ قَيْسِ بْنِ شَمَّاسٍ

“Hilangkanlah penyakit ini wahai Tuhan manusia daripada Tsabit bin Qays bin Syammas.”

ثُمَّ أَخَذَ تُرَابًا مِنْ بَطْحَانَ فَجَعَلَهُ فِي قَدَحٍ ثُمَّ نَفَثَ عَلَيْهِ بِمَاءٍ وَصَبَّهُ عَلَيْهِ

Kemudian baginda mengambil tanah dari Bathhan dan meletakkannya dalam satu bekas. Kemudian baginda menyembur padanya air dan menuang ke atas (Tsabit).

Hadis ini dikeluarkan oleh Abu Daud dan sanadnya dinilai dha’if oleh al-Albani dalam Dha’if Sunan Abu Daud, hadis no.: 3387/3885. Sanadnya juga dinilai dha’if oleh Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sunan Abu Daud, hadis no.: 3885.

Jika diperhatikan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak menjampi apa-apa pada campuran air dan tanah. Baginda terlebih dahulu mendoakan Tsabit, kemudian barulah membuat campuran air dan tanah tersebut. Kemungkinan besar campuran air dan tanah itu adalah sebagai rawatan kepada penyakit Tsabit.

Maka hadis ini juga tidak menunjukkan penggunaan air jampi oleh Rasulullah s.a.w..

 

Kesimpulan:

Kedua-dua hadis di atas tidak menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. mengamalkan air jampi.

Malah tidak diketahui apa-apa hadis yang menerangkan Rasulullah s.a.w. mengamalkan air jampi. Jika ada, minta tolong tunjukkan untuk manfaat bersama.