Article Index


 Fiqh al-Awlawiyat Antara Suruhan dan Larangan Yang Saling Bertembung.
      Bagaimana pula sikap kita apabila berhadapan dengan satu keadaan yang bertembung antara suruhan dan larangan agama? Hadis berikut memberi jawapannya:

فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ.

        Apabila aku melarang kalian dari sesuatu maka jauhilah ia dan apabila aku menyuruh kalian dengan sesuatu urusan maka laksanakanlah sedaya upaya kamu. [Shahih al-Bukhari, hadis no: 7288]


Hadis di atas menggabungkan antara larangan dan suruhan, iaitu:

* Larangan: Jauhilah ia, sekali pun yang kecil atau sedikit darinya.
* Suruhan: Laksanakanlah ia sedaya mungkin, sekali pun yang kecil atau hanya sedikit darinya.

      Berdasarkan hadis ini dirumuskan kaedah Fiqh al-Awlawiyat bahawa apabila bertembung antara larangan dan suruhan dalam satu masa dan seseorang itu hanya mampu melakukan salah satu daripadanya, maka adalah lebih utama untuk menjauhkan larangan berbanding melaksanakan suruhan.

      Di sini timbul persoalan kedua yang lebih penting. Sama-sama diketahui bahawa di sebalik setiap larangan ada mafsadat yang ingin dijauhi oleh agama manakala di sebalik setiap suruhan ada manfaat yang ingin dicapai oleh agama. Lalu bolehkah kita berusaha mencapai satu matlamat yang disuruh oleh agama dengan cara yang dilarang oleh agama?

      Lazimnya kita akan menjawab “tidak” kerana “matlamat tidak menghalalkan cara”. Ini ialah jawapan yang selamat namun tidak semestinya tepat. Sebabnya, berdasarkan kaedah Fiqh al-Awlawiyat, boleh atau tidak dipertimbangkan antara maslahat di sebalik matlamat yang disuruh dengan mafsadat di sebalik cara yang dilarang. Ia seperti berikut:

  •   Jika mafsadat di sebalik cara adalah lebih besar berbanding maslahat di sebalik matlamat, maka adalah lebih utama untuk meninggalkan matlamat tersebut.
  •  Jika maslahat di sebalik matlamat adalah lebih besar berbanding mafsadat di sebalik cara, maka adalah lebih utama untuk melaksanakan matlamat tersebut.

      Dalilnya ialah peristiwa Perjanjian Hudaibiyah yang berlaku di antara umat Islam dan kaum kafir Mekah. Ringkasnya apabila perjanjian hendak ditulis, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata kepada jurutulisnya, Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh agar surat perjanjian dimulai dengan: “Bismillahir Rahmanir Rahim”. Wakil kaum kafir Mekah, Suhail bin Amr membantah dengan berkata: “Ada pun al-Rahman, maka demi Allah! Aku tidak tahu apakah itu. Akan tetapi tulislah: “Bismikallahumma”. Kaum muslimin yang hadir ketika itu membantah: “Demi Allah! Kami tidak akan menulisnya melainkan dimulai dengan Bismillahir Rahmanir Rahim”. Namun Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “(Tak mengapa), tulislah Bismikallahumma”.

      Kemudian Rasulullah berkata kepada jurutulisnya: “Ini adalah apa yang diputuskan oleh Muhammad, Rasul Allah”. Sekali lagi ia dibantah oleh Suhail: “Sekiranya kami mengetahui bahawa engkau adalah Rasul Allah, nescaya kami tidak akan menghalangi kamu mengunjungi Baitullah dan kami tidak akan memerangi kamu. Akan tetapi tulislah – Muhammad bin Abdullah.”

      Rasulullah menjawab: “Demi Allah! Sungguh aku adalah Rasul Allah sekali pun kalian mendustakan aku. (Tak mengapa), tulislah – Muhammad bin Abdullah.” Seterusnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meminta: “Maka janganlah menghalangi kami untuk mengunjungi Baitullah agar kami dapat melakukan tawaf di sana.” Dengan permintaan ini perjanjian dipersetujui dan mulai tahun seterusnya, umat Islam dapat masuk ke Mekah dan tawaf di Baitullah dalam Masjid al-Haram. [Shahih al-Bukhari, hadis no: 2731-2732 secara ringkas]

 Dalam peristiwa di atas terdapat pertembungan antara matlamat dan cara:

* Matlamat: Melaksanakan umrah di Masjid al-Haram. Ia termasuk suruhan agama.

* Cara: Menafikan dalam surat perjanjian nama Allah “al-Rahman dan al-Rahim” dan menafikan kedudukan Muhammad sebagai seorang Rasul Allah. Ini termasuk larangan agama.

      Dalam menghadapi pertembungan di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui bahawa melaksanakan umrah memiliki maslahat yang besar kepada umat Islam berbanding penafian nama Allah dan kedudukan baginda yang memiliki mafsadat yang kecil. Ini kerana penafian tersebut hanya berlaku di atas kertas perjanjian dan tidak secara hakiki. Maka atas dasar pertimbangan antara matlamat dan cara, juga antara maslahat dan mafsadat, baginda mempersetujui perjanjian tersebut.

      Di sini dapat dirumuskan beberapa kaedah Fiqh al-Awlawiyat bahawa dibolehkan mencapai matlamat yang disuruh dengan cara yang dilarang dengan syarat:

  • Maslahat di sebalik matlamat adalah jauh lebih besar sementara mafsadat di sebalik cara adalah jauh lebih kecil.
  • Maslahat di sebalik matlamat memberi kesan jangka masa panjang sementara mafsadat di sebalik cara memberi kesan jangka masa pendek.
  •  Maslahat di sebalik matlamat memberi kesan kepada orang yang besar jumlahnya sementara mafsadat di sebalik cara memberi kesan kepada orang yang kecil jumlahnya.
  • Maslahat di sebalik matlamat bersifat pasti sementara mafsadat di sebalik cara bersifat kemungkinan.

      Walaubagaimanapun penting untuk digariskan di sini bahawa kaedah-kaedah di atas bukanlah untuk diamalkan sesuka hati oleh orang awam dan para penuntut ilmu. Ini kerana tidak ramai yang mampu menilai secara adil dan luas antara matlamat dan cara, antara maslahat dan mafsadat. Sesuatu perkara mungkin dianggap matlamat yang memiliki maslahat padahal ia sebenarnya adalah satu mafsadat. Sesuatu cara mungkin dianggap memiliki kadar mafsadat yang sementara padahal ia sebenarnya memberi kesan jangka masa yang amat panjang.

      Justeru kaedah-kaedah di atas hanyalah layak diamalkan oleh para mujtahid dan ahli fatwa. Ada pun bagi orang awam dan para penuntut ilmu, kaedah yang selamat ialah “Matlamat tidak menghalalkan cara”.