Article Index

Kata Penutup.

Islam adalah agama yang global. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَكَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا.

Dia-lah (Allah) yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (Islam), supaya Dia meninggikannya (Islam) atas segala agama yang lain; dan cukuplah Allah menjadi Saksi (tentang hal itu).[35]

al-Qur’an adalah kitab yang global kerana ia adalah penentu antara yang benar dan salah (al-Furqan) bagi seluruh manusia:

تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَى عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا.

Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan (al-Qur’an) kepada hamba-Nya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.[36]

Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam adalah Rasul yang global kerana baginda diutus kepada semua manusia:

قُلْ يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya.”[37]

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ.

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.[38]

Umat Islam adalah umat yang global kerana kita telah dipilih oleh Allah untuk mengglobalisasi kepada umat yang lain tentang apa yang benar dan salah:

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا.

Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai umat Islam) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (yang lain tentang benar dan salah) dan Rasulullah pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.[39]

Maka apabila kita berbincang tentang globalisasi, sepatutnya Islam dan umatnya menjadi pemain utama. Mengglobalisasi merupakan ciri-ciri Islam dan umatnya. Tidak sekadar itu, arus mengglobalisasi yang dibawa oleh Islam dan umatnya bersifat positif seluruhnya, iaitu memberi manfaat dan menjauhkan mudarat kepada manusia, haiwan dan alam semesta.

Sekali pun realiti masa kini menunjukkan kita lebih diglobalisasi daripada mengglobalisasi, masih belum terlambat untuk mengubahnya. Namun perubahan tersebut tidak akan berlaku jika diri sendiri tidak melakukan perubahan terhadap sikap dalam beragama.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ.

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.[40]


 


[1]               Sanad sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya (edisi terjemahan oleh Bey Arifin & Syinqithy Djamaluddin; Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1996), hadis no: 4123 (Kitab al-Malahim); al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath (tahqiq: Muhammad Hasan Muhammad; Dar al-Fikr, Amman), hadis no: 6527 (Yang bernama Muhammad); al-Hakim dalam al-Mustadrak ‘ala al-Shahihin (tahqiq: Musthafa ‘Abd al-Qadir ‘Atha; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut), hadis no: 8592 (Kitab al-Fitan wa al-Malahin) dan beliau mendiamkannya, demikian juga al-Zahabi; al-Baihaqi dalam Ma’refah al-Sunan wa al-Atsar (tahqiq: ‘Abd al-Mu’thi Amin Qal‘aji; Dar al-Wafa’, Kaherah, 1991), hadis no: 422 (Muqaddimah, Bab berkenaan kelahiran dan kewafatan Imam al-Shafi’e) dan al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Tarikh (tahqiq: Musthafa ‘Abd al-Qadir ‘Atha; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1997), jld. 2, ms. 59 (Bab orang yang bernama Muhammad dan ayahnya Idris, Biografi Muhammad bin Idris al-Shafi’e).

Berkata al-‘Ajluni: “Riwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Ausath juga daripadanya dengan sanad yang para perawinya adalah thiqat, dan dikeluarkan oleh al-Hakim daripada hadis Ibn Wahhab dan beliau mensahihkannya. Para imam telah berpegang kepada hadis ini.” [Kasyf al-Khafa’ wa Muzil al-Ilbas (tahqiq: Muhammad ‘Abd al-‘Aziz, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1997), hadis no: 739.

Berkata al-Munawi: “Berkata al-Zain al-‘Iraqi dan selainnya: Sanadnya sahih.” [Faidh al-Qadir Syarh Jami’ al-Shagheir (Dar al-Ma’refah, Beirut, 1391H), hadis no: 1845.

[2]               Min Ajli Shahwah Rasyidah Tujaddid al-Dien…wa Tanhadh bi al-Dunya (edisi terjemahan oleh Nabhani Idris atas judul Fiqih Tajdid dan Shahwah Islamiyah; Islamuna Press, Jakarta, 1997), ms. 7, dengan beberapa suntingan bahasa.

[3]               Min Ajli Shahwah Rasyidah Tujaddid al-Dien…wa Tanhadh bi al-Dunya, ms. 7, dengan beberapa suntingan bahasa.

[4]               al-Nisa’ 4:124.

[5]               Min Ajli Shahwah Rasyidah Tujaddid al-Dien…wa Tanhadh bi al-Dunya, ms. 17-18, dengan beberapa suntingan bahasa.

[6]               Min Ajli Shahwah Rasyidah Tujaddid al-Dien…wa Tanhadh bi al-Dunya, ms. 28-29, dengan beberapa suntingan bahasa.

[7]               Gerakan Tajdid: Keperluan Masa Kini, dalam Majalah i (Kumpulan Karangkraf, Shah Alam), edisi September 2005, ms. 22.

[8]               Lebih lanjut berkenaan syubhat-syubhat Islam Liberal, azab kubur, penurunan Nabi Isa dan aurat wanita serta jawapan bagi menjelaskan syubhat tersebut, rujuk buku saya Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 1) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

[9]               Tashfiyah dan tarbiyah adalah buah pemikiran Syaikh al-Albani rahimahullah. Lebih lanjut sila kaji buku beliau al-Tashfiyah wa al-Tarbiyah wa Hajat al-Muslimin ilaiha (edisi terjemahan oleh Abu Abdil Aziz atas judul Tashfiyah wa Tarbiyah: Jalan Menuju Pemurnian dan Penamaan Aqidah; Pustaka at-Tauhid, Tangerang, 2002). Lihat juga syarahannya oleh Syaikh ‘Ali bin Hasan al-Halabi dalam al-Tashfiyah wa al-Tarbiyah wa Atsaruhuma fi Isti’naf al-Hayah al-Islamiyah (edisi terjemahan oleh Muslim al-Atsari & Ahmas Faiz atas judul Tashfiyah dan Tarbiyah: Upaya Meraih Kejayaan Umat; Pustaka Imam Bukhari, Solo, 2002).

[10]             Lebih lanjut tentang pluralisme, rujuk artikel saya Kerukunan Antara Agama, Bukan Kesamaan Antara Agama dan Memintas Fiqh Lintas Agama dalam Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 2) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

[11]             Sebenarnya Islam juga memberi penekanan kepada hak asasi manusia, tetapi terdapat perbezaan yang besar antara hak yang ditekankan oleh Islam dengan yang selain Islam. Dua perbezaan yang terbesar adalah:

Pertama: Islam memberi hak kepada manusia melakukan sesuatu selagi mana perbuatan tersebut tidak menjatuhkan kedudukannya sebagai mahluk yang mulia. Dengan itu, Islam sememangnya tidak memberi hak yang bebas kepada manusia untuk melakukan apa sahaja yang dia kehendaki kerana pembebasan tersebut akan menjatuhkan darjat manusia kepada kedudukan yang lebih rendah daripada haiwan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala tentang kemuliaan ini:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلاً.

Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. [al-Isra’ 17:70]

Sebagai contoh, Islam melarang manusia daripada mengambil sesuatu yang memabukkan, bersetubuh antara satu sama lain (kecuali melalui pernikahan) dan berpakaian yang separuh telanjang kerana ia menjatuhkan kedudukan manusia seumpama haiwan, bahkan lebih rendah lagi.

Kedua: Islam memberi hak kepada manusia melakukan sesuatu selagi mana perbuatan tersebut tidak menceroboh, menindas, menzalimi, mempersenda atau memberi kesan yang buruk kepada manusia yang lain. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّي الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ...

Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar……” [al-A’raaf 7:33]

Sebagai contoh, Islam memberi hak bersuara kepada manusia selagi mana suara tersebut tidak digunakan untuk menceroboh, menindas, menzalimi, mempersenda atau memberi kesan yang buruk kepada manusia yang lain. Bandingkan hak ini dengan tindakan beberapa akhbar Eropah sebelum ini yang menyiarkan kartun-kartun yang mempersenda peribadi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan menceroboh perasaan umat Islam seluruhnya.

[12]             Feminisme sebenarnya terbahagi kepada tiga kategori:

·         Feminisme yang memartabatkan wanita: Ia adalah feminisme yang diperjuangkan oleh Islam sejak 1400 tahun yang lalu. Islam memartabatkan wanita dari pelbagai sudut seperti hak untuk hidup, hak mendapatkan ilmu, hak bekerjaya, hak mendapatkan penceraian, hak ilindungi daripada kezaliman, hak mendapat harta warisan, hak mengundi dan hak untuk saling membantu untuk Islam.

Namun dengan satu catitan penting, hak-hak tersebut sesuai dengan fitrah ciptaan wanita itu sendiri. Islam membezakan antara lelaki dan wanita, justeru masing-masing diberi hak sesuai dengan fitrah masing-masing. Oleh itu dalam memberikan hak-hak tersebut, Islam tidak membebaskan wanita daripada fitrahnya untuk mencintai dan dicintai oleh suami, melahirkan anak dan mendidik anak.

·         Feminisme yang memperdayakan wanita: Ia adalah feminisme yang lahir di negara-negara Barat mulai tahun tujuh puluhan. Ia lahir atas dua sebab utama, Pertama: Keinginan wanita untuk turut meraih kejayaan kebendaan yang pada zaman itu mula memuncak dan diraih oleh kaum lelaki sahaja dan Kedua: Ramainya lelaki yang menzalimi wanita.

Berdasarkan sebab yang pertama, kaum wanita bangun untuk bersaing dengan lelaki sehingga apa jua yang dilakukan oleh lelaki, mereka juga ingin melakukannya. Berdasarkan sebab yang pertama ini juga, wanita memisahkan ciri-ciri fitrah yang khusus bagi mereka, seperti melahir dan mendidik anak. Mereka berkata: “Raising children is modern day slavery for women”. Berdasarkan sebab yang kedua pula, wanita membenci lelaki. Ini dibuktikan melalui penahanan diri daripada mencintai dan dicintai, berkahwin dan melakukan hubungan seks dengan lelaki.

Mulai pertengahan tahun sembilan puluhan, para wanita yang memperjuangkan feminisme seumpama di atas sedar akan kesilapan mereka. Mereka sedar bahawa persaingan yang mereka wujudkan hanya menambah keuntungan diraih oleh lelaki sementara diri mereka semakin tertindas. Pada waktu yang sama mereka sedar bahawa usaha mereka tidak menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik. Para pengkaji yang adil telah menyandarkan feminisme kategori kedua ini sebagai salah satu punca melonjaknya fenomena seks sesama wanita (lesbian), penceraian dan jenayah di kalangan anak muda.

Lebih memberatkan, para wanita sendiri mula sedar bahawa dalam bersaing dan membenci lelaki, mereka telah memperdayakan diri mereka sendiri. Mereka memperdayakan diri sendiri kerana telah menjadikan lelaki sebagai kayu ukur dan tujuan dalam perjuangan. Padahal sebagai wanita yang bermaruah dan berjatidiri, mereka sepatutnya memiliki kayu ukur dan tujuan yang tersendiri. Mereka juga memperdayakan diri sendiri kerana telah menafikan kehendak fitrah mereka sebagai seorang manusia. Fitrah yang ingin mencintai dan dicintai oleh suami serta melahirkan anak dan mendidik anak bersama suami.

Sejak itu wanita-wanita di negara Barat mula sedar akan kesilapan perjuangan yang mereka mulakan pada tahun tujuh puluhan. Kini mereka berubah dari motto: “Wanita jadilah seumpama lelaki” kepada motto yang baru: “Wanita jadilah wanita”.

·         Feminisme yang mempertuhankan wanita: Ia adalah feminisme yang ingin menukar hukum-hukum agama agar sesuai dengan kehendak wanita dan arus peradaban semasa. Seolah-olah wanita adalahh tuhan yang dengan itu boleh dilakukan penukaran syari‘at. Feminisme kategori ketiga ini boleh dikenali melalui suara-suara yang menuntut hak talak diberi kepada isteri, persamaan pembahagian warisan dan aurat wanita sama seperti aurat lelaki.

Dalam usaha melakukan tajdid kepada agama dan umat, arus feminisme tidak boleh diabaikan kepada ia memiliki kesan yang amat luas. Oleh itu:

1.        Umat Islam hendaklah dididik bahawa Islam memberi perhatian yang adil kepada lelaki dan wanita. Sebahagian daripada perhatian tersebut adalah sama kerana kedua-dua lelaki dan wanita memiliki persamaan dalam beberapa sudut. Namun sebahagian lagi daripada perhatian tersebut berbeza kerana dalam beberapa sudut yang lain terdapat perbezaan antara lelaki dan wanita. Mempersamakan lelaki dan wanita dalam semua sudut seumpama mempersamakan antara lori dan kereta sehingga lori digunakan untuk bersiar-siar manakala kereta digunakan untuk mengangkut batu-batan.

2.        Kaum lelaki hendaklah dididik bahawa mereka memiliki tanggungjawab yang besar terhadap wanita. Apabila Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman: (الرجال قوامون على النساء) “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan”  [al-Nisa’ 4:34], ia tidaklah bermaksud memberi kuasa sewenang-wenangnya kepada lelaki tetapi meletakkan tanggungjawab yang amat berat kepada lelaki untuk menjaga kebaikan hal ehwal wanita. Ingat! Salah satu punca feminisme ialah kezaliman lelaki ke atas wanita.

3.        Kaum wanita hendaklah dididik bahawa apabila Islam memberi beberapa perhatian dan hukum yang khusus kepada mereka, ia tidaklah bererti Islam menzalimi mereka. Sebaliknya ia menunjukkan bahawa Islam mengistimewakan mereka. Sesuatu yang istimewa sudah tentu memerlukan perhatian yang lebih. Bandingkan antara mata dan telinga, kedua-duanya adalah anggota ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Akan tetapi untuk telinga Allah membiarkannya terdedah begitu sahaja manakala untuk mata Allah berikannya kelopak yang menutupi serta bulu mata yang menapis habuk. Adakah semua ini bererti Allah menzalimi mata atau kerana mata adalah lebih istimewa berbanding telinga?

[13]             al-Hujurat 49:13.

[14]             Arus mengglobalisasi kebanyakannya datang dari negara Barat, khasnya Amerika Syarikat. Oleh kerana itu sebahagian pengkritik globalisasi menggelar ia sebagai Westernization dan Americanization.

[15]             Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh Mahmud Muhammad Mahmud dalam semakannya ke atas Sunan Ibn Majah (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1998), hadis no: 224.

[16]             al-Anbiya’ 21:78-79

[17]             Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya (penomboran Fu’ad Abd al-Baqi), hadis no: 71.

[18]             Yusuf 12:111.

[19]             al-‘Ashr 103:1-3.

[20]             al-Nahl 16:125.

[21]             Yusuf 12:108.

[22]             al-Taubah 9:105.

[23]             al-Taubah 9:71.

[24]             ‘Ali Imran 3:110.

[25]             Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya (penomborang Fu‘ad Abd al-Baqi), hadis no: 49.

[26]             ‘Ali Imran 3:104.

[27]             Perbezaan ini ada dijelaskan dalam kitab-kitab tafsir.

[28]             Dalam menguatkan pendapat yang kedua ini, saya sedar bahawa ia berbeza dengan pendapat yang dipilih oleh majoriti ilmuan rahimahumullah, dimana mereka berpendapat ia adalah fardhu kifayah dan bukannya fardhu ain berdasarkan ayat 104 surah ‘Ali Imran di atas. Namun ada segelintir yang menguatkan pendapat yang kedua, antaranya Syaikh Yusuf al-Qaradhawi hafizhahullah, sebagaimana yang beliau terangkan dalam bukunya al-Muslimun wa al-‘Aulamah (edisi terjemahan oleh Nabhani Idris atas judul Islam dan Globalisasi Dunia; Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2001), ms. 162.

[29]             al-‘Ashr 103:1-3.

[30]             Setiap ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji memiliki rukun-rukunnya dimana jika rukun tersebut tidak dipenuhi, maka ibadah tersebut menjadi tidak sah. Demikian juga bagi ibadah jihad fi sabilillah, ia juga memiliki rukun-rukunnya. Namun ia memiliki satu perbezaan yang besar dimana jika rukun-rukun tersebut tidak dipenuhi, maka ibadah jihad bukan sahaja menjadi tidak sah, bahkan orang yang melakukannya akan diazab oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Lebih lanjut rujuk buku saya Apakah Jihad Di Jalan Allah (Buku 1& 2) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

[31]             Kadar 80% ini dikhabarkan kepada saya oleh Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman dalam perbualan kami semasa majlis Hi Tea anjuran Muslim Professional Forum di Pusat Persidangan Sime Darby pada 1 July 2006. Majlis Hi Tea tersebut dilangsungkan bagi mengutip dana untuk Rumah Solehah, sebuah rumah khusus untuk menjaga ibu-ibu dan anak-anak yang HIV positif dan mengidap penyakit AIDS. Lebih lanjut, sila taip “Rumah Solehah” di enjin carian: http://www.google.com.my/

[32]              Malaysian AIDS Council ada menyediakan program-program khusus tentang bagaimana kita umat Islam dapat memainkan peranan untuk menangani wabak AIDS. Sila hubungi mereka atau lawat: http://www.mac.org.my/

[33]             Tidak sekadar itu, saya juga sengaja membiarkan sebahagian poin dalam kertas kerja ini tergantung untuk para pembaca mencari sendiri maklumat lanjut atau penyelesaiannya. Saya sekadar memberi cetusan manakala selebihnya diserahkan kepada para pembaca. Agaknya tidak berlebihan jika saya katakan, sudah tiba masanya untuk kita berubah dari sikap manja kepada sikap berdikari.

[34]             Alhamdulillah saya telah mengusahakan buku yang khas dalam subjek ini berjudul 11 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

[35]             al-Fath 48:28

[36]             al-Furqan 25:01.

[37]             al-A’raaf 7:158.

[38]             al-Anbiya’ 21:107.

[39]             al-Baqarah 2:143

[40]             al-Rad 13:11.