B: Ibubapa Menurut al-Sunnah. 

Redha Allah : Derhaka : Ibu Berbanding Ayah : Menggembirakan Ibubapa : Meminta Izin : Kehinaan Anak : Membenci Dan Memutuskan Hubungan : Doa Ibubapa : Anak Yang Berbuat Baik : Doa Anak : Hak Terhadap Harta : Hak Pemilihan Pasangan Hidup

 

 

Kesepuluh: Dikabulkan Doa Anak Yang Berbuat Baik Kepada Ibubapa.

 

Ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

Ketika tiga orang sekawan sedang berjalan, mereka ditimpa hujan lalu mengambil perlindungan dalam sebuah gua di sebuah gunung. Kemudian sebuah batu besar dari gunung tersebut jatuh di mulut gua dan mengurung mereka di dalamnya. Maka berkata sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain:

 

“Berfikirlah tentang amal shalih yang pernah kalian lakukan semata-mata kerana Allah, kemudian berdoalah kepada Allah dengan bertawasul melalui amal tersebut, semoga Allah memberi jalan keluar dengannya.”

 

Maka berkata salah seorang daripada mereka:

 

“Ya Allah! Sesunguhnya aku mempunyai ibubapa yang sudah sangat lanjut usia,

seorang isteri dan anak-anak kecil yang masih aku pelihara.

Saat aku pulang ke rumah pada waktu petang sambil membawa ternakanku kepada mereka,

aku memerah susu. Aku biasanya memberi minum ibubapaku sebelum anak-anakku.

Suatu hari, tempat aku mengembala amat jauh sehingga aku hanya sempat pulang ketika hari sudah amat lewat petang. Aku dapati ibubapaku sudah tidur.

Aku memerah susu seperti biasa, membawa bekas berisi susu dan berdiri di samping ibubapaku.

Aku tidak suka membangunkan kedua-duanya dan aku pula tidak suka memberi minum anak-anakku sebelum kedua-duanya, sekalipun anak-anakku menangis di kakiku kerana kelaparan. K

eadaanku dan anak-anakku berterusan sehingga fajar menyinsing.

 

Jika Engkau mengetahui bahawa aku melakukan hal itu semata-mata kerana mencari Wajah-Mu, maka berilah kami satu bukaan untuk melihat langit (dari dalam gua tersebut).”

 

Maka Allah memberikan bukaan pada batu tersebut sehingga mereka dapat melihat langit.[1]

 

 

Demikianlah besarnya nilai amalan berbuat baik kepada ibubapa sehingga ia menjadi satu amalan yang dapat membantu seorang anak ketika dia ditimpa musibah. Selain itu terdapat dua pengajaran tambahan dalam hadis di atas:

 

Pengajaran Pertama:

Hendaklah kita memberi prioriti kepada ibubapa di atas anak isteri sendiri. Secara lebih luas, kita hendaklah mencurahkan perhatian, kasih sayang dan pemberian yang lebih kepada ibubapa daripada anak isterinya sendiri. Kita hendaklah sedia berkorban untuk ibubapa melebihi pengorbanan terhadap anak isterinya sendiri.

 

Pengajaran Kedua:

Prioriti tidak sahaja dari sudut berbanding anak isteri sendiri tetapi dari sudut segala tingkah lakunya. Sebagai contoh, Abu Hurairah radhiallahu 'anh pernah melihat dua orang, lalu dia bertanya: “Apakah hubungan dia dengan kamu?” Orang itu menjawab: “(Dia adalah) ayahku.” Lalu Abu Hurairah berpesan: “Janganlah engkau memanggil dia dengan namanya, janganlah berjalan di hadapannya dan janganlah duduk sebelumnya.”[2]


 

[1] Sahih: Sebahagian daripada hadis dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5974 (Kitab al-Adab, Bab termakbulnya doa disebabkan berbuat baik kepada ibubapa). Berdoa dengan amal shalih sepertimana dalam hadis di atas disebut sebagai bertawassul. Bertawassul terbahagi kepada dua, yang dibolehkan dan yang dilarang. Lebih lanjut tentang bertawassul, rujuk buku saya Beberapa Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2006.

[2] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan sanadnya dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad – hadis no: 32.

 

Kandungan  : Top