K  a  e  d  a  h
Memahami Hadis-hadis 
M u s y k i l .

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman

Pengenalan || Contoh 1 || Contoh 2 || Contoh 3 || contoh 4

 

A: Hadis-hadis musykil dari sudut ilmu Sains.

Contoh 1:

Matahari sujud di bawah Arasy di malam hari.

Berkata Abu Dzar radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam telah bertanya kepada dia tentang hal tenggelamnya matahari:

“Tahukah kamu ke mana perginya (matahari di malam hari) ?” Saya (Abu Dzar) menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Lalu Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya ia pergi sehingga sujud di bawah Arasy. Ia meminta izin maka diizinkannya. Lalu ia segera untuk bersujud lagi tetapi tidak diterima darinya, lalu ia meminta izin lagi namun ia tidak diperkenankan. Dikatakan kepada ia: Kembalilah dari mana kamu datang. Maka ia muncul (terbit) dari tempat ia tenggelam (terbenam).

Inilah yang dimaksudkan oleh Allah Ta‘ala dalam firman-Nya: Dan matahari, ia beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.” [Yasin 36:38][1]

Kemusykilan:

Ada beberapa kemusykilan yang timbul dari hadis ini:

[1]      Dalam hadis ini disebutkan bahawa matahari pergi untuk bersujud, menunjukkan bahawa yang bergerak adalah matahari. Bukankah ini menyalahi fakta sains di mana yang bergerak sebenarnya adalah bumi ?

[2]     Berdasarkan ilmu sains, kita sama-sama tahu di mana kedudukan matahari di malam hari. Kenapa pula dalam hadis ini dikatakan matahari pergi bersujud di bawah Arasy ?

[3]     Lebih aneh, bagaimana pula matahari akan terbit di tempat terbenamnya, yakni di sebelah Barat ?

[4]     Di akhir hadis ini, dibacakan ayat al-Qur’an bahawa matahari beredar ke tempat yang ditetapkan baginya. Dalam kuliah-kuliah Zakir Naik[2], diterangkan bahawa maksud ayat ini bukanlah untuk menunjukkan bahawa matahari itu bergerak dalam orbitnya yang tersendiri atau bergerak mengelilingi bumi tetapi ia menunjukkan bahawa matahari berpusing di atas paksinya dengan setiap pusingan mengambil masa kira-kira 25 hari. Ini juga telah dibuktikan oleh sains mutakhir. Maka sekali lagi terdapat percanggahan antara hadis ini dengan al-Qur’an dan sains.

Penjelasannya:

Sebelum dijelaskan satu persatu kemusykilan di atas, perlu diingatkan bahawa tujuan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam membicarakan perihal matahari bukanlah untuk mengajar umat di zamannya ilmu sains tetapi adalah untuk menghubungkan antara ciptaan-ciptaan alam dan Penciptanya agar dengan pengamatan dan pemerhatian tersebut, keimanan dan keyakinan umat bertambah teguh dan mantap.

Ini adalah sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala  dalam al-Qur’an:

 Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” [‘Ali Imran 3:190-191]

Kaedah pengamatan dan pemerhatian tersebut mungkin sahaja berbeza bergantung kepada individu, tahap ilmu dan suasana zaman kehidupannya. Dalam kes ini Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memberikan tumpuan kepada umatnya di zaman yang masih belum dikuasai sepenuhnya oleh ilmu sains. Sekalipun Rasulullah mengetahui ilmu sains secara tepat berdasarkan wahyu pengajaran dari Allah ‘Azza wa Jalla, baginda tidak mungkin akan mengajarnya kerana melakukan sedemikian tidaklah termasuk dalam kaedah dakwah yang berhikmah di saat itu.

Namun dengan berubahnya zaman dan peradaban manusia, maka berubahlah juga kaedah dakwah. Apa yang dianggap sebagai tidak berhikmah di zaman dahulu kini berubah menjadi kaedah yang berhikmah manakala apa yang dianggap berhikmah di zaman dahulu mungkin sahaja tidak lagi tepat di zaman kini.

Ini umpama apabila seorang anak kecil berumur 3 tahun yang bertanya kepada kedua ibubapanya dari manakah dia datang. Adakah kedua ibubapanya akan menjelaskan kepada dia setiap perincian, dari pemulaan hubungan seks, peringkat-peringkat perkembangan embrio sehinggalah kepada proses kelahiran; atau mereka akan mencari jalan lain untuk menjelaskan secara mudah dan mengaitkannya kepada Allah Ta‘ala agar si anak dapat memahaminya dan mula mengenal siapakah Pencipta ? Dan pasti sahaja jawapan kedua ibubapa akan berbeza apabila yang bertanya adalah seorang anak yang telah mencapai umur dewasa belasan tahun, di mana dijelaskan dari sudut sains biologi dan dikaitkan dengan sifat Allah yang Maha Agung lagi Maha Mengetahui.

Oleh itu jika kita perhatikan benar-benar hadis perihal matahari di atas, kita akan dapati ianya penuh dengan petunjuk dan isyarat yang mengaitkan Matahari dengan Penciptanya. Hadis ini tidak bercanggah dengan sains malah ia adalah satu cabaran kepada ilmu sains yang mutakhir mahupun yang akan datang.

Berikut dijelaskan satu persatu kemusykilan yang timbul daripada hadis di atas:

Kemusykilan pertama:

Matahari pergi untuk bersujud, menunjukkan bahawa yang bergerak adalah matahari.

Penjelasannya:

Perkataan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya ia (matahari) pergi sehingga…….” sebenarnya adalah ungkapan dari segi bahasa, bukan sains. Bukankah kita juga apabila merujuk kepada matahari menggunakan ungkapan seolah-olah matahari yang bergerak ? Dalam bahasa Melayu dikatakan “Matahari sedang terbit” di pagi hari, “Matahari telah tergelincir” di siang hari dan “Matahari terbenam” di waktu Maghrib. Semuanya menunjukkan seolah-olah yang bergerak adalah matahari. Begitu juga dalam bahasa Inggeris iaitu bahasa para ahli sains, di mana dikatakan “The Sun rises” dan “The Sun sets” , kedua-duanya menunjukkan seolah-olah matahari yang bergerak.

Justeru diulangi bahawa sebutan: “Sesungguhnya ia (matahari) pergi sehingga…….” sebenarnya adalah ungkapan dari segi bahasa, bukan sains.

Kemusykilan kedua:

Matahari pergi bersujud di bawah Arasy.

Penjelasannya:

Yang dimaksudkan bersujud dalam hadis di atas bukanlah bersujud sepertimana perbuatan solat tetapi adalah sujud dalam ertikata ia mentaati perintah dan ketetapan Allah ke atasnya. Perhatikan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala  dalam dua ayat berikut:

Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang. [al-Ra’d 13:15]

Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah, dan matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia ? [al-Hajj 22:18]

Sujud dalam dua ayat di atas ertinya ia mengikuti segala undang-undang dan peraturan yang telah Allah tetapkan bagi ia. Ini dikenali sebagai sunnatuLlah. Hal ini diperincikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala  dalam ayat berikut:

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam. [al-A’raaf 7:54]

Justeru sama ada matahari atau bulan atau planet-planet lain, sama ada ia berorbit atau berputar pada paksinya atau kedua-duanya, itu semua adalah perintah, peraturan dan ketetapan Allah bagi mereka.

Maka apabila dikatakan matahari setelah terbenam pergi bersujud kepada Allah, ertinya ia tunduk kepada perintah dan peraturan Allah terhadapnya. Matahari tetap berada pada peraturannya, ia tidak hilang tetapi akan terbit kembali pada esok paginya. Terbit dan terbenamnya matahari yang disaksikan kerana pergerakan bumi adalah kerana aturan dan ketetapan Allah ‘Azza wa Jalla terhadap mereka.

Hal ini telahpun dibuktikan oleh sains akan tetapi sains masih belum dapat menemui kenapa dan bagaimana matahari dan bumi dapat berputar dan / atau berorbit dalam satu peraturan yang begitu seragam sehingga ia tidak bertembung mahupun lari dari ketetapannya. Begitu juga dengan sistem cakerawala yang lain, planet-planet, bulan, meteor dan bintang. Sains telah menemui peraturan gerakan mereka tetapi sains belum menemui siapakah yang mengaturnya. Atau mungkin sudah ditemui tetapi keberatan untuk mengakui atau mengumumkannya.

Inilah yang penulis maksudkan bahawa hadis ini bukan sahaja tidak bercanggah dengan sains malah ia adalah satu cabaran kepada ilmu sains yang mutakhir mahupun yang akan datang.

Kemusykilan ketiga:

Matahari akan terbit di tempat terbenamnya.

Penjelasannya:

Keterangan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bahawa matahari kemudiannya disuruh terbit di tempat terbenamnya sebenarnya merujuk kepada suasana akhir zaman beberapa ketika terdekat sebelum Kiamat. Terdapat beberapa hadis lain di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menerangkan bahawa menjelang Hari Kiamat, matahari akan terbit di tempat terbenamnya.[3] Di saat ini matahari tidak lagi mengikuti peraturan yang sudah sekian lama diperintahkan kepadanya.

Di dalam al-Qur’anul Karim, terdapat beberapa ayat yang menerangkan bahawa matahari hanya akan mengikuti peraturan yang ditetapkan baginya untuk satu tempoh tertentu. Salah satu dari ayat tersebut adalah:

Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya); dan Ia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, - tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni. [al-Zumar 39:05, lihat juga Fatir 35:13, Luqman 31:29 dan al-Ra’d 13:02]

Sebelum tempoh yang ditetapkan itu, peraturan terhadap matahari adalah sepertimana dalam ayat berikut:

Matahari tidak mungkin baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing. [Yasin 36:40]

Namun setelah tempoh yang ditetapkan yakni menjelang Hari Kiamat, matahari dan bulan akan berhimpun bersama sepertimana yang dikhabarkan oleh ayat berikut:

Dia bertanya (secara mengejek): “Bilakah datangnya hari kiamat itu ?” Maka (jawabnya: Hari Kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), Dan bulan hilang cahayanya, Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama. [al-Qiyamah 75:6-9]

Malah matahari sendiri akan digulung:

Apabila matahari digulung. [al-Takwir 81:01][4] Yakni apabila matahari dilipat, dicantumkan sebahagian dengan sebahagian yang lain seperti melipat kain serban, menghimpunkan pakaian dengan pakaian lain, kemudian dibuang, hilang cahayanya sebagai tanda alam ini akan binasa.[5]

Menjelangnya Hari Kiamat, peraturan matahari sangat berbeza dan berlainan, mungkin sahaja yang pertama ia terbit dari Barat, kemudian berhimpun dengan bulan lalu akhirnya ia menggulung sehingga hilang cahayanya. Allah sahaja yang lebih mengetahui.

Kemusykilan Keempat:

Matahari beredar ke tempat yang ditetapkan baginya.

Penjelasannya:

Nukilan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam akan ayat 36 surah Yasin: “Dan matahari, ia beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.”  tidaklah bertujuan untuk menafikan sains mahupun membenarkannya.

Tujuan baginda hanyalah untuk menerangkan bahawa urusan peredaran matahari, apa dan bagaimana dari awal hingga ke saat menjelang Kiamat, semuanya di bawah pengetahuan dan kekuasaan Allah ‘Azza wa Jalla.


 

[1]              Sahih: Hadis dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari (terj: Mahmoud Matraji; Dar al-Fikr, Beirut 1993),  no: 3199 (Kitab Awal Penciptaan, Bab Sifat Matahari dan Bulan).

[2]              Beliau adalah seorang tokoh da‘i dari India yang terkenal di seluruh dunia. Dalam beberapa kuliahnya, dikaitkan antara ayat al-Qur’an dan penemuan sains yang jelas agar dengan itu terbukti kebenaran al-Qur’an sebagai sebuah kitab wahyu. Beliau juga adalah seorang pakar dalam bab Perbandingan Agama dan Isu-isu semasa. Sangat dianjurkan kepada para pembaca untuk menimba ilmu dari kuliah-kuliah beliau. Kuliah-kuliah ini telah dirakam dan diedarkan dalam bentuk Video CD oleh Saba Islamic Media, Kuala Lumpur. (http://www.saba-islamic-media.com)

[3]              Lebih lanjut silalah mengkaji buku Amin Muhammad Jamaluddin yang amat menarik, berjudul Umur Umat Islam, Kedatangan Imam Mahdi dan Munculnya Dajjal (terj: H.Akel; Cendekia Sentra Muslim, Jakarta 2000). Bagi hadis-hadis yang menerangkan matahari bakal terbit di tempat terbenamnya, lihat mukasurat 136-138.

[4]              Terjemahan ayat berdasar edisi Tafsir al-Munir yang diterjemahkan oleh panel penterjemah kelolaan Persatuan Ulama’ Malaysia.

[5]              Wahbah Zuhaili – Tafzir al-Munir (PUM & IMAP, Kuala Lumpur 2001), juz ‘Amma, ms 76.

 
 

 

Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis