K  a  e  d  a  h
Memahami Hadis-hadis 
M u s y k i l .

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman

Pengenalan || Contoh 1 || Contoh 2 || Contoh 3 || contoh 4  || contoh 5 || contoh 6 || contoh 7 || contoh 8 || contoh 9 || contoh 10|| contoh 11 || contoh 12

 

D: Hadis-hadis musykil dari sudut logika dan norma-norma agama.

Pengenalan dan kaedah memahaminya.

Bahagian ini insya-Allah akan membahas sejumlah hadis yang kelihatan aneh, pelik atau bertentangan dengan ukuran akal dan norma-norma agama. Akal yang dimaksudkan di sini ialah fikiran logik manusia biasa sementara norma-norma agama adalah ajaran dasar dan umum agama Islam. Jumlah hadis-hadis seperti ini sebenarnya tidak terhad kepada sesuatu angka tertentu. Ia sangat bergantung kepada alat yang digunakan sebagai ukuran dan tahap ilmu yang digunakan. Hadis-hadis dalam kategori ini dapat dibahagikan kepada beberapa jenis:

Pertama: Hadis-hadis yang sepatutnya difahami dengan neraca wahyu (Contoh 1 & 2).

Ini adalah hadis-hadis yang menerangkan hal-hal ghaib, kemukjizatan dan keutamaan yang Allah kurniakan kepada para hamba-Nya yang terpilih. Apabila bertemu dengan hadis-hadis seperti ini, seseorang itu tidak boleh cuba menafsirkannya dengan akal kerana akal itu adalah sesuatu yang tidak dapat menjangkauinya. Akal sememangnya antara ciptaan Allah yang paling bijaksana di alam ini tetapi akal tetap memiliki batasan, iaitu ia hanya dapat berinteraksi dengan sesuatu yang mampu dicapainya. Adapun sesuatu yang di luar pencapaiannya, akal terpaksa tunduk kepada sesuatu lain yang lebih tinggi kedudukannya, iaitu sumber wahyu dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

Di dalam hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memang terdapat beberapa kisah tentang para malaikat, Nabi, syaitan, jin dan sebagainya yang pada zahirnya nampak memusykilkan. Contohnya seperti Nabi Musa ‘alaihi salam yang menampar Malaikat Maut, memukul batu dengan tongkatnya sehingga bertanda kerana batu tersebut bergerak-gerak, Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam yang membelah bulan sebagai tanda mukjizat kepada kaum ingkar yang mencabarnya, batu-batu yang berselawat, serigala yang menerangkan kerasulan baginda dan pelbagai lagi.[1] Begitu juga dengan beberapa hadis yang menerangkan perkara-perkara yang akan berlaku setelah keluarnya Dajjal dan turunnya Imam Mahdi dan Nabi Isa ‘alaihi sallam sehingga batu dan pokok boleh bercakap.[2]

Musykil atau tidak hadis-hadis seperti ini seharusnya diukur dengan sumber wahyu itu sendiri. Kita akan dapat memperolehi penjelasannya dengan merujuk dan membandingkannya dengan lain-lain nas al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Dalam ertikata lain, hadis-hadis seperti ini hanya akan dapat difahami dengan tepat apabila ia dipandang dan ditafsir dari sudut Illahi, bukan dari sudut manusiawi.

Kedua: Hadis-hadis yang sepatutnya difahami dari sudut asal-usulnya (Contoh 3, 4 & 5).

Ada beberapa hadis yang dapat dihilangkan kemusykilannya dengan merujuk kepada latar belakang asal-usulnya (Asbabul Wurud). Kemusykilan akan hilang apabila kita dapat mengkaji bila ia disampaikan, kepada siapa ia disampaikan dan kenapa ia disampaikan.

Ketiga: Hadis-hadis yang tergolong dalam kategori Hadis Fadhilat (Contoh 6).

Terdapat banyak hadis yang menganjurkan amalan-amalan tertentu dan menjanjikan ganjaran yang besar kepada pengamalnya. Adakalanya dengan sesuatu amalan yang ringkas seseorang itu dijanjikan ganjaran yang besar sehingga ia memusykilkan. Hadis-hadis seperti ini sebenarnya tergolong dalam kategori Hadis Fadhilat. Seseorang hanya akan memperolehi ganjaran yang dijanjikan jika dia: [1] Terlebih dahulu menyempurnakan asas-asas agama dan [2] Mengamalkan hadis fadhilat tersebut berdasarkan sebab, maksud dan tujuannya.

Keempat: Hadis-hadis yang semestinya difahami melalui kaedah bahasa yang tepat (Contoh 7).

Kemusykilan sesuatu hadis juga dapat dihilangkan apabila seseorang menterjemah dan memahaminya berdasarkan kaedah bahasa Arab yang tepat.

Kelima: Hadis-hadis yang sepatutnya difahami dengan merujuk kepada lain-lain petunjuk al-Qur’an dan al-Hadis (Contoh 8, 9, 10 & 11).

Terdapat juga beberapa hadis yang memusykilkan kerana ia memberi petunjuk ke arah sesuatu yang bercanggah dengan norma-norma agama iaitu ajaran umum agama Islam. Hadis-hadis seperti ini seharusnya dicari penjelasannya dengan merujuk kepada lain-lain petunjuk al-Qur’an dan al-Hadis.

Islam adalah satu agama yang memiliki ajaran yang sangat luas sehingga tidak mungkin bagi seseorang itu mengetahuinya secara keseluruhan (total). Oleh itu apabila bertembung dengan hadis-hadis yang kelihatan bercanggah dengan ajaran umum agama, hendaklah seseorang itu mengkajinya sehingga dia berjaya menemui jawapannya. Jika tidak mampu mengkaji, hendaklah dia menangguh kefahaman terhadap hadis tersebut sehinggalah ke satu masa yang membolehkan dia menemui jawapannya.

Keenam: Hadis-hadis tentang sifat-sifat Allah.

Terdapat juga beberapa ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang mengkhabarkan tentang sifat-sifat Allah ‘Azza wa Jalla seperti “tangan”, “mata”, “turun” dan sebagainya. Ayat dan hadis seperti ini dikenali sebagai nas-nas al-sifat. Kaedah untuk memahami nas-nas al-Sifat adalah beriman kepadanya hanya dari sudut istilah manakala maksud, ciri-ciri, bentuk dan tata-cara sifat tersebut diserahkan kepada Allah. Yang pasti maksud, ciri-ciri, bentuk dan tata-cara sifat tersebut tidak seumpama atau seperti mana-mana makhluk ciptaan Allah di alam ini. Yang penting dalam nas-nas al-Sifat adalah bukan pada “sifat” itu sendiri tetapi pada tujuan Allah mengkhabarkannya.


 

[1]              Untuk mengkaji pelbagai lagi mukjizat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, sila lihat buku 300 Authenticated Miracles of Muhammad oleh Badr Azimabadi (Adam Publishers & Distributers: Delhi 1993).

[2]              Untuk mengetahui hadis-hadis tersebut dan penjelasannya, disyorkan buku Amin Muhammad Jamaluddin: Umur Umat Islam, Kedatangan Imam Mahdi & Munculnya Dajjal (terj: H.Akel; Cendekia Sentra Muslim, Jakarta 2000).

 

 
 

Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis