K  a  e  d  a  h
Memahami Hadis-hadis 
M u s y k i l .

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman

Pengenalan || Contoh 1 || Contoh 2 || Contoh 3 || contoh 4  || contoh 5

 

C: Hadis-hadis musykil tentang wanita

Contoh no: 5

Babi berlumuran lumpur adalah lebih baik daripada wanita.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Berhati-hatilah, jangan sampai kalian berkhalwat dengan wanita, demi diriku yang berada di tangan-Nya, tidaklah berduaan seorang lelaki dan wanita melainkan masuk syaitan di antara keduanya.

Bahawa sesungguhnya adalah lebih baik seorang lelaki untuk bergeseran dengan khinzir yang berlumuran dengan tanah atau lumpur daripada dia menggeserkan bahunya dengan bahu seorang wanita yang tidak halal baginya.[1]

Kemusykilan:

Kenapakah hadis ini begitu berat menghukum wanita sehingga dikatakan seekor khinzir yang berlumuran lumpur adalah baik daripada wanita ?  Saya pernah membaca satu tuduhan bahawa dari hadis ini terbukti bahawa Rasulullah tidak sukakan wanita dan memandang mereka sebagai sesuatu yang najis.

Penjelasan:

Hadis di atas sebenarnya disampaikan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam atas dasar memberi peringatan dan ancaman (al-Targhib wa al-Tarhib). Perkataan …… menggeserkan bahunya dengan bahu seorang wanita…… adalah bahasa kiasan yang menunjukkan bahawa ini bukanlah sekadar kes berdua-duaan tetapi adalah sesuatu yang melibatkan sentuh menyentuh dan lebih lagi. Hal seperti ini memang dilarang oleh Islam.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). [al-Israa’ 17:32]

Ayat di atas bukan sekadar melarang zina tetapi ia melarang apa jua perbuatan yang boleh menghampiri zina seperti berdua-duaan dan saling sentuh menyentuh antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim. Perbuatan-perbuatan yang mengarah kepada zina adalah suatu yang keji lagi mungkar dan inilah yang diumpamakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai lebih baik untuk bergeseran dengan khinzir daripada bergeseran dengan wanita.

Tujuan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menggunakan khinzir yang berlumuran tanah atau lumpur hanyalah untuk menunjukkan betapa keji dan terkutuk perbuatan berdua-duaan dan saling sentuh menyentuh. Ia hanya sebagai satu perbandingan dan tidak sedikitpun bertujuan untuk meletakkan wanita di kedudukan yang lebih rendah daripada khinzir.

Adalah tidak benar tuduhan yang menghubungkaitkan hadis ini dengan anggapan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak menyukai wanita dan memandang mereka sebagai najis. Yang benar Rasulullah menyukai wanita dan baginda meletakkan mereka bersamaan wangi-wangian dan solat. Perhatikan hadis berikut:

Digemarkan kepada aku dari dunia kalian wanita dan wangi-wangian, dan dijadikan solat kesejukan kepada mata aku (ketenangan kepada jiwaku).[2]

Selain itu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam juga telah bersabda sepertimana dalam hadis yang telah dikemukakan sebelum ini:

Dunia adalah sebaik-baik tempat, dan sebaik-baik tempat di dalam dunia adalah wanita yang solehah.[3]


 

[1]              Hasan: Hadis daripada Abi Umamah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, dinukil oleh al-Haithami dalam Majma al-Zawaa’id (Dar al-Fikr, Beirut 1992), no: 7717 (Kitab Nikah, Bab Larangan berkhalwat dengan selain mahram), dan kata beliau: Riwayat al-Thabarani, di dalamnya terdapat ‘Ali bin Yazid al-Alahani, dia sangat dha‘if, namun pada hadis ini terdapat penguat. Hadis ini juga dihimpun oleh al-Munziri dalam al-Targhib wat Tarhib (Dar Ibn Kathir, Damsyik 1999) – no: 2855 dan berkata penyemak - Muhyiddin Dibb Mastu, Samir Ahmad ‘Atha & Yusuf ‘Ali Badiwi: Dha‘if. Penulis berkata, isnad hadis ini memang lemah tetapi maksudnya adalah benar dalam menerangkan kekejian perbuatan berdua-duaan dan saling bersentuhan antara lelaki dan wanita sepertimana yang ditegaskan oleh ayat 32 surah al-Isra’. Terdapat juga hadis lain yang berisnad baik (jayyid) yang bermaksud: Seseorang yang ditusuk kepalanya dengan jarum besi adalah lebih baik daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya. Lihat Nasr al-Din al-Albani – Silsilah Hadits Shahih – no: 225. Inilah penguat yang dimaksudkan oleh al-Haithami dan dengan itu penulis menilai hadis ini secara keseluruhannya sebagai hasan. Kepada Allah jua segala kebenaran.

[2]              Hasan: Hadis daripada Anas bin Malik radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Nasa’i dan al-Hakim, disebut oleh Ibn al-Qayyim dalam Zaad al-Ma‘ad (terj: A. Sunarto & Aunur Rafiq; Robbani Press, Jakarta 1998), jld 1, ms 111 dan dinilai hasan oleh penyemak: Syu‘aib al-Arna’uth & ‘Abdul Qadir al-Arna’uth.

[3]              Sahih: Hadis daripada ‘Abdullah ibn ‘Umar radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Muslim, Ibn Majah dan lain-lain, di atas adalah lafaz Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 1467 (Kitab al-Ridho’, Bab Sebaik-baik tempat..............).

 

 
 

Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis