Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian III   Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8

2 Perbezaan Waktu Subuh bagi Negara-negara
Selepas Garis Lintang 40' Utara atau Selatan.

Waktu subuh atau fajar bagi permulaan waktu puasa sesuatu hari itu ditentukan apabila kelihatannya benang-benang putih di ufuk (horizon) Timur. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu waTa'ala: Dan makan serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (cahaya malam), iaitu waktu fajar; kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (iaitu menjelma waktu Maghrib). [Maksud surah al-Baqarah 02 - 187]. Yang dimaksudkan sebagai benang putih ialah iras-iras cahaya yang nyata kelihatan secara mendatar lagi memanjang (horizontal) di ufuk timur yang timbul dari suasana kegelapan malam. Itulah waktu fajar yang dijadikan penentu bagi permulaan ibadah puasa juga petanda bagi masuknya waktu solat Subuh.

Sebenarnya terdapat dua jenis tanda-tanda terbitnya Fajar yang perlu diketahui oleh seseorang itu. Yang pertama adalah Fajar Palsu ( al-Fajrul Kaadhib) dan ia adalah iras-iras cahaya yang muncul secara menegak (vertical) di ufuk Timur. Cahaya fajar sebegini bukanlah penentu bagi bermulanya waktu Subuh ataupun waktu berpuasa. Jenis fajar kedua ialah Fajar Benar (al-Fajrul Saadiq) iaitu iras-iras cahaya yang muncul secara mendatar lagi memanjang (horizontal) di ufuk Timur dan fajar inilah yang dijadikan penentu bagi bermulanya waktu Subuh ataupun waktu berpuasa. Cahaya Fajar Saadiq ini adakalanya berwarna merah, atau jingga atau kekuningan, bergantung kepada keadaan atmosfera di satu-satu lokasi itu. Tiga hadith berikut dijadikan asas rujukan kepada jenis-jenis fajar dan hubung-kaitnya dengan persoalan yang dibicarakan.

[01]  Samurah radiallahu-anhu berkata, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Janganlah kamu terkeliru dengan laungan azan oleh Bilal, atau juga oleh keputihan cahaya fajar yang menegak sehinggalah ia muncul secara mendatar. [1]

[02]  Talq ibnu Ali radiallahu-anhu berkata, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Makan serta minumlah dan janganlah hendaknya kamu tertipu dengan keterangan cahaya yang menegak tetapi makan serta minumlah sehingga cahaya kemerahan muncul secara mendatar bagi kamu. [2]

[03] Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu berkata, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Fajar itu ada dua, yang pertama tidak mengharamkan makan minum dan tidak menghalalkan solat (Subuh-P) manakala yang kedua menjadikan makan minum itu haram dan menjadikan solat (Subuh-P) itu halal. [3]

Penentuan waktu fajar saadiq di atas telah diterjemahkan menurut kiraan sains sebagai kepada waktu apabila liputan teratas bulatan matahari berada pada sudut 18 darjah di bawah ufuk (horizon) muka bumi. Walaubagaimanapun sudut kiraan ini berbeza-beza dari satu tempat ke tempat yang lain, terutamanya di negara-negara yang di atas garis lintang (latitude) 40 darjah utara atau selatan. Justeru itu seseorang yang sering musafir ke negara-negara Eropah, Jepun, Amerika atau Afrika Selatan akan mendapati penentuan waktu fajar umat tempatan di sana berbeza sedikit dengan apa yang sedia diperolehi melalui jadual internet atau alat kiraan mudah-alih atau kalendar solat sedunia. Ini adalah kerana alat-alat kiraan tersebut tidak mengambil kira beberapa faktor yang membezakan waktu solat negara-negara tersebut daripada kebanyakkan negara-negara lain seperti di Timur Tengah, Afrika Utara atau Asia Tenggara. Antara faktor-faktor tersebut ialah:

1.      Kedudukan sesebuah negara tersebut berdasarkan ukuran garis lintang (latitude) di muka bumi. Kebanyakkan alat atau jadual kiraan waktu solat menggunakan ukuran 18 darjah sebagai kiraan waktu solat Subuh tetapi sebenarnya angka 18 darjah itu tidaklah sebegitu tepat untuk digunakan bagi lokasi yang berada selepas garis lintang 40 utara atau selatan.

2.      Kedudukan sesebuah negara tersebut mengikut ketinggiannya dari aras laut. Kebanyakkan alat atau jadual kiraan waktu solat membuat andaian-kira bahawa sesebuah bandar atau lokasi itu berada pada paras laut padahal bukan semua bandar adalah berkedudukan sedemikian. Contohnya bandar Munich di Jerman berada kira-kira 1500 kaki tinggi dari aras laut.

3.      Kebanyakkan umat Islam yang berada di negara-negara selepas garis lintang 40 utara atau selatan wujud sebagai golongan minoriti. Oleh itu mereka menghadapi kesukaran bagi menentukan masuknya waktu fajar secara pasti kerana tiadanya jadual 'almanac' waktu fajar. Yang ada hanyalah waktu terbit matahari, ataupun sunrise ataupun waktu syuruk. Oleh itu bagi tujuan kemudahan, pihak berwajib atau kesatuan umat Islam di negara-negara tersebut memutuskan agar waktu fajar di tentukan dengan menolak 90 minit dari waktu terbit matahari. Walaupun di masa kini ada beberapa jenama alat kiraan elektronik yang dapat membuat kiraan waktu dengan pengubah-suaian sudut matahari di bawah ufuk, namun ada juga negara yang tetap menggunakan kaedah 90 minit sebelum waktu terbit matahari (sunrise) agar memudahkan umat Islam mereka yang tidak mempunyai kaedah kiraan moden tersebut.

Beberapa faktor di atas menyumbang kepada wujudnya perbezaan waktu solat antara sesebuah negara  berbanding dengan kiraan waktu yang tersedia di jadual internet atau alat-alat kiraan selainnya. Justeru itu hemat penulis mencadangkan agar apabila kita melawat sesebuah negara yang mempunyai jadual waktu solat yang berbeza dengan jadual yang sedia kita miliki maka ikutilah jadual waktu negara tersebut. Akan tetapi jikalau tidak diketahui waktu solat komuniti tempatan negara tersebut maka adalah memadai dengan merujuk kepada waktu solat yang telah disediakan diri masing-masing.

Kesimpulan

1.      Permulaan waktu fajar bagi ibadah puasa ialah apabila jelas kelihatan iras-iras cahaya yang mendatar (horizontal), menandakan bermulanya pagi dan berakhirnya malam.

2.      Dibolehkan bagi kita untuk menentukan waktu fajar dengan menggunakan alat-alat kiraan elektronik. Hanya sahaja setiap alat atau jadual itu perlu dipastikan tepat mengikut kedudukan sesebuah lokasi itu seperti ketinggiannya dan ukuran garislintangnya.

3.      Apabila kita melawati sesebuah negara atau komuniti Islam, sebaiknya adalah mengikuti jadual waktu yang telah mereka tentukan.

 


 

[1]               Maksud hadith dari Sahih Muslim no: 1094.

[2]               Maksud hadith dari Sunan Tirmizi no: 3/076.

[3]               Maksud hadith dari Sahih Ibnu Khuzaimah 3/0210.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan